KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sengaja mencipta helah untuk mengelak dari berdebat dengan beliau, berikutan pengumuman terbaru perdana menteri itu.
“Debat Anwar-Najib: pelbagai alasan, helah untuk mengelak,” kata Anwar dalam laman Twitternya malam semalam.
Anwar mengulas pengumuman Najib melalui catatan blognya, yang mengatakan kesediaan untuk berdebat dengan sesiapa sahaja pemimpin yang ‘berfikiran munasabah’.
Menyifatkan medan debat sebagai wacana yang sopan dan segar, Anwar berkata, beliau yakin rakyat Malaysia sangat matang untuk menilai debat berkenaan sekiranya diadakan.
“Saya yakin rakyat Msia matang utk menilai debat sebagai wacana sopan, segar,” katanya lagi.
Pengumuman Najib untuk berdebat itu turut disiarkan oleh Buletin Utama, TV3 malam tadi.
Namun, di pertengahan berita tersebut, TV3 membuat pembetulan Najib hanya mahu berbincang mengenai kedudukan ekonomi di Malaysia.
Kali terakhir Najib memberi respon berkenaan debat itu ialah ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Johor, Januari tahun lalu, dengan mendakwa Anwar akan ‘demam’ sekiranya menerima cabaran debat berkenaan.
Selepas itu, Najib terus membisu meskipun Anwar berulangkali melontarkan cabaran yang sama, termasuk memberi peluang kepada presiden Umno itu memiliki tambahan masa 10 minit jika sedia berdebat.
Sementara itu, kajian terbaru Merdeka Center mendapati 54 peratus responden mahu debat diadakan manakala 75 peratus responden dalam kumpulan belia Melayu turut menyatakan persetujuan mereka.
Merdeka Center sebelum ini turut menyatakan debat berkenaan disokong kumpulan profesional Melayu di negara ini, yang berminat untuk melihat debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
0 Komen pengunjong :