Showing posts with label Suhakam. Show all posts

Panel menyiasat insiden keganasan Bersih perlu bebas dan adil : Suhakam

KUALA LUMPUR – Panel bebas yang ditubuhkan Putrajaya untuk menyiasat dakwaan penggunaan kekerasan Bersih 3.0 pada 28 April lalu haruslah “berhati-hati” dalam memastikan hasil siasatannya dapat selesaikan perkara ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata.
Dalam satu kenyataan media, pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam menyeru panel itu supaya bebas, tidak berat sebelah, telus dan berintegriti tanpa gentar atau pilih kasih apabila menjalankan siasatan agar dapat pulihkan keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa.
“Ini merupakan ciri-ciri penting demokrasi yang berfungsi sepenuhnya seperti yang rakyat cita-citakan dan kerajaan komited untuk mencapainya,” beliau ujar.
Tambahnya lagi, Suhakam akan terus mengkaji aduan dan pengemukakan daripada pelbagai pihak dan laporan media berkaitan dengan insiden yang berlaku pada hari itu.
“Suhakam benar-benar menyedari  mandatnya untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan sedang meneliti aduan-aduan yang telah diterima daripada orang awam mengenai persitiwa tersebut sebelum membuat keputusan mengenai tindakan selanjutnya yang sesuai.”
Dalam hasil siasatan Suhakam ke atas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, Suhakam mendapati pihak polis menggunakan taktik yang “tidak sesuai” untuk  menghalau kumpulan perusuh Bersih 2.0 dengan menggunakan gas pemedih mata tanpa sebarang jalan keluar.
Suhakam juga mendapati beberapa organisasi media arus perdana gagal untuk melapor secara adil pandangan Datuk Ambiga Sreenevasan mengenai Bersih 2.0, dan juga menjejaskan keselamatannya dengan menerbitkan maklumat peribadinya.
Hari ini, ketua setiausaha DAP Lim Guan Eng telah mencadangkan Suhakam menyertai panel bebas itu untuk menyiasat insiden keganasan Bersih 3.0.
Semalam, Majlis Peguam berkata bahawa panel bebas itu tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang dan pendirian Tan Sri Hanif Omar terhadap Bersih tidak melayakannya untuk mengetuai siasatan itu.
Bersih juga berpendapat kumpulan itu akan berat sebelah dan diibaratkan sebagai pasukan petugas sahaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan akan melantik panel bebas yang “kredibel, berpengalaman, dan dihormati” untuk menyiasat keganasan polis terhadap peserta dan wartawan sewaktu insiden Bersih di Dataran Merdeka.
Tambah Najib, rakyat boleh melihat perkembangan siasatan tersebut bagi menyiasat kebenaran dakwaan keganasan terhadap wartawan, media tempatan dan antarabangsa ketika perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu berlangsung.
Enam media dan kira-kira 12 jurugambar termasuk media asing dikatakan telah diserang pihak polis ketika kekacauan di dataran bersejarah terbabit, selepas polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh yang menceroboh ke kawasan dataran.
Media antarabangsa dan tempatan mula mengkritik pentadbiran Najib menggunakan kekerasan terhadap kumpulan itu, yang menurut mereka hanya menjalankan tugas.
Seterusnya >>>

Suhakam: Tembak gas di KL Sentral tak sesuai

Orang ramai yang terperangkap di laluan bawah KL Sentral akibat serangan gas pemedih mata FRU.

KUALA LUMPUR: Panel Siasatan Suhakam hari ini mendakwa tembakan gas pemedih mata oleh polis di KL Sentral pada himpunan Bersih 2.0 juga tidak bersesuaian dengan keadaan dan faktor lokasi.

"Tempat menunggu bas tersebut adalah separuh tertutup dan akses untuk peserta-peserta himpunan bersurai secara teratur dan selamat adalah terbatas di mana hanya terdapat satu tangga dan satu eskalator untuk keluar dari ruang ini.

"Panel mendapati bahawa tembakan gas pemedih mata telah dilepaskan oleh PDRM dari dua arah yang bertentangan dan ini telah menimbulkan kemungkinan kecederaan atau kematian terhadap peserta perhimpunan yang berada di kawasan berkenaan," laporan siasatan itu dipetik.

Laporan siasatan itu turut dibaca kepada media pada sidang akhbar di pejabat Suhakam di sini tengahari tadi.

Sidang media itu dikendalikan Pengerusi Panel Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee yang juga Timbalan Pengerusi Suhakam dan dua ahli panel lain iaitu Prof Datuk Dr Mahnood Zuhdi Abd Majid dan Detta Anak Samen.

Sementara itu, panel siasatan turut mengesyorkan pihak polis agar tidak menggunakan sebarang senjata yang berisiko terhadap keselamatan orang ramai di dalam mahupun di sekitar kawasan awam.

Ianya termasuk, hospital, sekolah, tempat-tempat ibadah dan tempat-tempat dikategorikan sebagai kawasan awam yang lain.

Syor itu dibuat merujuk kepada tindakan pihak polis menembak meriam air dan gas pemedih mata di kawasan Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (HBC) pada himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu.

"Panel berpendapat bahawa walaupun tiada bukti dikemukakan bahawa gas pemedih mata dilepaskan ke dalam perkarangan HTS, gas pemedih mata yang dilepaskan di sekitar jalan pudu berkemungkinan memasuki HTS.

