Hari Khamis 24 Mei yang lalu sepatutnya sama seperti hari-hari Khamis
lain. Saya ditugaskan membuat liputan ceramah politik PKR - satu
perkara yang biasa saya lakukan sebelum bertugas di Malaysiakini
lagi. Ceramah itu dijadual berlangsung di Pantai Dalam, yang terletak
dalam kawasan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Sepanjang
jalan bermula dari stesen Petronas Pantai Dalam ke tapak ceramah di PPR
Pantai Permai aliran trafik lebih sesak daripada biasa.
Kelihatan
pemuda-pemuda berbaju-T merah memegang kain rentang berdiri di kiri
kanan jalan. Pada kain rentang tersebut tertulis mesej-mesej antaranya
"Anwar kaki pusing", "Parti anak-beranak", dan "Parti Kencing Rakyat"
Saya
tidak pasti sekiranya kesesakan trafik hari itu berpunca daripada
kebanjiran ramai orang ke ceramah Pakatan Rakyat yang merupakan satu
perkara biasa, atau kerana jalan raya ke tapak ceramah menjadi semakin
sempit dengan kehadiran pemuda-pemuda berbaju merah tadi.
Kira-kira
10 meter dari tapak ceramah PKR rupa-rupanya turut berlangsung satu
lagi ceramah politik. Kain rentang ceramah politik itu bertulis "Ganyang
Petualang Negara", dipercayai ditujukan buat Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim. Jangkaan saya tepat apabila mendapati antara penceramah
yang dijadualkan berucap di pentas itu adalah Ummi Hafilda Ali, seperti
yang dapat dilihat pada satu kain rentang.
Wah! Ini kali pertama saya bakal melihat Ummi Hafilda berceramah dan juga ceramah politik berkembar.
Di
pentas ceramah PKR, Nurul Izzah Anwar baru mengambil tempat untuk
berceramah. Selang beberapa minit beliau berucap suaranya tiba-tiba
'hilang' daripada sistem siaraya.
Pada
waktu itu, saya mengagak ia mugkin disebabkan gangguan teknikal yang
kadang-kala berlaku pada mana-mana ceramah. Namun, pada masa sama lampu
khemah menempatkan Nurul Izzah turut gelap. Rupa-rupanya tapak ceramah
PKR putus bekalan elektrik.
Beberapa petugas ceramah berlari ke
blok apartmen bersebelahan yang membekalkan kuasa elektrik ke tapak
ceramah. Saya bergegas mengekori mereka.
"Wayar kena
potong-potong! Wayar kena potong!" jerit seorang petugas. Apabila saya
tiba, saya lihat wayar elektrik terputus dua. Selepas saya merakamkan
beberapa keping gambar, petugas ceramah menyambung semula wayar itu dan
bekalan elektrik di tapak ceramah PKR kembali pulih.
Saya beredar
ke tapak ceramah Umno untuk meninjau suasana di situ. Ummi Hafilda
sedang berucap dan kira-kira 200 orang berpakaian merah sedang mendengar
ucapannya. Mereka memenuhi kira-kira dua daripada lima khemah tersedia.
Ummi kelihatan manis - berjubah kain licin nipis berwarna hijau. Ummi
berucap menggunakan rostrum dan sambil berucap kain jubahnya ditiup
angin kipas pentas di belakangnya.
Saya kembali ke tapak ceramah
PKR dan mengambil tempat hampir dengan khemah ceramah untuk mengikuti
ceramah Anwar yang baru menaiki pentas.. Kini Anwar sedang berucap.
Tiba-tiba,
beberapa orang hadirin di sebelah saya bangun berdiri dan keadaan
bertukar menjadi kecoh. Saya tertanya-tanya apa yang berlaku. Mereka
bising-bising dan meninjau-ninjau ke arah belakang.
Rupa-rupanya
salah seorang daripada mereka dibaling telur dan mereka cuba mencari
dari arah mana datangnya telur itu. Anwar yang menyedari perkara itu
meminta hadirin bertenang dan meneruskan ceramahnya semula.
