KUALA LUMPUR, 25 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini melahirkan rasa kesal di atas insiden serangan di majlis anjuran Asal Bukan Umno (ABU) bersama Hindraf di Jalan Kebun, Klang baru-baru ini.
Bercakap sewaktu menerima serahan memorandum dari kumpulan Asal Bukan Umno (ABU) hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah
berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak adil dalam insiden tersebut.
"Sebagai pihak berkuasa mereka sepatutnya menggunakan undang-undang melindungi mangsa kepada kekacauan tersebut bukannya memberi perlindungan kepada yang membuat kacau.
"Saya ingin menegur pihak polis agar lebih adil, siapa yang benar atau yang salah mereka perlu tahu dan kita tidak mahu mereka menyalahguna kuasa yang mereka ada," jelasnya.
Serahan memorandum itu dibuat pemimpin ABU yang diketuai Badrul Hisham Shahrin di Pejabat Suruhanjaya itu di Kuala Lumpur pagi tadi.
Semalam mereka membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.
Menurut jurucakap mereka, laporan tidak dibuat di Klang kerana tidak yakin dengan polis di sana yang dlihat bercakap dengan pihak terbabit selepas kejadian itu.
Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.
Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.
Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.
Dalam ulasannya, Sha'ani berkata, pihak berkuasa juga sepatutnya boleh terus mengambil tindakan kepada mereka yang menyerang ceramah ABU pada malam itu kerana jelas boleh dilihat pihak mana yang memulakan kekacauan tersebut.
"Suhakam sendiri melihat apa yang berlaku pada hari tersebut siapa yang memulakan kekacauan dan sepatutnya pihak polis boleh menahan terus mereka tetapi apa yang kita dengari adalah kenyataan pihak berkuasa yang mengatakan tidak ada apa-apa yang berlaku dan belum menerima sebarang laporan.
"Majlis tersebut dianjurkan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sah di sisi undang-undang bukannya kongsi gelap, dan atas alasan itulah sepatutnya polis sedar siapa yang bersalah ataupun tidak," katanya lagi.
Menurutnya, apa yang dibimbangi, serangan tanpa rasa takut ekoran tiada tindakan drastik oleh pihak bekuasa akan menjadi trend selepas ini lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu Suhakam akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat suruhanjaya untuk tindakan selanjutnya serta akan melakukan inkues awam.
"Setiap yang bersalah perlu dikenakan tindakan bukannya dilindungi oleh pihak berkuasa, saya ingin persoalkan kepada pihak polis siapa yang mereka ingin lindungi individu yang benar ataupun yang bersalah," katanya.
Selesai segera
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard sewaktu menyerah memorandum berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera agar ia tidak lagi timbul pada masa yang akan datang.
"Melihat kepada kejadian tersebut, saya mengesaki bahawa polis pada malam tersebut telah bersubahat dengan orang-orang yang menyerang para hadirin yang hadir di program ceramah.
"Pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penyerang sebaliknya menyuruh kami menghentikan program ceramah itu dan ini jelas menandakan polis gagal menjaga keselamatan orang ramai yang hadir," katanya.
Selain itu, beliau juga mahu Suhakam melakukan siasatan sama ada benarkah dakwaan bahawa pihak polis ada bersubahat dengan penyerang-penyerang yang terlibat.
Sementara itu laporan media (Sinar Harian) mengatakan, polis Selangor telah menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an pagi semalam bagi membantu siasatan insiden serangan ketika ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Jalan Kebun di sini, Sabtu lalu.
Menurut laporan itu lagi, lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan keterangan daripada saksi juga sudah. diambil.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa suspek lagi dan siasatan sudah mula dijalankan selepas kejadian tersebut berlaku.
0 Komen pengunjong :