"Panel juga berpendapat bahawa tembakan meriam air dan gas pemedih mata telah dilepaskan dari kedua arah bertentangan dan ini menyebabkan peserta perhimpunan tersepit dan mengalami kesukaran untuk bersurai,' katanya.
.
Seterusnya >>>

Mat Sabu cedera akibat pelanggaran dengan kereta polis


KUALA LUMPUR: Panel Siasatan Suhakam merumuskan kecederaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu adalah disebabkan pelanggaran dengan kenderaan polis.

Ianya berdasarkan keterangan beberapa saksi termasuk tiga orang doktor yang merawat Mohamad yang dipanggil memberi keterangan kepada panel itu.

"Panel berpendapat, kecederaan W6 (Mohamad Sabu) berpunca daripada pelanggaran dengan kenderaan PDRM," laporan siasatan itu dipetik.

Laporan siasatan itu turut dibaca kepada media pada sidang akhbar di pejabat Suhakam di sini tengahari tadi.

Sidang media itu dikendalikan Pengerusi Panel Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee yang juga Timbalan Pengerusi Suhakam dan dua ahli panel lain iaitu Prof Datuk Dr Mahnood Zuhdi Abd Majid dan Detta Anak Samen.

Dalam penemuan mereka, Suhakam bersetuju dengan pandangan doktor-doktor tersebut bahawa tiada kesan kotoran seperti pasir atau tanah pada bahagian cedera.

Kesemua mereka juga berpendapat ianya mungkin akibat pelanggaran dengan permukaan keras.

Walau bagaimanapun menurut panel tersebut, tiada sebarang bukti konklusif bagaimana cara pelanggaran berlaku sama ada kenderaan polis melanggar Mohamad atau Mohamad sendiri melanggar kereta polis.

Dalam laporan itu panel turut mengesyorkan pihak polis agar mengutamakan hak asasi dan keselamatan anggota mahupun individu yang hendak ditahan.

"Satu garis panduan haruslah diwujudkan oleh PDRM mengenai cara-cara yang boleh digunakan oleh anggota dalam melakukan tangkapan," kata panel itu.

Dalam pelanggaran tersebut pada 9 Julai tahun lalu, Mat Sabu yang membonceng motosikal cedera di lutut kanannya cedera dan terpaksa dibedah ekoran ligamennya koyak.
.
Seterusnya >>>

Suhakam tak boleh terima kekasaran polis

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan Bersih 3.0 dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru hara.

Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali  di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula,  Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.

Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.  Ia juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:

Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tingkat 11, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: _ HYPERLINK "mailto: complaints@suhakam.org.my" _complaints@suhakam.org.my_ / _ HYPERLINK "mailto: humanrights@suhakam.org.my" _humanrights@suhakam.org.my_
.
Seterusnya >>>

Serang di Jalan Kebun: Suhakam pertikai polis



KUALA LUMPUR, 25 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini melahirkan rasa kesal di atas insiden serangan di majlis anjuran Asal Bukan Umno (ABU) bersama Hindraf di Jalan Kebun, Klang baru-baru ini.

Bercakap sewaktu menerima serahan memorandum dari kumpulan Asal Bukan Umno (ABU) hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak adil dalam insiden tersebut.

"Sebagai pihak berkuasa mereka sepatutnya menggunakan undang-undang melindungi mangsa kepada kekacauan tersebut bukannya memberi perlindungan kepada yang membuat kacau.

"Saya ingin menegur pihak polis agar lebih adil, siapa yang benar atau yang salah mereka perlu tahu dan kita tidak mahu mereka menyalahguna kuasa yang mereka ada," jelasnya.

Serahan memorandum itu dibuat pemimpin ABU yang diketuai Badrul Hisham Shahrin di Pejabat Suruhanjaya itu di Kuala Lumpur pagi tadi.

Semalam mereka membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

Menurut jurucakap mereka, laporan tidak dibuat di Klang kerana tidak yakin dengan polis di sana yang dlihat bercakap dengan pihak terbabit selepas kejadian itu.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Dalam ulasannya, Sha'ani berkata, pihak berkuasa juga sepatutnya boleh terus mengambil tindakan kepada mereka yang menyerang ceramah ABU pada malam itu kerana jelas boleh dilihat pihak mana yang memulakan kekacauan tersebut.

"Suhakam sendiri melihat apa yang berlaku pada hari tersebut siapa yang memulakan kekacauan dan sepatutnya pihak polis boleh menahan terus mereka tetapi apa yang kita dengari adalah kenyataan pihak berkuasa yang mengatakan tidak ada apa-apa yang berlaku dan belum menerima sebarang laporan.

"Majlis tersebut dianjurkan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sah di sisi undang-undang bukannya kongsi gelap, dan atas alasan itulah sepatutnya polis sedar siapa yang bersalah ataupun tidak," katanya lagi.

Menurutnya, apa yang dibimbangi, serangan tanpa rasa takut ekoran tiada tindakan drastik oleh pihak bekuasa akan menjadi trend selepas ini lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Suhakam akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat suruhanjaya untuk tindakan selanjutnya serta akan melakukan inkues awam.

