Demo tuntut mansuh tol Bt Tiga, Sg Rasau

PR demo tuntut mansuh tol Bt Tiga, Sg Rasau

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR), dengan diketuai PKR, sedang mengadakan demonstrasi menuntut agar tol Lebuh Raya Persekutuan di Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini dimansuhkan.
Demonstrasi di kawasan Plaza Tol Batu Tiga, yang bermula sekitar jam 2.15 petang itu, disertai lebih 100 orang.
Terdapat beberapa anggota trafik mengawal keadaan manakala kenderaan yang lalu plaza tol pula memberi sokongan dengan membunyikan hon kereta.
Difahamkan penganjur bercadang untuk mengadakan demonstrasi di kedua-dua plaza tol secara berasingan.
Malah, difahamkan juga, peserta yang menyertai demonstrasi di Plaza Tol Batu Tiga akan menyertai mereka di Plaza Tol Sungai Rasau kemudian.
Dalam pada itu, PKR berjanji akan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau jika PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, salah seorang yang mengetuai demonstrasi di Plaza Tol Sungai Rasau berkata, kewujudan plaza tol ini sejak lebih 24 tahun yang lalu telah membebankan rakyat kerana setiap hari dan sepatutnya dimansuhkan segera.
Demonstrasi di kawasan Plaza Tol Sungai Rasau bermula jam 2 petang dan berakhir 3.30 petang. Kira-kira 300 orang menyertai demonstrasi.
"Saya pernah membuat usul secara bertulis kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, bertanyakan bila pihaknya boleh mansuhkan kedua-dua plaza tol ini, namun hingga kini tidak mendapat sebarang jawapan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya tidak membebankan rakyat dengan terus mengenakan tol.
“Pihak kami mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman dengan segera untuk mansuhkan kedua-dua plaza tol ini," kata beliau.
Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pengguna kedua-dua plaza tol terbabit rata-ratanya dari kawasan Klang, Kuala Langat dan Banting, justeru pihaknya tidak mahu lagi rakya terus dibebani dengan kewujudan tol ini.
“Agak membebankan pengguna kerana mereka terpaksa membayar kadar tol untuk pergi dan balik setiap hari dan kerajaan sewajarnya mempertimbangkan demo yang kami lakukan hari ini,” katanya.
Demonstrasi disertai kira-kira 300 orang termasuk pengguna plaza tol dan penyokong PKR.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata,"ini adalah fasa pertama kita berhimpun untuk tuntut pemansuhan Tol Batu Tiga dan Sg. Rasau."
"Kami akan berhimpun di hadapan pintu plaza tol di seluruh negara jika kerajaan masih belum mengambil tindakan untuk mansuhkan tol di dua tempat tersebut," kata beliau.
Ketua Pemuda AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, "tujuan perhimpunan ini adalah untuk meringankan beban rakyat terutamanya kawasan sekitar yang melalui Lebuh Raya Persekutuan ini."
"Selain itu, kami juga tidak mahu hak rakyat diabaikan dan ingin menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan," kata Azmizan lagi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, "masa sudah tiba untuk kita mansuhkan tol di dua kawasan ini yang membebankan rakyat yang berulang alik dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur."
"Kita tak perlu tunggu lama lagi untuk mansuhkan tol ini, dan kita tidak akan biarkan Umno berada dalam kesenangan dan biarkan rakyat kesakitan menanggung beban ini," katanya.
Wakil rakyat dari Pas ini berkata, zaman politik sudah berubah dan rakyat mahukan pihak yang boleh membantu mereka bukan membebankan.
"Jika Umno masih tidak mahu ambil peduli atas desakan rakyat mereka akan terus terima tekanan dari rakyat," kata Khalid di hadapan pintu tol Batu Tiga di sini.
Turut hadir Liu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei. Perhimpunan anjuran AMK Selangor ini bersurai pada pukul 4.30 petang dalam keadaan aman.

0 Komen pengunjong :