PETALING JAYA 26 NOV : Kongres Parti Keadilan Rakyat ke-7 pagi ini dengan sayap parti Angkatan Muda Keadilan dan Wanita memulakan persidangannya pada hari ini di Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya.
Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali merasmikan kongres kedua-dua sayap parti itu yang merupakan buat kali terakhir.
Dr Syed Husin menjelaskan, keputusannya tidak mempertahankan jawatan dibuat adalah pilihan sendiri.
"Ini hasil pilihan saya sendiri. Saya telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden. Bukan ketua umum, bukan Azmin Ali," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian bagi Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR (AMK).
"Sekarang ini saya lihat KEADILAN berada dengan asas yang kukuh, walaupun masih terdapat banyak lagi kelemahan serta masalah. Dalam usianya yang pendek, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun Parti tidak berjaya diganggu gugat, sama ada dari dalam dan luar. Ia tetap berdiri kukuh. Saya yakin segala pengalaman yang dilalui - pahit, maung dan apatah lagi manis akan mematang dan memperkasakan lagi kita dan Parti kita," katanya.
"PAKATAN menyatukan parti-partiterbesar di luar pemerintahan sebagai hanya satu gabungan. Namun begitu ia harus menarik juga parti-parti kecil yang masih belum menyertainya, dengan syarat mereka menyokong penuh Dasar Pakatan Rakyat yang telah disetujui pada 19 Disember 2009 . Kini terdapat hanya satu gabungan yang boleh menjadi pilihan rakyat dalam pilihanraya akan datang," katanya lagi.
"Anggota-anggota Parti mempunyailatarbelakang berlainan; mereka mempunyai orientasi politik yang berbeza-beza. Sehingga sekarang ada di antara mereka yang masih terbawa-bawa oleh pengaruh lama mereka.Bahkan masih ada, walaupun bilangannya sangat kecil, yang menimbulkan syak wasangka atau permusuhan dengan membangkitkan latarbelakang tertentu. Masalah besarnya ialah bagaimana hendak memupuk kesedaran bahawa kita semua, walau dari manapun asalnya, sekarang adalah anggota KEADILAN," ujarnya.
"Tujuh belas perkara dalam Fasal 5 Perlembagaan dan kenyataan serta ucapan pemimpin itu harus dihadamkan oleh setiap anggota dan dijadikan panduan untuk segala tindakan politik. Segalanya dapat dirumuskan kepada empat cita-cita atau visi Parti. Empat perkara yang harus diusahakan dan perlu dicapai ialah, Keadilan untuk Semua, Kepedulian Rakyat, Perpaduan Negara-bangsa, dan Kemurnian Moral serta Etika," katanya.
"Bilangan anggota Parti perlu ditambah. Kuantiti saja tidak mencukupi, ia mesti diimbangi dengan kualiti. Mutu anggota perlu ditingkatkan dengan pemahaman dan penghayatan dasar perjuangan Parti. Semangat serta keazaman untuk berjuang gigih dan berkorban untuk Parti dan rakyat mesti sebati dalam hati sanubari anggota,"katanya.
"Semoga Allah membenarkan yang benar dan menghukum mereka yang zalim. Kita sebagai anggota Parti mesti sentiasa menegakkan keadilan serta kebenaran dan menentang kezaliman serta kebatilan,"ujarnya.
"Parti kita selesai melaksanakan proses pemilihan demokratik yang memberikan setiap anggota satu undi untuk memilih pemimpin di peringkat Cabang dan Pusat. Ini merupakan inisiatif pertama yang dijalankan oleh parti politik di negara ini dan mungkin juga yang terunik di seluruh dunia," katanya.
"Saya kira, dalam ucapan hari ini saya telah meninggalkan pesan yang saya rasakan perlu. Saya berharap dan berdoa agar Wanita, Angkatan dan Parti Keadilan Rakyat seluruhnya akan berkembang lebih besar dan menjadi lebih kuat, " katanya.
Dalam ucapannya, beliau berasa gembira berbaur sedih kerana menyampaikan kerana ini ialah kali terakhir beliau berucap untuk merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda.
0 Komen pengunjong :