Pecat Anwar: Nalla dedah dirinya 'bapa ayam'?

Pecat Anwar: Nalla dedah dirinya 'bapa ayam'?

KUALA LUMPUR- Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad menempelak Senator S. Nallakarupan yang mahu mengusulkan pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
Sedangkan kata Dzulkefly, pengakuan Nalla mengenai aktivitinya yang kononnya 'menyusun segala kegiatan sumbang Anwar', tidak ubah seperti seorang "bapa ayam".
"Nalla sebelum ini mengakui dia yang menyusun segala kegiatan sumbang yang kononnya dilakukan oleh Anwar.
"Bermakna dia sendiri ialah bapa ayam yang tugasnya mengatur kegiatan-kegiatan sumbang," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut mempersoal BN yang melantik Nalla sebagai Ahli Dewan Negara yang disifatkan sebagai menjatuhkan imej Dewan Negara.
"Lebih malang lagi apabila Umno BN boleh melantik "bapa ayam" dalam Dewan Negara.
"Adakah BN sudah bankrap tokoh-tokoh akademik dan profesiaonal atau dalam bidang-bidang lain yang berwibawa dan berkelayakan? Dalam ramai-ramai tokoh di Malaysia, kenapa lantik orang seperti Nalla jadi senator?" soalnya.
Beliau menambah, tuduhan terbaru Nalla terhadap Anwar dan cadangan pelucutan jawatannya merupakan usaha berterusan untuk menjatuhkan kredibiliti Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
"Mutakhir ini memang kita nampak usaha yang bertubi-tubi untuk terus menjatuhkan kredibiliti Anwar," katanya.
Justeru beliau menyeru semua pihak khususnya parti politik mengamalkan politik bersih dan matang serta mengutamakan persaingan polisi, prestasi, dan kepimpinan.
"Sudah sampai masanya negara kita mengamalkan politik bersih dan bebas daripada politik jatuh menjatuhkan melalui fitnah," katanya.
Hasrat Nalla dan peguam Umno Datuk Shafee Abdullah itu bagaimanapun dilihat sukar dan mungkin mustahil kerana tiada peruntukan untuk usul melucutkan jawatan atas persoalan peribadi dan bukan salah laku beliau di Dewan Rakyat samada dari segi pertuturan dan tindakan.

0 Komen pengunjong :