Aku Jimat: Tekanan baru buat Umno


PARIT BUNTAR, 20 Jan: Permainan terbaru Aku Jimat, bagi pengguna alat elektronik Apple - iPod, iPad dan iPhone dilihat satu lagi kreativiti rakyat yang memberi tekanan kepada Umno BN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong ketika mengulas perkara itu berkata, Aku Jimat yang dipercayai diilhamkan dari watak Datin Seri Rosmah Mansor itu menjelaskan bagaimana tahap 'populariti' isteri Perdana Menteri Malaysia itu.

Menurutnya, dengan permainan yang mula menjadi kegilaan pengguna gajet Apple itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Rosmah kini liabiliti kepada Umno dan juga Najib.

"Situasi Umno nampaknya semakin genting dengan perkembangan ini, manakan tidaknya, isteri Presiden Parti sendiri merupakan liabiliti terhadap Umno-BN, dalam masa sama para ahlinya masing-masing membuat pendekatan "yes sir" dan tidak berani kemuka usul itu yang bercanggah dengan kehendak Presiden.

"Aplikasi permainan ini tidaklah khusus direka sempena nama DS Rosmah, tetapi saya yakin ahli Umno dan Rosmah khususnya jika pandang cermin pasti nampak siapakah watak sebenar dalam permainan Aku Jimat," katanya kepada Harakahdaily.

Aku Jimat boleh didapati di App Store sejak 17 Januari lalu.

Aplikasi ini memaparkan watak kartun yang mirip Rosmah, dan paling ketara pada gaya rambutnya.

Aplikasi yang ditawarkan secara percuma ini, membolehkan para pemain berjimat dengan mengumpulkan duit, selain pada masa yang sama perlu membeli 12 jenis barangan mewah, seperti cincin berlian, beg tangan dan sebagainya melaluinya.

Sama seperti permainan-permainan lain, Aku Jimat turut menyertakan beberapa halangan, dimana para pemain perlu mengelak daripada mengumpulkan bom, dimana setiap bom akan menambah jangka umur, dan para pemain akan gagal apabila mengumpulkan sebanyak 99 biji bom.

"Fenomena “penjimatan” oleh Rosmah telah mencetus suasana baru politik tanah air.

"Memandangkan beliau merupakan isteri kepada Perdana Menteri, maka atas nama itu, isu ini telah menjadikannya sebagai tarikan luar biasa sehingga muncul aplikasi permainan telefon pintar yang mirip kisah Rosmah dengan cara belanjanya," katanya.

0 Komen pengunjong :