Sandiwara politik mengacah kapasiti intelek mahasiswa yang cuba dimainkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malysia, Khaled Nordin, jelas memperlihatkan bahawa beliau bukanlah seorang yang selayaknya duduk pada kerusi menteri yang memegang portfolio hal ehwal mahasiswa. Oleh itu, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mendesak beliau untuk bertanggungjawab dan berundur daripada jawatan sebagai menteri.

Khaled Nordin sepatutnya berasa malu dengan timbalan beliau sendiri, Saifuddin Abdullah (gambar kanan) yang mempunyai pendirian yang jelas tentang keterlibatan mahasiswa dengan politik Negara. Ini dilihat jelas melalui galakannya kepada mahasiswa untuk bersuara dari pentas-pentas Speakers' Corner yang beliau cetuskan kembali. Saya kira, Saifuddin lebih mendapat tempat di hati mahasiswa berbanding Khaled yang sering mempunyai pandangan yang bertentangan dengan mahasiswa sendiri.
Khaled juga wajar untuk berasa malu dengan MCA yang turut memiliki pendirian jelas terhadap keterlibatan politik di kalangan mahasiswa dengan menggesa supaya Akta Universti dan Kolej Universiti itu dipinda secara besar-besaran. Ini digambarkan dengan jelas dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA yang selesai berlangsung minggu lepas.
Menurut pandangan KAMI, Menteri Pengajian Tinggi seharusnya menjadi suara kepada anak mahasiswa dan idealisme intelek yang dibawa dari lapangan varsity untuk kebaikan masyarakat agar lebih matang. Malangnya, kita sendiri melihat pendirian dan tindakan Menteri adalah satu mekanisme untuk membunuh peranan mahasiswa dalam kampus dan masharakat.
Justeru, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dengan tegas mendesak agar Khaled bertanggungjawab atas pandangan dan pendiriannya. Maka KAMI mendesak agar Khaled segera berundur daripada jawatan menteri untuk disesuaikan dengan seorang pemimpin yang lebih bertanggungjawab, berprinsip, berpendirian dan lebih memahami hasrat mahasiswa.
*Kenyataan media oleh Hilman Idham selaku Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
0 Komen pengunjong :