Showing posts with label PRK Galas. Show all posts

Pemuda PAS: Tak cukup pengundi baru antara punca gagal di Galas

SHAH ALAM, 14 Nov — Dewan Pemuda PAS hari ini mengakui pihaknya tidak Berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan minggu lalu antara lain kerana gagal mendaftarkan pengundi baru dalam jumlah yang banyak berbanding langkah Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas mesyuarat bulanannya di sini, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, parti komponen Pakatan Rakyat itu jauh ketinggalan berbanding BN dalam mendapatkan pengundi-pengundi baru di Galas.
“Kita mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas dari perspektif Pemuda PAS, yang mana kita telah kenal pasti faktor kekalahan kita.
“Hasilnya kita mendapati kegagalan kita mendaftarkan pengundi baru dilihat menjadi faktor kekalahan kita yang mana kita hanya mampu mendaftarkan kira-kira 600 pengundi baru manakala BN pula lebih daripada 1,000 pengundi baru.
“Jadi kita masih adalah kelemahan dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru, sebab itu kita kalah kepada BN,” kata beliau selepas mesyuarat hari ini yang turut mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas di tangan BN awal bulan ini.
PAS pusat dijangka akan membentuk satu jawatankuasa untuk menyiasat punca kekalahan di Galas apabila mengadakan mesyuarat bulanan hari ini.
Justeru, Nasrudin berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru dalam menghadapi pilhan raya umum ke-13.
Pada pilihan raya kecil lalu Galas menyaksikan peningkatan undi baru lebih 1,000 berbanding ketika pilihan raya umum 2008.
“Kita sudah tidak ada masa, jadi kita akan giatkan untuk mencari dan mendaftar pengundi-pengundi baru,” katanya.
Pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi setelah memperolehi 5,324 undi menewaskan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad yang mendapat 4,134 undi.
Tambah Nasrudin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menghapuskan sistem undi pos kerana ia dilihat tidak releven lagi untuk diamalkan.
“Undi pos masih lagi menjadi talian hayat untuk Umno-BN, malah kita tidak nampak releven undi pos dikekalkan.
“Jadi kita minta SPR supaya menghapuskan undi pos kerana ia tidak demokratik dan tidak beri peluang kepada parti bertanding mendapat undi secara adil dan telus.
“Selain itu, undi pos sangat diragui ketelusannya. Jadi ia perlu dihapuskan,” katanya.
Nasrudin juga berkata, dalam usaha untuk menarik pengundi muda menyokong PAS, sayap pemuda parti Islam mahu pucuk pimpinan supaya meletakkan lebih ramai calon yang terdiri daripada golongan muda dalam pilihan raya umum akan datang.
Kata beliau, sudah sampai masa pucuk pimpinan parti memberi ruang kepada calon muda memandang kini ramai pengundi di negara ini terdiri daripada pengundi muda.
Malah menurut Nasrudin, keputusan meletakkan calon muda akan memberikan gambaran dan perspektif positif bahawa parti itu sedia berubah untuk menarik pengundi muda.
“Kita harap parti beri ruang yang lebih besar kepada calon-calon muda untuk bertanding mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang.
“Malah kita sudah kenal pasti calon dari Pemuda PAS dan diserahkan kepada pengarah pilihan raya PAS pusat (Datuk Halim Abdul Rahman) untuk dipertimbangkan.
“Jadi kita harapkan parti dapat beri ruang yang besar kepada tokoh-tokoh muda, beri peluang untuk bertanding sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi peluang kepada kita untuk menjadi pelapis,” katanya.
Seterusnya >>>

Mengapa PAS kalah di Galas

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah
Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.
Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus.  Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?
Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.
Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.
Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.
Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.
Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)
Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.
Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.
Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat
Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga  Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).
Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.
Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.
Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008
Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada  BN.  Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.
Jadual 1: Keputusan bandingan pilihan raya
2008-2010
Pilihan raya
PAS
BN
Beza
%PAS
2008
4,399
3,753
646
53.96
2010
4,134
5,324
-1,190
43.71
Perubahan
-265
1,571

-10.25




Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.
Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008. 
Jadual 2: Bandingan trend undi Orang Asli pilihan raya 2008-2010
Pilihan raya
PAS
BN
Beza
%PAS
2008
387
755
-368
33.89
2010
321
1,322
-1,001
19.54
Perubahan
-66
567

-14.35
Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?
Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,  
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Seterusnya >>>

Galas: PAS nafi sabotaj dalaman punca gagal, tapi diperangkap ‘faktor Ku Li’

