Timbalan Presiden PKR Azmin Ali 'terkejut' apabila mantan perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan beliau mengambil tindakan
mahkamah susulan laporan media mengaitkan beliau sedang melakukan aksi
seks dengan seorang perempuan.
Malah, Azmin juga turut
mengucapkan terima kasih kepada Mahathir yang menasihatinya supaya
menyaman media berkenaan yang membuat dakwaan demikian.
"Dr
Mahathir pun sokong saya. Saya terkejut. Beliau kata, 'Azmin, saya
cadangkan Azmin saman media sebab mengaibkan Azmin' dan beliau sendiri
tidak percaya dengan gambar-gambar," katanya secara sinikal.
"Saya
tweet kepada Tun, mengucapkan terima kasih kerana menasihati saya.
Kalau Tun Mahathir simpati dengan saya, takkan Tan Sri Khalid tak
simpati dengan saya," katanya dalam sidang media petang ini.
Azmin
menjawab soalan pemberita berhubung tanggapan umum bahawa Menteri Besar
Tan Sri Khalid "tidak mempertahankan" beliau susulan laporan muka depan
Utusan Malaysia yang memaparkan gambar lelaki miripnya dengan seorang wanita melakukan aksi seks.
Mengulas perkara tersebut, Azmin yang juga pengerusi PKR Selangor menepis tanggapan umum berhubung Khalid tidak menyokongnya.
"Siapa kata Tan Sri Khalid tidak sokong saya, dia sokong saya saman
Utusan Malaysia... Dia kata 'no comment' sebab tak dapat maklumat betul atau menyeluruh.
"Tetapi keesokan harinya beliau sokong saya saman
Utusan Malaysia.
Jangan laga-lagakan saya dengan Tan Sri Khalid. Tak boleh makan,"
katanya sambil disambut ketawa kecil beberapa pimpinan yang hadir.
Beliau
juga menjelaskan berhubung pesanan tweetnya mengenai kenyataan Presiden
PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyuruh beliau bertemu
ibunya.
Katanya, beliau dapat memahami maksud Wan Azizah tetapi
khuatir rakyat "akan keliru sebab peranan media yang cuba
melaga-lagakan" pemimpin di kalangan mereka.
"Saya mendapat simpati yang luar biasa, silaplah
Utusan Malaysia," katanya.
Ditanya
sama ada serangan terhadapnya sejak sebulan lalu bakal mengubah
sokongan rakyat kepadanya, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata
yakin dengan kebijaksanaan rakyat, menyerahkan kepada mereka untuk
menentukan.
Bahkan beliau menegaskan hubungan kekeluargaan dan
perkara berkaitan isu kekeluargaan perlu diharmonikan dan disejahterakan
daripada diaibkan.
Sambil mengulangi bahawa beliau tidak pernah
menderhakai ibunya, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa
mempersoalkan tujuan media mengheret ibunya dalam isu yang dikaitkan
dengannya.
"Jangan
media heret untuk kepentingan Umno. Untuk apa?... Adakah dia (Umno)
minat dengan fakta... Dalam satu bulan, tujuh serangan kepada saya.
"Tidak ada jalan untuk saya jadi lemah, saya akan terus lawan... Apa jenis politik ni, saya pun tak tahu," katanya.
Sebelum itu, dalam Majlis
hi-tea
bersama media dan penulis blog, Azmin berkata Pakatan Rakyat tidak
terlibat dengan "politik longkang dan kotor" sewaktu mentadbir negeri
itu.
Maalah, Pakatan Rakyat Selangor akan memastikan hala tuju
dan janji gabungan itu dalam Buku Jingga dapat dilaksanakan sekiranya
menguasai Putrajaya.
Memetik kata-kata seorang pengamal media
India MD Akhbar yang menegaskan kuasa dan pengaruh media terletak kepada
kredibiliti maklumat yang disampaikan, Azmin mendakwa jualan dan edaran
Utusan Malaysia merudum ekoran "kredibiliti kewartawanan".
"Kalau
fitnah dan pembohongan (berleluasa), tidak ada lagi kredibiliti dan
pengaruh... Media yang disokong oleh rakyat, nak kuat kena ada
kredibiliti dan adil (dalam laporan)," katanya sambil menegaskan tidak
gusar dengan serangan media arus perdana terhadapnya.
.
0 Komen pengunjong :