Galas: PAS, Umno setuju tarikh pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kedua-dua parti utama yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak kisah dengan tarikh pilihan raya kecil yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.
SPR menetapkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November ini manakala penamaan calon pula dijadualkan 26 Oktober.
Timbalan Ketua Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan tarikh tersebut.
“Kita amat bersetuju dengan tarikh yang dikemukakan SPR dan kita tiada masalah langsung.
“Yang jadi masalah kalau SPR pilih hari Jumaat kerana bagi rakyat Kelantan hari tersebut biasanya mereka bercuti,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tambahnya, setakat hari ini sokongan terhadap Umno-Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.
“Sehingga kini kita sangat berpuas hati dengan sokongan yang diberikan pengundi di kawasan Galas.
“Saya melihat mood memihak kepada kita dan kita yakin mampu merampas semula kerusi Galas ini,” kata Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri.
Sementara itu Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang Dr Zulkifli Mohamed berkata, parti Islam itu juga tidak mempunyai masalah dengan tarikh yang ditetapkan SPR itu.
“Kita tiada masalah dengan tarikh tersebut, lagipun SPR telah menetapkannya jadi kita perlu terima.
“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Galas,” katanya.
Beliau berkata, PAS Gua Musang kini sedang mengatur persediaan dalam menghadapi pilihan raya kecil ke-12 ini.
“Kita sekarang sedang mengatur jentera pilihan raya kita, kita sedar cabaran dalam pilihan raya kecil ini amat hebat.
“Selama ini Gua Musang adalah kubu kuat Umno-BN, jadi kita perlu berusaha keras untuk memastikan kemenangan dan mengekalkan kerusi ini,” katanya.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim dari PAS akibat barah usus, Isnin minggu lalu.
Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
DUN Galas mempunyai seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.
Pecahan peratus pengundi adalah Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus.
SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai Pusat Penamaan Calon dan Dewan Sivik Gua Musang sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

0 Komen pengunjong :