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Pemimpin-pemimpin PAS menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa kekalahan PAS mempertahankan kerusi DUN Galas kelmarin disebabkan wujudnya unsur sabotaj dalaman parti dan strategi berkempen PAS yang terlalu defensif terutama ketika menghadapi jentera diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman memberitahu The Malaysian Insider, khabar itu adalah permainan umum di sesawang Internet sahaja.
“Saya rasa soal strategi tidak ada ada kaitan. Isu itu main dalam pasaran (Internet),” jelas beliau.
Penegasan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu sekali gus menafikan dakwaan seorang blogger PAS Abdul Rahman Talib kononnya kekalahan tersebut berpunca oleh pemimpin PAS sendiri membantu “propaganda Umno” di Galas.
Abdul Rahman Talib yang lebih dikenali sebagai “Tulang Besi” dalam blog Malaysia Waves berkata, pemimpin yang dimaksudkan adalah Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan Datuk Dr Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Exco Kerajaan Selangor.
“Kempen PAS begitu ‘mandom’ dan defensif. Serangan utama Umno kepada PAS yakni PAS dipergunakan DAP, tidak dijawab langsung ataupun dibiarkan tanpa jawapan yang baik dan jelas.
“Saya tidak terkejut kerana tuduhan Umno itu turut diungkapkan dalam nada yang sama oleh pemimpin dalaman PAS seperti Hassan Ali dan Datuk Harun Din,” dakwa penulis itu.
Bagaimanapun Abdul Halim berkata, pendirian PAS Kelantan tidak menyerang Tengku Razaleigh sebenarnya ekoran daripada arahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan. “Itu tidak betul kerana kita tidak mahu menyerang peribadinya kerana Tok Guru (Nik Aziz) sendiri,” ujarnya.
Pun begitu, kata beliau, PAS tetap dengan strategi tradisinya iaitu menjelaskan tentang kepentingan menyokong perjuangan Islam serta menyerang amalan rasuah serta penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno.
Ujarnya lagi, strategi lain PAS yang boleh dikatakan berjaya untuk menghadapi Umno-BN antaranya menawarkan RM250 duit tambang balik kepada pengundi luar.
“Kita berjaya memanggil 57 peratus (pengundi luar) balik,” ujarnya.
Di sebalik kekalahan di Galas, beliau seakan mengaku yang PAS gagal menjawab beberapa isu malar segar seperti isu tanah di Lojing, pembalakan haram, pembangunan untuk Orang Asli, manfaat dari Ladang Rakyat serta dakwaan penyelewengan dalam PMBK Sawit sebagaimana yang diserang Umno.
Bagaimanapun kata beliau, kegagalan itu sepatutnya ditujukan kepada kerajaan Kelantan, bukan jentera pilihan raya diketuainya.
“Itu kena kerajaan negeri yang jawab, penceramah kena jawab... itu bukan saya yang kena jawab,” tegas beliau yang juga pengarah jentera PAS di Galas sambil memberitahu The Malaysian Insider bahawa analisis holistik PAS boleh diperoleh 13 November ini.
Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad turut menafikan bahawa wujudnya sabotaj kempen di kalangan pemimpin PAS.
Menurut beliau, Tengku Razaleigh lebih bijak berpolitik apabila PAS mengambil sikap untuk tidak menyerang bekas Presiden Parti Semangat 46, yang telah dibubarkan 14 tahun lalu.
“Mana ada sabotajnya, Ku Li sebenarnya bijak dalam mengambil kesempatan politik ini,” ujarnya.
Beliau yang Ahli Parlimen Kuala Selangor berpendapat, jentera PAS seakan keliru apabila berdepan dengan “politik damai” yang direstui Tengku Razaleigh yang juga merupakan Ketua Umno Gua Musang dan Ahli Parlimen bahagian itu.
Akibatnya, pengundi gagal diajak menolak calon BN Abdul Aziz Yusoff walaupun terlalu banyak pengkhianatan Umno ke atas kerajaan negeri dan rakyat Kelantan.
“Kenapa tidak perjelaskan terma penerangan PAS iaitu satu undi kepada Umno adalah menyokong pengkhianatan BN tidak memberi royalti minyak kepada rakyat Kelantan.
“Itu bukan menyerang Ku Li, itulah isu yang paling besar untuk mengajak Ku Li sendiri untuk bersama-sama rakyat dan kita (PAS) menyerang Umno,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.
Oleh kerana jentera PAS gagal menggamit emosi rakyat terhadap isu utama itu, kata beliau, jentera PAS induk gagal menguruskan keseluruhan jentera penerangan dan kempen di Galas.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, beliau tidak mengetahui bahawa wujudnya sabotaj kempen di kalangan pemimpin PAS seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu The Malaysian Insider bahawa kemenangan BN di Galas berpunca oleh “faktor Ku Li” sendiri.
“Ketokohan dan strategi Ku Li memang nampak ‘underdog’, di luar dugaan kita tetapi saya anggap veteran Umno itu ancaman paling besar (bagi) saya (Pakatan Rakyat).
“Kita sebenarnya yang membuka peluang kepada pasukan Ku Li untuk mengeksploitasi beberapa strategi kita sehingga kita menjadi begitu defensif,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kejayaan Tengku Razaleigh merampas DUN Galas sepatutnya menjadi “wake-up call” kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
“Ini satu ‘wake-up call’, parti tidak boleh duduk diam, bukan sekadar memberi tahu orang ramai yang kita sedang bermuhasabah, sangat malang kalau kita tidak menyedari orang yang bukan sebarangan seperti dia (Ku Li),” ujarnya.
Lebih membimbangkan kata beliau, sekiranya ketokohan Tengku Razaleigh ini dianggap mengetuai Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
“Jika berlaku ledakan dalaman di dalam Umno untuk mengangkat Ku Li ke kerusi nombor satu (Presiden) Umno-BN, ia adalah sesuatu malapetaka paling besar, yang saya tidak dapat bayangan bagi membenamkan PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13,” ujarnya lagi.
Disebabkan itu, beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat bernasib baik kerana BN dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN.
“Kalau saya, saya suka Najib memimpin Umno dan BN sehingga pilihan raya umum ke-13,” kata beliau berjenaka kepada The Malaysian Insider.
Di Galas, Abdul Aziz mendapat 56 peratus atau 5,324 undi untuk menewaskan calon PAS Dr. Zulkefli Mohamad dengan kelebihan 1,190 undi.
Daripada 11,553 pengundi berdaftar, seramai 9,555 pengundi atau 82.71 pengundi turun bagi menunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing pada pilihan raya kecil DUN Galas.
Peratusan keluar mengundi itu meningkat dua peratus jika dibandingkan peratusan turun mengundi pada pilihan raya umum lalu iaitu 80.6 peratus.
Seterusnya >>>

