KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh
agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad
(terkeluar dari Islam).
Katanya,
tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk
menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah
lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.
"Tak kira siapa pun kalau
tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati
yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada
mufti bagitau dia.
"Umno tolak Islam maka nampak dia telah
memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh
jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi
dia tak faham," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan
(Putik) di sini hari ini.
Menteri Besar Kelantan itu juga
berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk
bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno
sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan
kemerdekaan dahulu.
"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.
"Sekarang
(Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun
kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya,"
tegasnya memberi analogi.
Sementara itu, dalam sidang media
berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan
berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan
murtad.
Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung
murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan
Perdana Menteri.
"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang
memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir,"
katanya tidak mahu mengulas panjang.
Carian Harakahdaily terhadap
kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad
kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;
Melalui
percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina,
merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah,
sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya,
kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum
yang diterangkan oleh rasul-Nya.
Dan juga perkataan yang menolak,
menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak
mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa
perkara itu dari agama.
Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
1. “Hukum apa ini?”
2. “Hukum ini sudah lapuk.”
3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”
4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”
5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”
6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”
7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”
8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”
9.
Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan
bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan
dijarinya.
10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.
12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
13.
Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak
diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana
yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.
0 Komen pengunjong :