Suhakam Gesa Pastikan Pindaan ISA Hormati Prinsip Hak Asasi

SHAH ALAM 15 Sept - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru kerajaan memastikan cadangan pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan yang dianggap terus menghormati prinsip hak asasi berkaitan hak peribadi tahanan, hak tahanan mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Ini selari dengan Artikel 3, 10 dan 11 seperti mana yang ditetapkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.
Badan itu berharap pindaan yang bakal dibuat terhadap akta yang dianggap zalim dan drakonian itu hanyalah satu langkah pertama menjurus kepada pemansuhan muktamad.
Suhakam juga akan terus menggesa supaya laporan tahunan badan itu akan didebatkan di dalam Parlimen supaya rakyat mengetahui sejauh mana tahap hak asasi negara ini dihormati disamping mendapat faedah daripada perdebatan dan buah fikiran ahli-ahli parlimen mengenai laporan itu.
"Sebagai sebuah badan penasihat tanpa kuasa penguatkuasa dan pendakwaan, Suhakam menggalakkan ahli-ahli parlimen supaya memberi perhatian kepada isu dan cadangan yang dimuatkan di dalam laporan tahunan itu demi menambahbaik hak asasi di negara ini," kata Suhakam dalam satu kenyataan media sempena ulangtahun ke 11 badan itu 9 September lalu. 
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata sepanjang penubuhannya badan tersebut telah berusaha keras memberi perhatian terhadap pelbagai isu yang berhubung hak asasi dan memberi kesedaran mengenainya melalui dialog dan rundingan dengan pihak yang berkenaan.
"Suhakam telah mengadakan pendengaran awam, menjalankan penyelidikan, menganjurkan bengkel, forum; mencadangakan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan, menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 27 Akta Polis dan Akta Rahsia Rasmi serta pemansuhan hukuman mati dan hukuman penjara seumur hidup.
"Sejak penunuhannya pada 9 September 1999, Suhakam berpuas hati semakin ramai rakyat Malaysia kini sudah sedar dan faham mengenai konsep hak asasi. Bertambah ramai rakyat tampil ke hadapan menggunakan mekanisme sediada Suhakam yang akan ditangani dengan seberapa cepat dan teliti.
"Ini termasuk golongan yang tidak bernasib baik dan terpinggir seperti Orang Asal, wanita dan kanak-kanak, golongan usia emas dan juga mereka yang miskin yang tidak punyai saluran lain menyuarakan masalah mereka," kata Hasmy.
Namun kata beliau Suhakam masih berhadapan dengan cabaran termasuk terus mendampingi jabatan kerajaan terutamanya agensi penguatkuasa agar membangkitkan kesedaran pemahaman dan pematuhan serta menghormati hak asasi dan juga menyedari mandat statutori badan itu.
"Suhakam akan terus membuat cadangan kerajaan supaya melaksanakan pelbagai usul dan memandang lebih serius pelanggaran hak asasi yang telah didedahkan melalui laporan dan kenyataan," kata badan itu.
Tambah Hasmy, Suhakam juga terus menangani beberapa aduan yang sentiasa diterima badan itu termasuk kegagalan tindakan polis, penangkapan serta penahanan rambang, penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa, penyiasatan selektif, penafian kepada hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara dan berekspresi.
Berhubung mempertahankan hak Orang Asal, Suhakam telah menubuhkan Jawatankuasa Hak Orang Asal untuk mengkaji masalah yang berkaitan dengan tanah adat dan juga akses masyarakat itu kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
"Pihak suruhanjaya kini sedang mengumpul fakta dan maklumat sebelum menimbang untuk menganjurkan pendengaran awam mengenai hak Orang Asal," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu satu lagi cabaran yang dihadapi badan itu ialah mengekalkan status bertaraf A yang diberikan oleh Jawatankuasa Koordinasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Manusia (ICC).

0 Komen pengunjong :