"Setiap yang bersalah perlu dikenakan tindakan bukannya dilindungi oleh pihak berkuasa, saya ingin persoalkan kepada pihak polis siapa yang mereka ingin lindungi individu yang benar ataupun yang bersalah," katanya.
Selesai segera
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard sewaktu menyerah memorandum berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera agar ia tidak lagi timbul pada masa yang akan datang.

"Melihat kepada kejadian tersebut, saya mengesaki bahawa polis pada malam tersebut telah bersubahat dengan orang-orang yang menyerang para hadirin yang hadir di program ceramah.

"Pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penyerang sebaliknya menyuruh kami menghentikan program ceramah itu dan ini jelas menandakan polis gagal menjaga keselamatan orang ramai yang hadir," katanya.

Selain itu, beliau juga mahu Suhakam melakukan siasatan sama ada benarkah dakwaan bahawa pihak polis ada bersubahat dengan penyerang-penyerang yang terlibat.

Sementara itu laporan media (Sinar Harian) mengatakan, polis Selangor telah menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an pagi semalam bagi membantu siasatan insiden serangan ketika ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Jalan Kebun di sini, Sabtu  lalu.

Menurut laporan itu lagi, lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan keterangan daripada saksi juga sudah. diambil.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa suspek lagi dan siasatan sudah mula dijalankan selepas kejadian tersebut berlaku.
Seterusnya >>>

Gantung pelajar universiti menidakkan hak mereka

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) memandang berat akan keputusan sesetengah universiti baru-baru ini yang menggantung pelajar-pelajar yang telah menyuarakan pendapat dan mendakwa bahawa mereka telah memburukkan nama instituti tersebut dan mengganggu ketenteraman awam.  Adalah dikesalkan bahawa tindakan yang diambil oleh beberapa universiti tersebut bukan sahaja menyekat hak asasi para pelajar malah ia juga bertentangan dengan pengumuman Perdana Menteri untuk meminda seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang membenarkan pelajar universiti berumur 21 tahun dan ke atas menggunakan hak mereka berhubung kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (the Universal Declaration of Human Rights).

Kesedaran terhadap hak ekonomi, sivil dan politik di kalangan pelajar universiti dan penglibatan mereka dalam perbincangan mengenai isu-isu berkaitan kepentingan nasional perlu dilihat secara positif bagi melengkap dan menambah pendidikan dan latihan formal yang diterima di universiti.  Sebarang sekatan yang tidak munasabah ke atas penggunaan hak dan pengalaman berkenaan akan menidakkan pendidikan dan pengalaman yang amat penting dalam perkembangan mereka sebagai pemimpin masa depan negara.

Suruhanjaya mengalu-alukan rundingan awal yang diadakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bersama Suruhanjaya, wakil-wakil pelajar dan pihak berkepentingan yang lain mengenai peruntukan yang kontroversi di dalam AUKU dan berharap agar rundingan awam serta dialog terbuka selanjutnya dapat diadakan agar ianya akan membolehkan pelajar-pelajar mencapai lebih banyak hak dan kebebasan.
Seterusnya >>>

Suhakam dakwa Hishammuddin tak faham rasional Akta Patriot

KUALA LUMPUR — Suhakam mendakwa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak faham  peruntukan Akta Patriot yang diguna pakai Amerika Syarikat apabila membandingkan rasional menahan seseorang di bawah undang-undang pencegahan.
Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, Akta Patriot tidak menahan manusia tanpa perbicaraan.
“Oleh itu, kenyataan Hishammuddin bahawa undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  sama dengan Akta Patriot adalah tidak benar,” kata beliau ketika menerima memorandum daripada Pengerusi  Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang Talib di sini hari ini.
Bebas dianggotai Solidariti Malaysia Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia, Pro Mahasiswa Nasional,  Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Legasi Mahasiswa Progresif dan Kesatuan Aksi Mahasiswa.
Semalam, Hishammuddin menjelaskan bahawa akta baru yang akan menggantikan ISA tetap mempunyai klausa membenarkan polis menahan rakyat tanpa bicara.
Muhammad Sha'ani berkata, Suhakam bukannya mahu melihat 13 orang yang ditahan di bawah ISA di Sabah minggu lepas dibebaskan.
“Apa yang kami mahu mereka dibawa ke mahkamah dan dibicarakan dan bukannya ditahan tanpa bicara di bawah ISA,” tegasnya.
Oleh itu kata beliau, Suhakam akan terus bersuara mengenai hak asasi manusia.
Justeru, beliau mengalu-alukan langkah Bebas mengemukakan memorandum kepada Suhakam yang mahu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Dalam satu kenyataan semalam, Hishammuudin berkata undang-undang baru yang akan menggantikan ISA, yang akan dimansuhkan, tetap mengekalkan amalan penahanan tanpa perbicaraan.
Beliau berkata amalan itu perlu untuk memerangi kegiatan militan dan keganasan.
Beliau memberikan contoh beberapa negara yang menguatkuasakan amalan itu sebagai salah satu elemen untuk memerangi keganasan antaranya melalui Akta Patriot  di Amerika Syarikat dan Akta Antikeganasan di United Kingdom dan Australia.
“Seperti Akta Patriot, seperti Akta Antikeganasan yang semuanya (negara itu) memperjuangkan hak asasi manusia, dan mereka sedar dalam berurusan dengan militan dan kegansaan, mereka perlu mempunyai akta sedemikian.
“Malahan terdapat beberapa rakyat Malaysia yang sedang ditahan di kem tahanan di Guatanamo tanpa perbicaraan selama beberapa tahun . . . kerana mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa AS. Jadi jangan bersikap berat sebelah dan kita tidak mahu bersikap hipokrit dalam perkara ini,” katanya.
Malaysia juga belajar daripada pengalaman negara-negara lain yang telah menghapuskan akta-akta sedemikian tanpa berfikir panjang dan akhirnya padah menimpa mereka, katanya.
Pada 15 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada perutusan khas Hari Malaysia mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Dalam pada itu, memorandum Bebas mahu AUKU dimansuhkan berdasarkan dua teras iaitu peruntukannya membunuh aktivisme mahasiswa dan mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa.
Selain itu, Bebas menuntut para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara, kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti dan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan.
Bebas juga mahu mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara, mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti dan bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.
Selain itu, Bebas juga mahu mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihan raya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.
Ia juga mahu mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri dan urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.
Bebas juga menuntut mahasiswa diberikan kebebasan melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah,  mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan, menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.
Seterusnya >>>

