Kerajaan tiada sebab halang peguam Perancis ke Malaysia melainkan…


KUALA LUMPUR 28 Mei: Peguam Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang baru pulang dari Perancis April lalu, Fadiah Nadwa Fikri berkata, kerajaan Umno BN tiada sebarang sebab untuk menghalang kedatangan peguam Perancis ke Malaysia yang dijadual tiba pada minggu ini.
“(Ia) bukanlah satu masalah di negara yang mengamalkan demokrasi, tapi di Malaysia, pelbagai undang-undang digunakan untuk menghalang (kedatangan mereka),” katanya dihubungi Keadilan Daily.
Justeru, kata Fadiah, peguam mereka memohon visa kerja bagi mengelakkan sebarang masalah untuk memasuki Malaysia.
“Kami sedang menunggu reaksi pihak berkuasa. (Permohonan) sepatutnya tiada masalah kerana kedatangan mereka memang atas urusan kerja,” jelas Fadiah.
Sebelum ini, Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel memaklumkan sama ada peguam William Bourdon atau Joseph Brehem
dijadualkan tiba ke Malaysia minggu depan untuk berbincang berhubung kes rasuah Scorpene.
Pada Julai 2011, William diusir pulang ke Perancis, kononnya telah menyalahgunakan pas lawatan sosial selepas
menghadiri majlis kutipan dana pembiayaan kes Scorpene di Pulau Pinang.
Beliau ditahan di dalam pesawat sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Pulau
Pinang.
Walhal sekatan itu sememangnya dipercayai bagi menutup kebongkaran berhubung pembabitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai urusniaga pembelian kapal selam itu.
Ditanya kemungkinan sekatan kerana melibatkan kes yang sensitif, Fadiah berkata, mana-mana individu tidak boleh dihalang untuk berjumpa dengan individu lain.
“Malah, sudah menjadi hak kami selaku anak guam untuk berjumpa dengan peguam kami,” tegas beliau lagi.
Suaram adalah organisasi hak asasi manusia yang bertanggungjawab memfailkan kes terhadap DCNS, syarikat pembuat
kapal selam Perancis yang membina dan menjual kapal selam kepada negara dunia ketiga termasuk Malaysia.
Kes itu difailkan kerana DCNS membayar ‘komisen’ lebih daripada RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat yang
dimiliki Abdul Razak Baginda, rakan karib Najib.
Pada 20 April lalu, Pengarah Suaram, Kua Kia Soon; Anggota Sekretariat, Cynthia Gabriel dan Fadiah berhujah di hadapan hakim dalam sesi tiga jam di Perancis yang berakhir pada jam 6.00 petang (waktu Perancis).
Najib antara nama dalam senarai yang dicadangkan Suaram kepada hakim di tribunal Grande Instance Paris, berhubung
rasuah pembelian Scorpene.

0 Komen pengunjong :