Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) diketuai Hamidzun
Khairuddin yang kononnya menentang salah guna kuasa dan wang rakyat
sebenarnya ditubuhkan untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat Selangor
terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR).
Mana perginya GAPS apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Noh Omar yang didakwa ada kepentingan dalam perniagaan kolam
udang dan pemilikan tanah yang luas di Tanjung Karang.
Hamidzun sepatutnya lebih teruja dengan RM40 juta Amangate yang
dikatakan sumbangan dermawan kepada UMNO dan menuntut UMNO menjelaskan
isu itu.
GAPS hanyalah alat UMNO untuk menjalankan kerja-kerja kotor dengan
tujuan mencemarkan imej pemimpin Pakatan Rakyat dengan tohmahan jahat.
Mungkin Hamidzun telah menerima budaya UMNO yang menagih duit dari
tauke-tauke kaya untuk kepentingan diri dan parti. Hamidzun jangan
samakan budaya kotor UMNO dengan budaya politik baharu yang dibawa
KEADILAN.
Dalam isu bas yang dibangkitkan Hamidzun, Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau
menggunakan wangnya untuk membayar kos sewa beli bas yang digunakan
pemimpin KEADILAN dalam siri Jelajah Rakyat ke seluruh negara.
Dalam sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor
pada 1 Ramadan lalu, Menteri Besar secara terbuka memberitahu kepada
media bahawa kos sewa beli bas ini sedikit pun tidak menggunakan wang
rakyat atau wang kerajaan negeri.
Menteri Besar juga mengakui bahawa bas dua tingkat yang diubahsuai
ini akan digunakan oleh pemimpin KEADILAN untuk berkempen ke seluruh
negara.
Ini membuktikan bahawa sejak dari awal lagi Tan Sri Abdul Khalid
tidak menyembunyikan perkara ini,malah mengambil sikap terbuka dan
telus. Jika Hamidzun meragui perkara ini, beliau sepatutnya memberikan
bukti kukuh bukannya membuat tuduhan sewenang-wenangnya.
Hamidzun tidak sepatutnya mempertikaikan kemampuan kewangan orang
lain. Sekiranya beliau tidak berkemampuan memiliki sebuah bas, tidak
bermakna Hamidzun boleh membuat tohmahan sesuka hati terhadap orang lain
yang lebih berkemampuan berbanding beliau.
Adakah Hamidzun iri hati atau sakit hati dengan kemampuan orang lain? Hanya Hamidzun mampu menjawab persoalan ini.
Hamidzun tidak perlu mereka-reka isu yang tiada hujung pangkalnya
semata-mata cuba mengalih pandangan orang terhadap beliau yang didakwa
ada kaitan dengan kes pecah amanah ketika menjadi peguam panel
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Biarpun Tan Sri Abdul Khalid mengamalkan sikap terbuka kepada
siasatan oleh pihak berkuasa tetapi kesabaran beliau juga ada hadnya.
Beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang
sekiranya Hamidzun berterusan menjaja fitnah di media tanpa memberikan
sebarang bukti.
Malah, pihak media juga sepatutnya berasa bimbang dan berfikir banyak
kali sebelum menyiarkan dakwaan Hamidzun jika dakwaan itu tidak
disertakan dengan bukti-bukti.
Tan Sri Abdul Abdul Khalid sebelum ini pernah dilemparkan pelbagai
tuduhan tetapi selepas disiasat pihak berkuasa, ternyata ia tidak benar.
Malah, seorang individu pernah diarah membuat kenyataan mohon maaf di
media kerana membuat fitnah. Kejadian ini diharap boleh menjadi
pengajaran kepada Hamidzun.
Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor
Polis tahan kambing gemar kejar orang
3 hours ago
0 Komen pengunjong :