Kekerasan polis: Suhakam nafi kenyataan Menteri Kesihatan

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/03/17/suhakam-logo.jpg
KUALA LUMPUR, 13 Julai: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menafikan tindakan kekerasan pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Sebaliknya, pihak Suhakam sendiri turut melihat sendiri penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta, apabila Suhakam dengan 35 orang pegawainya turut memantau perhimpunan tersebut.
Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah menegaskan, malah beliau sendiri yang turut turun ke perhimpunan itu bagi melakukan pemantauan turut melihat dengan jelas tindakan kekerasan pihak polis terhadap para peserta termasuk di lokasi yang dinafikan oleh Tiong Lai.
Menurut beliau, kenyataan Menteri Kesihatan yang mengatakan polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin di Jalan Pudu ketika menyuraikan perhimpunan itu tidak benar.
"Sebenarnya, pihak polis memang menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin. Saya sendiri telah lihat tindakan polis itu.
"Saya sendiri juga turut melihat tindakan kekerasan yang dilakukan polis semasa menangkap peserta. Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena penyerahan memorandum oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mengenai tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 di pejabat Suhakam, di sini, semalam.
Menurutnya, tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga, merupakan satu pencabulan undang-undang.
"Mereka (polis) telah merancang untuk menahan mereka, tetapi ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.
“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua mangsa supaya tampil ke depan dan mengemukakan aduan secara terus supaya pihak Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi.
Pada 11 Julai lalu, Menteri Kesihatan seperti yang dilaporkan media berkata, polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Dakwaan yang berlegar di internet berhubung tembakan ke arah hospital tersebut adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan dengan hospital berkenaan.
Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.
"Tetapi mereka tidak membidik ke arah hospital," katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan lembaga pengarah Hospital Tung Shin pada hari itu (11 Julai) sambil menambah, polis juga membidik tembakan meriam air pada arah 45 darjah dari jalan utama.
Ditanya mengenai video dan gambar-gambar yang dimuatkan oleh pengguna web di internet, Liow meminta wartawan supaya jangan menunjukkan bahan berkenaan untuk menyoalnya semula.
"Apa yang paling penting, individu yang bertanggung jawab ke atas hospital telah mengesahkan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata atau meriam air ke dalam (perkarangan) hospital," kata Timbalan Presiden MCA itu lagi.
Dalam sidang media yang sama, pengerusi lembaga pengarah Tung Shin, Ng Beh Tong turut berkongsi pandangan menteri berkenaan.
Katanya, pentadbiran hospital itu telah memberikan taklimat kepada lembaga hospital pagi itu (11 Julai) berhubung insiden yang berlaku pada hari perhimpunan tersebut.
Dalam perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat ditahan. Kesemua mereka yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.
Selain Liow, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein seperti yang dilaporkan media, turut menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Muhammad menjelaskan, realiti sebenar tindakan kekerasan melampau pihak polis itu tidak boleh dinafikan lagi oleh sebarang pihak.
Malah beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas peserta perhimpunan itu tidak ubah seperti "orang yang tiada pelajaran".
“Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana, tetapi mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun.
“Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani,” tegas beliau.
Seterusnya >>>

Suhakam harap Bersih dibenar himpun di stadium

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Sementara polis mempertingkatkan tindakan mereka termasuk memperoleh perintah mahkamah semalam, Suhakam mengulangi pendiriannya bahawa rakyat - dalam kes semasa Bersih 2.0 - mempunyai kebebasan berhimpun secara aman sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara itu, yang dicapai selepas pertemuan Bersih 2.0 dengan Yang di-Pertuan Agong 5 Julai lalu, dapat dicapai antara pihak berkuasa dan gabungan tersebut dalam semangat perdamaian.
“(Suhakam) akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Hasmy berkata Suhakam mengalu-alukan konsultasi yang sedang berjalan antara pihak berkuasa dan Bersih 2.0 berhubung dengan cadangan perhimpunan esok, yang  mahu diadakan di Stadium Merdeka, setelah menurut titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 4 Julai dan majlis menghadap pada keesokan hari.
“Walaupun mengalu-alukan perkembangan positif ini, dalam keadaan sekarang, Suhakam ingin mengulangi bahawa kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat,” katanya.
Polis yang tidak membenarkan perhimpunan aman Bersih di Stadium Merdeka juga telah memperoleh perintah mahkamah melarang 91 orang daripada memasuki Kuala Lumpur esok.
Ia termasuklah pemimpin Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno. Hasmy berkata, Suhakam juga  ingin menyatakan rasa kebimbangan tentang penangkapan dan penahanan beberapa Ahli Parlimen dan aktivis baru-baru ini di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan menyeru pihak berkuasa untuk membebaskan mereka yang masih ditahan dengan segera.
Kata beliau, mereka seharusnya berhak kepada perbicaraan  terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya dan setiap orang adalah berhak dengan  sama rata sepenuhnya kepada perbicaraan adil dan terbuka, selain setiap orang berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.
“Dalam perkara ini, Suhakam telah berulang kali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Benarkan perhimpunan Bersih - Suhakam