Orang Asli antara punca PAS tumpas di Galas

PAS mendakwa, antara sebab kekalahannya dalam pilihan raya kecil DUN Galas ialah masalah akses kepada masyarakat Orang Asli.

Ia menjadi penyebab merosotnya sehingga 13 peratus di enam kawasan Orang Asli tersebut.

Di kawasan majoriti Melayu, PAS kehilangan sehingga 8 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangka sebelumnya.

Pengundi Melayu mewakili sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduk di situ.

Oleh sebab itu, kehilangan undi sebanyak 8 peratus memberi makna yang besar kepada PAS, menurut penasihat jenteranya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

PAS hanya dapat mengekalkan pengaruhnya di Sungai Terah, itupun dengan majoriti yang rendah.

Di kawasan pengundi Cina, sokongan masyarakat berkenaan juga nampaknya berkurangan berbanding 52 peratus pada Mac 2008.

Faktor kemenangan BN, diakui sendiri oleh pengarah jenteranya Tengku Razaleigh Hamzah, antaranya adalah hasil pendekatan baru yang dianjurkannya dalam kempen kali ini.

Tiada rapat umum yang besar dijalankan BN, dan ia juga lebih aktif menggunakan media baru, termasuk salah satu media rasminya Umno Online.

Kemenangan itu akan meningkatkan moral jentera BN dalam memenangi semula negeri Kelantan.

Dalam menghadapi gelombang ini, PAS perlu bersiap sedia.

Barisan pemimpinnya, khususnya di Kelantan perlu dipersiapkan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

PAS perlu meneliti faktor-faktor yang memberi kesan kepada pengundi luar dan pengundi muda ini.

Apakah isu-isu melibatkan pemimpinnya sendiri yang menjejaskan sokongan golongan ini?
Seterusnya >>>