Selang
beberapa minit Anwar berucap, tiba-tiba hadirin ceramah berhampiran
saya kembali berdiri dan keadaan kembali kecoh. Namun suasananya kali
ini terasa lebih panik. Saya ternampak seorang wanita mempamerkan
wajah takut selepas beliau meninjau ke bahagian belakang khemah
tersebut. Pada masa itu juga beberapa kamera video yang merakam ucapan
Anwar diangkat dan jurukamera bergegas berpusing ke belakang.
"Beri
laluan! Beri laluan!" jerit suara dari arah belakang saya. Seorang
lelaki tua berbaju putih dengan kesan tompok darah dipapah dekat dengan
pentas ceramah dalam keadaan tidak bermaya. Apabila beliau dipapah
semakin dekat dengan tempat saya berdiri, kelihatan darah mengalir
keluar dari dahinya dengan tidak berhenti-henti.
Orang ramai
mendudukkan beliau di atas kerusi di hadapan pentas. Keadaan sekeliling
bertambah panik kerana darah masih terus mengalir keluar dari dahinya
dan menitik ke atas baju-T beliau.
Melihat keadaan lelaki itu Anwar melaungkan "Pemuda Umno sial! Pemuda Umno sial!" melalui sistem pembesar suara.
Lelaki
itu kemudian diusung keluar dari tapak ceramah dan dibawa ke tempat
lain masih dalam keadaan separa sedar - dipercayai untuk rawatan.
Tidak
berpuas hati dengan perkara yang berlaku, penyokong lelaki PKR mula
berdiri dan bergerak ke arah pintu pagar kuarters DBKL yang memisahkan
ceramah PKR dan ceramah Umno.
Pada masa sama penyokong Umno dari
dalam kawasan kuarters DBKL turut bergerak ke arah pagar tersebut. Namun
jumlah mereka hanya dianggarkan satu perlima daripada penyokong PKR.
Di pentas Umno, Ummi masih berceramah begitu juga Anwar di tapak ceramah PKR.
Penyokong
kedua-dua pihak mula menjerit-jerit ke arah satu sama lain.
Kedua-duanya kelihatan seolah-seolah sedia untuk bertempur dan akan
memanjat pagar ke sebelah pihak satu lagi jika polis tidak berkawal
berhampiran pagar itu.
Keadaan yang sama berterusan sewaktu Ahli
Parlimen Shah Alam Khalid Samad mula berucap di sebelah PKR. Di pihak
Umno, Ummi Hafilda masih lagi berucap. Namun beliau akan menghentikan
ucapannya untuk mendengar butiran ucapan Khalid Samad dan membidasnya
secara spontan.
Saya kini berada di antara pagar yang memisahkan
kedua-dua penyokong. Dari tempat saya berdiri, sekali sekala saya
ternampak beberapa penyokong Umno dengan bendera Malaysia diikat
menyembunyikan wajah mereka melontar telur dan botol air mineral ke arah
penyokong PKR. Polis berdiri memerhatikan perkara tersebut tetapi
mereka tidak pula melarangnya.
Sekitar dua puluh minit kemudian
keadaan tegang beransur reda. Sorak-menyorak sudah berkurangan. Saya
kembali ke tapak ceramah PKR. Khalid Samad sedang berucap dan
menceritakan kejayaan-kejayaan negeri Selangor kepada penduduk setempat.
Saya
dan rakan setugas, Koh Jun Lin dihampiri seorang lelaki. Menurutnya ada
seorang budak perempuan turut menjadi mangsa lontaran batu pada malam
itu. Kami mengikut lelaki itu ke bahagian khemah penceramah dan
menemubual budak perempuan itu dengan ditemani ibunya.
Ceramah berakhir tidak lama kemudian apabila Khalid Samad membacakan doa sebagai penutup ucapan beliau.
Merenung
kembali perkara yang baru sahaja berlaku beberapa minit lalu, saya
tidak dapat membayangkan bagaimana suasana pilihan raya umum kelak.
-/ malaysiakini
Mondy diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew
1 week ago
0 Komen pengunjong :