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dibentuk oleh kerajaan sendiri menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dirancang 9 Julai ini.

Bagi Suhakam, orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya di tengah-tengah usaha yang dibuat oleh Umno dan alat-alatnya untuk membatalkan perhimpunan itu.

Antaranya adalah dengan berusaha agar perhimpunan itu menjadi kecoh dengan cara menganjurkan perhimpunan serentak serta membuat provokosi melalui badan-badan bukan kerajaan termasuk persatuan silat dan bela diri.

Usaha pihak-pihak yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 juga mendapat tentangan hebat dari polis sehingga mereka yang memakai baju T Bersih juga ditangkap dan disifatkan sebagai satu kesalahan.

Penganjuran majlis pra perhimpunan Bersih juga disekat oleh polis dengan ramai antara mereka ditangkap dan dikaitkan dengan kesalahan yang bukan-bukan termasuk cuba menghidupkan ideologi komunis yang sudah lama berkubur.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Hasmy Agam.


"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merujuk kepada perhimpunan aman yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang bakal diadakan pada  9 Julai 2011, dan juga perhimpunan-perhimpunan yang dilaporkan dirancang oleh Pemuda UMNO dan Perkasa, dan mengulangi pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

"Suruhanjaya mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada Kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun, seperti yang terkandung dalam, antara lain, Laporan Tahunannya kepada Parlimen, serta permintaan bagi pemansuhan sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967, dan mengesyorkan agar pihak Polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

"Suruhanjaya menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab. Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya. "
Seterusnya >>>

Hentikan Polis Preman Untuk Tugas Awam

fomca

Kejadian penglibatan anggota polis dan agensi penguatkuasa lain yang terlibat dengan kegiatan jenayah serta penyalahgunaan kuasa semakin
memburukkan tanggapan awam dari segi keyakinan dan kepercayaan terhadap agensi-agensi berkenaan untuk melindungi kepentingan awam
serta melaksanakan sistem keadilan jenayah secara saksama.

Punca kepada kejadian sedemikian adalah kelonggaran ataupun keabaian peraturan-peraturan mengawal petugas penguatkuasaan semasa bertugas. Kini adalah kelaziman pihak petugas penguatkuasa berpakaian preman menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan seperti di sekatan-sekatan jalan, kawalan perhimpunan, kawalan trafik, pengurusan tahanan ke mahkamah dan sebagainya.

Amalan ini tidak mencerminkan imej positif berdisiplin terhadap agensi dan petugas yang berpakaian dan penampilan diri yang selekeh. Jikapun
petugas berkenaan adalah anggota cawangan khas, timbulnya persoalan kewajaran anggota berkenaan mendedahkan ideniiti diri di khayalak umum termasuk liputan media kepada pendedahan umum.

Sering didapati tindakan anggota penguatkuasaan menahan perseorangan yang diperiksa ke lorong-lorong/tempat-tempat sunyi/terpencil dan juga
pemandu-pemandu di bawah ke belakang kenderaan pronda yang menimbulkan syak wasangka serta juga kemungkinan salahlaku.

Amalan ini juga membuka peluang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk juga anggota agensi pengiatkuasa untuk
menyalahgunakan kedudukan dan kuasa.

CADANGAN

Untuk menghindar sebarang kejadian salahguna kuasa dan penyelewengan oleh anggota pasukan penguatkuasa dicadangkan

- Mewajibkan semua operasi penguatkuasaan biasa di tempat awam
dijalankan oleh anggota yang berpakaian uniform penuh sahaja.

- Mesyaratkan semua anggota pasukan penguatkuasa menepati tatacara
pengendalian standard (SOP) dari segi kelakuan, bahasa dan
pemeriksaan.

- Mengumumkan kepada umum hak dan tanggungjawab orang awam bila
menghadapi tindakan penguatkuasaan.



MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH
Setiausaha Agung FOMCA

-/ Suara Keadilan
Seterusnya >>>

Hentikan penahanan suspek pemerdagangan orang di bawah ISA

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Kerajaan untuk mengkaji semula penahanan tujuh pegawai Imigresen dan suspek-suspek pemerdagangan orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.
Pegawai-pegawai imigresen yang ditahan dilaporkan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang kerana terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang.
SUHAKAM menyifatkan penggunaan ISA terhadap suspek-suspek pemerdagangan orang tersebut jelas melanggar prinsip hak asasi manusia.  Ini kerana terdapat undang-undang khusus yang tersedia ada bagi kes-kes pemerdagangan orang, iaitu Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
SUHAKAM memandang berat penggunaan penahanan tanpa bicara dan menyarankan semula supaya semua tahanan ISA didakwa di mahkamah untuk menjamin pengadilan sebagai hak asasi manusia serta sebagai tindakan pencegahan jenayah yang berkesan.  Tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah bercanggah dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri; tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara arbitrari; dan setiap individu berhak kepada perbicaraan adil dan terbuka oleh tribunal bebas dan saksama (Artikel 3, 9 dan 10).