Ku Li atasi Najib, Mustapa hujung kuku

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS bukanlah pihak paling gusar di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, 4 November lepas.
Walau pun keputusan itu menyaksikan PAS kehilangan penguasaannya ke atas kerusi yang tidak pernah dimenanginya sejak lebih 40 tahun itu, kesan negatif terhadap parti itu jauh lebih kecil berbanding kegusaran yang kini menyelubungi sesetengah kalangan pemimpin BN sendiri, khususnya Umno.
PRK Galas diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, akibat barah usus, 27 September lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah lebih setahun bertarung melawan penyakit dihidapinya itu.
Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.
PRK Khamis (4 November) lalu mengulangi pertembungan dua penjuru antara musuh tradisi, PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno mewakili BN. PAS tewas dengan majoriti 1,190 undi. Calonnya, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi berbanding lawannya, Abdul Aziz Yusoff yang mendapat 5,324 undi.
Keputusan itu sekali gus mengembalikan kerusi yang telah berada di dalam genggaman BN/Perikatan sejak 1964 itu kepadanya. Kawasan berkenaan hanya pernah dimenangi PAS pada 1959 menerusi Ustaz Khaidir Khatib (atas nama Dun Ulu Kelantan Barat) dan kembali dimenangi pada 2008.
Kekalahan kelmarin bagaimana pun bukan lah suatu kehilangan sangat besar buat PAS. Ia tidak mendatangkan implikasi terlalu signifikan kepada parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.
Parti itu ada sebab agak rasional untuk tidak terlalu berdukacita di atas ketewasannya di Galas.
Pertama, ia suatu keputusan yang sudah dapat diduga sedari awal memandangkan PAS bertanding di kawasan yang secara tradisi milik BN. PAS hanya berharap dapat mengekalkan pola sokongan pengundi sepertimana 2008 untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Dua faktor utama kita menang 2008 ialah undi Cina dan Orang Asli. Kalau kita boleh kekalkan undi Cina dan Orang Asli, insya Allah kita dapat pertahan (kerusi Galas),” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul halim Abdul Rahman kepada penulis.
Perbualan santai antara kami berlaku sejurus sebelum bermulanya perarakan calon, 26 Oktober lalu. Biar pun hasrat mengekalkan sokongan dua kelompok masyarakat itu amat tinggi, beliau sedari saat itu mengakui ia sesuatu yang memerlukan kerja sangat kuat oleh PAS.
Kebimbangan itu sedikit menjadi nyata. Analisa keputusan Khamis lalu menyaksikan perubahan sokongan di kalangan dua kaum ini, terutama di peti-peti undi Orang Asli.
Pengarah Pilihan Raya DAP, Thomas Su pula mengakui pilihan raya kecil kali ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.
Menurutnya, DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Katanya, secara keseluruhannya undi di tiga kawasan tersebut kepada PAS merosot 206 undi atau 4.92 peratus Khamis lalu.
Kedua, kekalahan ini bukan suatu yang memalukan jika dinilai dari sudut manipulasi kuasa BN. PAS turun secara bermaruah berbekalkan kekuatan ahli dan penyokong berbanding BN yang turun dengan kekuatan kerajaan Pusat dan jentera beberapa kerajaan negeri-negeri.
Sukar dinafikan seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikerah menjayakan misi BN merampas semula Galas. Apa yang dilakukan BN di penempatan Orang Asli adalah contoh paling menyerlah.
Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan Orang Asli menjadi faktor utama peningkatan ketara pengundi kaum itu kepada BN.
Agensi-agensi kerajaan terbabit dikatakan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.
Kongkongan terhadap mereka malah dapat dinilai berdasarkan pakaian seragam merah bercop jabatan yang mereka pakai sewaktu keluar mengundi.
Ada pun penglibatan jabatan dan agensi kerajaan lain di segenap aktiviti kempen BN juga berlaku secara terbuka dan sukar dinafikan.
Ketiga, kekalahan itu tidak boleh dijadikan bukti kemerosotan pengaruh dan kekuatan PAS di Galas. Undi diperolehi Dr Zulkefli (4,134) merosot hanya 265 undi berbanding 4,399 dikutip Allahyarham Chek Hashim.
Kehilangan sebanyak itu terlalu sedikit untuk dikaitkan dengan apa juga andaian kemuakan atau penolakan rakyat terhadap PAS. Ia malah terlalu jauh dari memadai jika dinilai dari jumlah perbelanjaan dihabiskan BN untuk itu.
Keempat, kerahan BN menyaksikan peningkatan peratus keluar mengundi. PRU 2008 jumlah pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di Galas hanya 80.9 peratus. Kelmarin ia melonjak kepada 83 peratus.
Menjadi sifir politik dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, peratus keluar mengundi yang tinggi selalunya membantu kemenangan BN. Kerana mereka yang keluar secara luar biasa itu dikaitkan dengan kerahan.
Pihak yang paling berkemampuan membuat kerahan dan memberikan “dorongan” agar pengundi yang liat pun keluar juga sudah tentu lah BN. Parti itu ada “ubat” sangat mujarab mengatasi keengganan pengundi kategori itu.
Thomas Su turut mengakui, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN.
Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun PAS berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi dan menang di kawasan majoriti Cina itu.
Kelima, ini bukan kali pertama PAS kalah dalam pilihan raya kecil. Ia pernah kehilangan kerusi Dun Semerak dimilikinya dalam pilihan raya kecil pada 1997. Begitu juga Dun Pengkalan Pasir sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2004.
Namun kekalahan di kedua-dua kerusi itu berjaya ditebus kembali dalam pilihan raya umum kemudian. Semerak kembali ditawan Pas pada 1999, begitu juga Pengkalan Pasir pada 2008 lalu.
Khabarnya sejarah serupa pernah dialami PAS bagi Dun Kemumin yang dirampas BN menerusi satu pilihan raya kecil ekoran pembatalan kemenangan tanpa bertanding calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1982. Kerusi itu bagaimana pun kembali semula ke pangkuan PAS pada 1986.
Ada pun bagi Dr Zulkefli secara peribadi, ini juga bukan kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah dua kali tewas di kerusi Parlimen Gua Musang.
Namun, itu terbukti tidak mematahkan semangat juangnya. Beliau telah membuktikan komitmen sangat tinggi terhadap parti dan istiqomah di saf hadapan PAS kawasan berkenaan.
Keenam, dan paling penting, ia tidak mengubah status quo politik Kelantan, khususnya berkaitan kuasa pemerintahan negeri. Kemenangan itu sekadar menambah satu lagi kerusi di pihak BN dalam Dun, tetapi terlalu jauh untuk menggugat kelangsungan kerajaan diperintah PAS.
Lain halnya jika ia berlaku sebelum 2008, ketika mana perbezaan jumlah kerusi antara PAS dan BN dalam Dun Kelantan amat kritikal. Jika BN ada sebarang peluang menggugat dan melenyapkan pengaruh PAS di negeri itu, maka tempoh itu adalah peluang paling keemasan buatnya.
Namun kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan. Maka, apa lah sangat yang boleh dibuat BN dengan kemenangannya di Galas ini.
Ibarat kata orang-orang tua kita, “sedangkan bah perahu tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!”
Di atas perkiraan sama, BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangannya di Galas. Ia bukan membawa erti sangat signifikan kepada imej dan reputasi politik BN, sebaliknya membawa bersama implikasi tidak menyenangkan, khususnya buat Umno Kelantan.
Akuilah bahawa kemenangan BN di Galas tidak ada kena-mengena dengan kekuatan atau kejayaan BN atau pun Umno.
Ia bukan kerana rakyat semakin menolak PAS dan Pakatan Rakyat atau pengundi menerima baik konsep 1Malaysia, atau yakin dengan transformasi ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Atau rakyat kembali meletakkan harapan pemerintahan negeri kepada BN, atau kerana kerja kuat Umno Kelantan sendiri.
Ia bukan sepertimana digembar-gemburkan para pemimpin BN dan media-media tali barut parti itu. Galas adalah kejayaan peribadi Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Adat kata, jika tidak kerana peranan dan pengaruh besar tokoh yang nyaris-nyaris menjadi Presiden Umno itu, keputusan itu tidak akan jadi sebegitu. Ia bukan kemenangan Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.
Ia juga bukan kerana ada saham kemenangan The Red Warriors bersama kelibat Piala Malaysia yang dijulang dan diarak ke kawasan itu minggu lalu. Episod itu tidak lebih sekadar gimik politik murahan Umno untuk mengaitkan kejayaan pasukan didokongi seluruh rakyat Kelantan itu hanya untuk kepentingan politiknya.
Biar pun tokoh veteran Umno itu sekadar bertahan pada jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, beliau benar-benar membuktikan cengkaman pengaruh dan genggaman poltiknya di kawasan berkenaan.
“Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Ada yang disertakan gambar anak raja itu, bahkan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Najib Razak.
Segala gerak kerja dan penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Pengaruhnya mengatasi Najib, manakala peranan Mustapa ibarat hujung kuku Ku Li saja.
Sebab itu BN, khususnya Umno, tidak sayugia terlalu berbangga dengan kemenangan di Galas. Sebaliknya, mereka ada sebab agak munasabah untuk lebih gusar!
Seterusnya >>>