*Kenyataan media oleh Hasmy Agam selaku Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

- Merdeka Review
Seterusnya >>>

Tahan wartawan: Polis terima surat Suhakam

Gara-gara tindakan polis menahan dua wartawan yang sedang bertugas pada 1 Ogos lalu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima surat daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Difahamkan Suhakam menghantar surat bantahan ekoran penahanan dua wartawan terbabit.
Perkara itu didedah seorang pegawai polis kepada Mohd Rizal Md Tahir (Harakahdaily) dan Salmah Mat Husain (Harakah) ketika datang melaporkan diri di IPD, petang tadi.
Kedua-dua wartawan terbabit bersama anak mereka ditahan ketika bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos.
Mereka ditahan hampir lima jam sejak 9.15 malam di ibu pejabat polis Kontijen Kelantan bersama dua lagi lelaki lain di lokasi perhimpunan tersebut diadakan.
Mereka hanya dibebaskan pada dinihari selepas dijamin Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim dan seorang peguam.
Salmah berkata, mereka tidak perlu lagi melapor diri di IPD untuk menyambung jaminan seperti dilakukan pada 1 September lalu.
“Hari ini saya dan suami diminta melaporkan diri di IPD. Bagaimanapun selepas ini kami tidak perlu lagi berbuat demikian setelah didapati tiada kes yang boleh disabitkan.
“Pihak polis memberitahu penahanan pada 1 Ogos lalu hanya untuk membantu siasatan. Apabila kertas siasatan dibuka ia perlu melalui proses siasatan.
“Siapa-siapa pun macam tu dan apabila terbukti tiada kes yang boleh disabitkan ia akan dibebaskan,” katanya.
Sebuah beg tangan hitam yang diambil pada hari tangkapan sebagai bahan bukti turut diserahkan kembali kepadanya.
Seterusnya >>>

Suhakam mahu kuasa bawa kes ke mahkamah

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mencadangkan sekali lagi kepada kerajaan agar ia diberi kuasa membawa ke mahkamah kes-kes tertentu melibatkan individu atau institusi yang melibatkan isu hak asasi manusia yang dipinggirkan.
Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata perkara ini pernah dicadangkan dulu tetapi tidak menerima reaksi menggalakkan daripada kerajaan.

"Jadi kita akan bawa sekali lagi cadangan ini dan akan cuba mengadakan satu framework... masalahnya ini mungkin melibatkan melihat semula akta Suhakam untuk dipinda tapi bukan senang untuk dipinda," katanya kepada Bernama selepas melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia itu bersama rombongan Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.

Hasmy berkata memandangkan perkara ini mengambil masa, Suhakam berharap sekurang-kurangnya buat permulaan dapat bertindak sebagai "Sahabat Mahkamah" atau "Friends of the Court" di mana dalam sesuatu isu hak asasi manusia, suruhanjaya itu boleh dijemput untuk memberi nasihat.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan dan ini mungkin tidak melibatkan sebarang pindaan Akta Suhakam.

Naib Pengerusi Suhakam Prof Datuk Khaw Lake Tee berkata, pada masa ini tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan Suhakam mencelah dalam prosiding mahkamah melibatkan kes hak asasi manusia.

Hasmy berkata Suhakam diberi mandat yang agak luas mendengar rayuan dari individu dan institusi tetapi masalahnya suruhanjaya yang ditubuhkan pada 1999 ini tidak ada kuasa untuk membawa kes ke mahkamah.


"Kita (hanya) mendengar, menyiasat dan membuat laporan dan mengetengahkan masalah kepada agensi kerajaan untuk tindakan susulan. Tapi tak boleh bawa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata, banyak cadangan telah diberikan oleh Suhakam sejak 10 tahun lalu, dengan separuh telah diambil tindakan tapi banyak lagi belum ada tindakan misalnya isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kebebasan akhbar serta kebebasan berhimpun.

Katanya, hak asasi manusia melibatkan setiap orang, bermula dari kanak-kanak sehingga orang tua dan dalam hal ini Suhakam akan berusaha dengan media mengetengahkan isu-isu ini supaya setiap anggota masyarakat Malaysia mengetahui hak asasi masing-masing dan dapat mempertahankannya.

Menurut Hasmy, semakin bertambah rakyat menggunakan saluran Suhakam untuk menyampaikan pelbagai rungutan, namun kekeliruan masih wujud sehingga isu-isu peribadi turut disalurkan kepada suruhanjaya itu.

Beliau berkata memandangkan isu-isu yang ditangani Suhakam begitu luas, ia perlu meletakkan keutamaan dalam menggerakkan agenda hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya, dalam Malaysia mengejar matlamat negara maju menjelang 2020, isu hak asasi manusia perlu diberi keutamaan kerana di negara-negara maju di Eropah, kemajuan dan pembangunan juga diukur dari segi sejauh mana kemajuan dalam bidang hak asasi manusia.

"Di sinilah Suhakam boleh membantu menggalakkan seluruh negara...dengan melibatkan kepimpinan, kerajaan dan agensi penguatkuasa, masyarakat madani dan media tentang isu hak asasi manusia".

Beliau berkata apa jua cadangan bagi meminda ISA, ia harus selaras dengan standard hak asasi manusia.

Bekas diplomat veteran itu berkata berdasarkan pengalaman luasnya di seberang laut, beliau melihat isu hak asasi manusia Malaysia masih boleh ditambahbaik walaupun kejayaan ekonominya disanjungi banyak pihak.

- Bernama
Seterusnya >>>

Suhakam Gesa Pastikan Pindaan ISA Hormati Prinsip Hak Asasi

SHAH ALAM 15 Sept - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru kerajaan memastikan cadangan pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan yang dianggap terus menghormati prinsip hak asasi berkaitan hak peribadi tahanan, hak tahanan mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Ini selari dengan Artikel 3, 10 dan 11 seperti mana yang ditetapkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.
Badan itu berharap pindaan yang bakal dibuat terhadap akta yang dianggap zalim dan drakonian itu hanyalah satu langkah pertama menjurus kepada pemansuhan muktamad.
Suhakam juga akan terus menggesa supaya laporan tahunan badan itu akan didebatkan di dalam Parlimen supaya rakyat mengetahui sejauh mana tahap hak asasi negara ini dihormati disamping mendapat faedah daripada perdebatan dan buah fikiran ahli-ahli parlimen mengenai laporan itu.
"Sebagai sebuah badan penasihat tanpa kuasa penguatkuasa dan pendakwaan, Suhakam menggalakkan ahli-ahli parlimen supaya memberi perhatian kepada isu dan cadangan yang dimuatkan di dalam laporan tahunan itu demi menambahbaik hak asasi di negara ini," kata Suhakam dalam satu kenyataan media sempena ulangtahun ke 11 badan itu 9 September lalu. 
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata sepanjang penubuhannya badan tersebut telah berusaha keras memberi perhatian terhadap pelbagai isu yang berhubung hak asasi dan memberi kesedaran mengenainya melalui dialog dan rundingan dengan pihak yang berkenaan.
"Suhakam telah mengadakan pendengaran awam, menjalankan penyelidikan, menganjurkan bengkel, forum; mencadangakan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan, menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 27 Akta Polis dan Akta Rahsia Rasmi serta pemansuhan hukuman mati dan hukuman penjara seumur hidup.
"Sejak penunuhannya pada 9 September 1999, Suhakam berpuas hati semakin ramai rakyat Malaysia kini sudah sedar dan faham mengenai konsep hak asasi. Bertambah ramai rakyat tampil ke hadapan menggunakan mekanisme sediada Suhakam yang akan ditangani dengan seberapa cepat dan teliti.
"Ini termasuk golongan yang tidak bernasib baik dan terpinggir seperti Orang Asal, wanita dan kanak-kanak, golongan usia emas dan juga mereka yang miskin yang tidak punyai saluran lain menyuarakan masalah mereka," kata Hasmy.
Namun kata beliau Suhakam masih berhadapan dengan cabaran termasuk terus mendampingi jabatan kerajaan terutamanya agensi penguatkuasa agar membangkitkan kesedaran pemahaman dan pematuhan serta menghormati hak asasi dan juga menyedari mandat statutori badan itu.
"Suhakam akan terus membuat cadangan kerajaan supaya melaksanakan pelbagai usul dan memandang lebih serius pelanggaran hak asasi yang telah didedahkan melalui laporan dan kenyataan," kata badan itu.
Tambah Hasmy, Suhakam juga terus menangani beberapa aduan yang sentiasa diterima badan itu termasuk kegagalan tindakan polis, penangkapan serta penahanan rambang, penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa, penyiasatan selektif, penafian kepada hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara dan berekspresi.
Berhubung mempertahankan hak Orang Asal, Suhakam telah menubuhkan Jawatankuasa Hak Orang Asal untuk mengkaji masalah yang berkaitan dengan tanah adat dan juga akses masyarakat itu kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
"Pihak suruhanjaya kini sedang mengumpul fakta dan maklumat sebelum menimbang untuk menganjurkan pendengaran awam mengenai hak Orang Asal," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu satu lagi cabaran yang dihadapi badan itu ialah mengekalkan status bertaraf A yang diberikan oleh Jawatankuasa Koordinasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Manusia (ICC).
Seterusnya >>>

Bersatu jika mahu bubarkan ISA : Suhakam

NONEPengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia - jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka bersatu menentangnya.

Diplomat negara yang telah bersara itu berkata Malaysia tanpa ISA adalah situasi yang ideal tetapi mengakui ia tidak semudah itu.

Hasmy, 66, berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawi penguatkuasa memahami hak masing-masing.

"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu (atau tidak) mengekalkan ISA sekarang ini ataupun dalam bentuk yang lain,” katanya pada wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, baru-baru ini.

Hasmy, seorang duta ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata isu menghapuskan akta kuku besi - ISA itu tidak semudah seperti yang disangkakan.