PAS hilang ‘istimewa’, tenggelam momentum pertahan Galas

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Ilham Centre, firma penyelidik bebas merumuskan, kegagalan PAS menggunakan pendekatan agama sebagai strategi menghadapi Umno-BN, antara lain telah mengakibatkan parti itu hilang keistimewaan dan momentum di Galas.
Menurut pengarah eksekutifnya Muhamad Hisommudin Bakar, tinjauan Selasa lalu mendapati Umno lebih agresif memenangi hati majoriti pengundi yang masih belum membuat pendirian sama ada mengundi PAS atau Umno pada pilihan raya kecil DUN Galas yang berakhir semalam.
Barisan Nasional (BN ) merampas kembali kerusi DUN Galas dengan majoriti undi 1,190 selain mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.
Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.
Menurut Hisommudin, sepatutnya dapatan Ilham Centre iaitu 62.4 peratus pengundi khususnya pemilih di atas pagar dan Orang Asli, yang setakat awal minggu ini masih belum menentukan calon pilihan mereka, membantu PAS menyusun strategi akhirnya.
“Kehadiran PAS di Galas dilihat hilang momentum dan keistimewaan, kehadiran PAS pada pengamatan pengundi sama seperti BN.
“Pendekatan agama PAS dalam beberapa pilihan raya kecil lepas (dengan membangkitkan) isu syurga neraka, dosa pahala, keberkatan serta pertolongan daripada Tuhan lebih memperlihatkan PAS berbeza dengan yang lain (termasuk Umno).
“Sepatutnya PAS berkata, siapa undi PAS akan dapat pahala kerana itu galur PAS,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Menurut beliau, tinjauan Ilham Centre mendapati tawaran terbuka PAS untuk memberi tambang balik RM250 kepada pengundi luar dipersoal oleh akar umbi parti dan pengundi tradisi yang pada pilihan raya umum ke-12 menyokong kepimpinan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Mursyidul Am parti.
Mereka, menurut tinjauan Ilham Centre itu lagi, turut mempersoal tindakan Nik Aziz di depan media menyampaikan wang zakat kepada tiga Orang Asli setelah upacara pengislaman mereka dilangsungkan.
“Ini bukan soal siapa betul siapa salah, orang ramai tidak kisah kalau pengislaman sahaja yang dilakukan tetapi apabila strategi beri duit zakat (kepada tiga Orang Asli) di depan media dilakukan, maka umum melihat PAS sebenarnya tidak ada bezanya dengan Umno dalam menggunakan duit untuk memenangi hati pengundi,” ujarnya.
Paling memberi tamparan hebat, katanya lagi, apabila pengundi yang masih belum membulatkan pendirian ini memberi perhatian pada tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur aksi Nik Aziz serta kerajaan Kelantan tersebut.
“Memang menjadi tamparan yang cukup hebat apabila Tuan Guru Nik Aziz serta kerajaan negeri ditegur oleh SPR sendiri, memang ada kesannya pada pengundi yang sebelum ini tidak menyokong mana-mana pihak,” ujarnya.
Dari segi yang lain, tinjauan Ilham Centre juga mendapati jentera PAS dan Pakatan Rakyat negeri agak lambat mengakses Orang Asli berbanding jentera BN.
“PAS sebenarnya terlalu lambat untuk memenangi pengundi atas pakar dan Orang Asli, menurut maklumat jentera, PAS sebenarnya ada strateginya cuma menunggu saat-saat akhir,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, beberapa pemimpin PAS negeri yang ditemui Ilham Centre memberitahu bahawa tanggungjawab memenangi hati Orang Asli diserahkan sepenuhnya kepada agensi kerajaan negeri sejak sehari sebelum hari penamaan calon.
“Peringkat awal kita difahamkan PAS menyerahkan (kempen) Orang Asli kepada jentera kerajaan (negeri) seperti Tabung Amanah Tok Kenali dan PMBK Sawit,” ujarnya.
Strategi “damai” PAS untuk menghadapi jentera BN yang dipimpin oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga sedikit sebanyak menjejaskan fokus jentera bawahan PAS dan Pakatan Rakyat.
“Syarat-syarat PAS seperti tidak terlalu menjaga hubungan politik Ku Li (Tengku Razaleigh) nampak seperti mengelirukan serta menyukarkan jentera-jentera yang di bawah menggunakan strategi-strategi tradisi untuk menghadapi jentera Umno.
“Kita (Ilham Centre) tengok strategik kali ini lari jauh dari strategi-strategi tradisi seperti yang PAS bawa sebelum ini,” ujarnya.
Tambah beliau, tinjauan Ilham Centre mendapati umum melihat jentera Ku Li lebih sederhana walaupun Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengaku bahawa PAS turun ke Galas sebagai “underdog”.
“Umno lebih ‘underdog’ kerana BN nampaknya tidak mobilisasi jenteranya secara besar-besaran seperti dalam beberapa pilihan raya lalu mungkin kerana Ku Li tidak ada keistimewaan untuk memberi habuan politik kepada sesiapa sahaja yang membantunya.
“Tetapi dalam keadaan begitu, jenteranya (BN) menghadapi jentera negeri yang dipimpin oleh seorang yang dianggap tokoh penyusun strategik seperti Ustaz Halim,” kata beliau.
Malah kata beliau lagi, tinjauan Ilham Centre turut melihat jentera-jentera PAS yang datang dari luar seakan tidak selesa dengan beberapa pemimpin utama di markas induk PAS.
Bercakap soal calon pula, katanya, pengundi lebih selesa dengan pendekatan sederhana BN berbanding PAS.
“Calon Umno walaupun tahap kelulusannya dipertikai oleh PAS, tetapi pengundi-pengundi tidak termakan dengan serangan-serangan sebegitu kerana dia (Abdul Aziz) adalah calon BN dari (kalangan) anak tempatan.
“Nampaknya, dalam hal ini PAS terperangkap walaupun PAS mempunyai pengalaman mempertaruh seorang ‘Tok Peraih Ikan’ (tauke ikan) sahaja pada pilihan raya kecil Manik Urai (tahun lalu),” ujar beliau.
Tinjauan Ilham Centre juga berpendapat bahawa sepatutnya PAS mempunyai lebih banyak kelebihan kerana calon taruhannya Dr Zulkefli pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali.
“Dua kali Dr Zul bertanding di Gua Musang, tetapi nampak kehadirannya masih gagal menyaingi Ku Li dan calon ‘underdog’ BN (Abdul Aziz),” ujarnya.
“Popularti Dr Zulkefli kalau dalam kajian kita sebelum ini 60 peratus pun, sebenarnya ia secara umum tidak menumpu pada soal positif atau negatif,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pengundi-pengundi yang ditemui memberi maklum balas positif tentang Dr Zulkefli.
Beliau turut mengaku, tinjauan Ilham Centre turut merumuskan bahawa kekalahan kali ini tidak menjejaskan populariti positif Nik Aziz.
“Sebenarnya Tuan Guru ‘OK’ tetapi rakyat nampaknya tidak puas hati kenapa adik-beradik Tok Penguhulu tertentu saja yang dapat habuan daripada kerajaan negeri.
“Sehingga hari-hari akhir, isu pentadbiran kerajaan negeri seperti Ladang Rakyat, kifalah, pemberian tanah masih gagal diselesaikan,” ujarnya.
Seterusnya >>>