Katanya, tindakan kerajaan untuk meminda beberapa perkara yang amat tidak disenangi rakyat tetap tidak akan disenangi kerana ia hanya berubah bentuk.

"Jika parti politik yang mahu ISA dikekalkan terus berkuasa, sama ada BN atau sebaliknya, ini kehendak rakyat; (ia sebahagian daripada) proses demokrasi.

"Saya kira jika sesuatu parti itu tidak menjuarai ISA, maka apabila mereka membentuk kerajaan - mereka mempunyai tanggungjawab bagi membubarkan akta itu,” katanya.

Hasmy berkata beliau senada dengan pendirian Suhakam bahaaw undang-undang arbitrari seperti ISA tidak secocok dengan prinsip hak asasi manusia dan lebih cepat ia digugurkan, maka itu adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Hasmy yang menganggap dirinya sebagai seorang idealis sedar bahawa ia tidak semudah itu dan menyedari Suhakam sentiasa berdepan dengan tentangan daripada kerajaan dan agensi penguatkuasaannya dalam menjalankan tugas. Malah beliau juga mengakui tidak mudah berdepan dengan kumpulan berkenaan.

"Ini telah menjadi isu sejak sekian lama. Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. Bagaimana untuk kita lakukannya? Kita kena yakinkan kerajaan, pihak polis,” katanya.

Hasmy berkata kerajaan dan polis mempunyai beberapa justifikasi bagi mengekalkan ISA kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan yang kompleks. Sebagai contoh, katanya, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 seringkali dijadikan alasan supaya ISA terus dikekalkan.

Tegasnya, seringkali juga agensi penguatkuasaan tidak mematuhi peraturan dan menyalah-gunakan akta itu bagi menafikan hak kebebasan untuk berhimpun dan hak untuk diwakili bagi dibicarakan di mahkamah.

"ISA ini adalah tinggalkan sejarah. Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?

"Kita boleh memperketatkan undang-undang lain bagi menjamin ketenteraman awam dan keamanan. Perketatkan undang-undang hasutan atau mungkin juga adakan akta anti-pengganas.

"ISA ini agak kejam dan kuku besi. Dan pasukan keselamatan serta pihak berkuasa hanya menggunakannya bagi memudahkan kerja mereka,” kata Hasmy lagi.
Seterusnya >>>

Suhakam, NGO kesal protes anti-ISA dihalang

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan anti-ISA di Petaling Jaya kelmarin kerana tindakan itu melanggar hak orang awam untuk berhimpun secara aman.

"Pemerhatian Suhakam mendapati bahawa hak untuk berhimpun telah dinafikan apabila pihak berkuasa menghentikan perhimpunan itu dan menyuraikan orang ramai dengan tergesa-gesa," kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam.

"Amaran yang sebaiknya dan masa yagn cukup tidak diberikan oleh pihak berkuasa, yang menyebabkan 22 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana disyaki menjadi peserta acara nyalan lilin."

Sempena 50 tahun ISA diperkenalkan, aktivis NGO dan pembangkang berkumpul di pelbagai tempat bagi menyalakan lilin tanda bantahan terhadap akta kontroversiti itu.

Tindakan itu menyebabkan polis menahan 30 orang di Petaling Jaya, empat di Pulau Pinang dan dua di Kelantan atas alasan terlibat dalam perhimpunan tanpa permit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasmy mengingatkan polis terhadap cadangan yang dibuat hasil daripada pendengaran awam kes perhimpunan di lebuh raya Kesas dan KLCC - atau dikenali sebagai 'Bloody Sunday' (kiri) - sebelum ini.

"Suhakam mencadangkan dalam suatu keadaan apabila polis perlu mengawal atau menyuraikan orang ramai, waktu yang cukup dan cara yang tidak ganas hendaklah digunapakai," katanya sambil mendakwa Suhakam memerhatikan secara langsung demonstrasi di Petaling Jaya pada malam minggu sebelum ini.

NGO: Bongkar muka munafik

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa hak orang ramai untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Sementara itu beberapa kumpulan NGO hari ini turut mengecam tindakan polis membuat tangkapan "besar-besaran" dengan mendesak Menteri Dalam Negeri Tan Sri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan.

Tiga badan itu - Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) dan NGO pendidikan Pusat Pembangunan LLG - mendakwa Hishammuddin 'melanggar' janjinya pada Jun lalu bahawa pindaan ISA akan menjamin hak berhimpun.

"Tetapi kami berpendapat, tangkapan besar-besaran (pada) 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindahan (pindaan) ISA, membongkarkan muka munafik kerajaan yang mengabaikan hak-hak sivil rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang pula menyifatkan justifikasi polis bagi menghalang perhimpunan itu dengan mengatakan sebagarai 'haram' merupakan tindakan yang cukup simplistik.
"Pihak polis barangkali buat-buat lupa terhadap pengisytiharan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini telah menyediakan Speakers Corner khas untuk rakyat menyatakan sebarang ekspresi diri terhadap apa jua isu semasa yang berlaku," kata setiausahanya Syed mikael Rizal Aidid.

"Penganjur juga telah menuruti arahan kerajaan negeri untuk tidak menggunakan sebarang pembesar suara.

"Berdasarkan keadaan ini, pihak polis sewajarnya menghormati perhimpunan dan hak rakyat ini, dan bukannya menimbulkan lagi suasana tegang.
Seterusnya >>>