Hubungan saya dengan PAS tetap baik selepas Galas, kata Ku Li

GUA MUSANG, 4 Nov — Walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, namun Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan hubungan beliau dengan kepimpinan PAS tetap baik selepas ini.
“Hubungan saya dengan PAS baik, malah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga.
“Saya baik dengan semua orang, boleh berbaik dan berbincang, itulah demokrasi.
“Malah saya juga boleh berbincang secara ‘private’ dengan pemimpin PAS, PKR dan DAP untuk membincangkan masalah rakyat,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini ketika ditemui di kediamannya di Bukit Cekati di sini.
Hubungan Tengku Razaleigh dan PAS kelihatan mesra selepas era 1990-1996 khususnya dalam isu pertikaian mengenai royalti minyak.
Sebelum ini Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Galas menjadi mangsa serangan peribadi daripada PAS dalam kempen pilihan raya kecil.
Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman telah melabelkan Tengku Razaleigh sebagai “ejen” BN untuk memberi sogokan kepada pengundi-pengundi di DUN Galas.
“Kita percaya BN akan gunakan senjata kewangan mereka, walaupun jika dilihat dari sudut pergerakan BN ia nampak perlahan tapi ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.
“Ku Li (Tengku Razaeligh) akan mempertahankan maruah dan beliau perlu buktikan bahawa beliau masih mempunyai kekuatan di Gua Musang,” katanya.
Ia merupakan serangan kali kedua terhadap Tengku Razaleigh yang mana sebelum ini Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdul menuduh beliau sebagai “pengkhianat” berhubung isu Orang Asli di Gua Musang.
BN hari ini merampas semula kerusi DUN Galas melalui calonnya Abdul Aziz Yusoff yang menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.
Abdul Aziz  mendapat 5,324 iaitu 56 peratus manakala Zulkefli menerima 4,134.  Undi rosak serabanyak 132.
Abdul Aziz merekodkan majoriti 1,190 undi — hampir dua kali ganda berbanding kelebihan undi dicatatkan oleh PAS pada 8 Mac 2008.
Pada Mac 2008, kerusi itu ditawan oleh PAS dua tahun lalu — buat julung kali — dengan kelebihan 646 undi menerusi Che Hashim Sulaima.
DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008.
Bernama melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggap kemenangan besar BN di kawasan DUN Galas sebagai sesuatu di luar jangkaan yang memberikan petanda kebangkitan BN di Kelantan.
“Kemenangan ini sesuatu yang di luar jangkaan kerana pada awalnya kita jangkakan peluang 50-50 atau menang tipis, tetapi peningkatan jumlah undi ini sesuatu yang di luar jangkaan. Ini petanda yang baik, bermakna rakyat telah terima transformasi yang dibuat kerajaan BN dan menolak strategi pembangkang yang menabur fitnah, bongkak dan kasar,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Gua Musang di sini, malam ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan kempen sederhana yang diterajui Tengku Razaleigh mendatangkan hasil yang membanggakan dan boleh dipraktikkan di peringkat nasional.
Katanya beliau yakin Abdul Aziz  mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di DUN itu.
Ditanya mengenai sama ada kemenangan itu akan menjadi titik kejatuhan PAS di Kelantan, Mustapa berkata “Saya tidak mahu tamak dan takbur, kita diajar bersederhana, tetapi ia akan memberi keyakinan dan semangat kepada BN Kelantan”.
Seterusnya >>>

DUN Galas: PAS juga terkejut, anggap kekalahan luar dugaan

GUA MUSANG, 5 Nov — Jika Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan majoriti hampir dua kali ganda sesuatu yang mengejutkan, PAS juga terkejut dengan kekalahan mempertahankan kerusi Galas sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “di luar dugaan.”
“Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun kepada The Malaysian Insider malam tadi.
Kata beliau, PAS tetap tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya kecil semalam yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) — perikatan ini merampas balik kerusi itu yang dimenangi calon PAS dua tahun lalu.
Fatah berkata, pihaknya hanya berpuas hati dengan pergerakan jentera pilihan raya parti itu, tetapi tidak keputusan yang diumumkan malam tadi.
Namun begitu, menurut Fatah, kepimpinan PAS akan menerima hakikat kekalahan dan gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi Che Hashim Sulaima dalam pilihan raya umum 2008.
“Saya puas hati dengan jentera tapi keputusan kita kena ambil masa nak kaji.
“Kita memang tak puas hati dengan keputusan tapi kita terima hakikat ini,” katanya.
Beliau yang ternyata terkejut dengan keputusan itu berkata pihaknya akan mengadakan “post-mortem” untuk mengenal pasti punca kekalahan mereka.
“Lepas ini kita akan buat post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan.
“Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku,” kata beliau.
Ketika pengumuman keputusan pilihan raya kecil DUN Galas diumumkan di pusat pengumpulan rasmi undi di Dewan Pusat Sivik, Gua Musang di sini malam tadi, tiada seorang pun pemimpin PAS berada di premis itu.
Calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 undi.
Abdul Aziz memperoleh 5,324 undi iaitu 56 peratus manakala Zulkefli menerima 4,134.  Undi rosak sebanyak 132.
Pada Mac 2008, kerusi itu ditawan oleh PAS dua tahun lalu — buat julung kali — dengan kelebihan 646 undi menerusi Che Hashim yang meninggal pada 27 September lalu.
Malam tadi,  Tengku Razaleigh selaku pengarah pilihan raya jentera BN dan Ahli Parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak menyangka pihaknya akan menang dengan majoriti besar — hampir dua kali ganda di Galas.
“Saya rasa besar hati kerana pengundi Galas memberikan sokongan kuat kepada BN.
“Saya tidak jangka akan menang majoriti besar.
“Malah saya terkejut apabila saluran tiga dan saluran empat iaitu pengundi muda lelaki dan wanita memilih BN,” kata Tengku Razaleigh.
Seterusnya >>>

PAS ucap terima kasih pada petugas Pakatan

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada para petugas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dari seluruh negara yang membantu di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menerima kekalahan calon PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi.
“Kita akui ada kelemahan dan kita sedia baiki kelemahan dan kesilapan,” ujarnya di laman twitter.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi kedua-dua PRK itu.
“Bolehlah buat pilihan raya awal untuk dapat mandat baru,” ujarnya.
Mahfuz seterusnya menggesa para petugas Pakatan Rakyat supaya meneruskan perjuangan. 
"Jadikan kekalahan Batu Sapi dan Galas seperti di Ijok dan bangkit semula pada pilihan raya 2008 dengan syarat perbaiki kelemahan dan perbetul kesilapan kita," ujarnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan PKR di dalam kedua-dua PRK tersebut.
“Tahniah rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menukilkan serangkap pantun berhubung keputusan kedua-dua PRK itu.
Udang galah dibuat kari,
Dicicah ketupat daun palas,
BN tak kalah di Batu Sapi,
PAS tak menang di Galas.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghargai kegigihan jentera parti dan rakan-rakan Pakatan Rakyat bagi kedua-dua PRK itu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, cabaran untuk ditingkat dalam usaha meneruskan agenda reformasi.
Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kekalahan di dalam PRK jangan dibaca sebagai kalah berjuang.
“Selama kita bersama kebenaran, ia adalah kemenangan. Sabar harungi medan dengan kekalkan prinsip dan akhlak,” ujarnya.
Sambil menyeru petugas parti meneruskan dakwah dan penerangan, beliau menambah, tiada kemenangan percuma buat Gerakan Islam, justeru politik atau siasah pilihan raya hanyalah wasilah atau alat.
Pada PRK Galas, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.
Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi sementara calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi di mana 132 undi rosak.
Jumlah pengundi yang membuang undi adalah 9,555 atau 83 peratus.
Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus PRK itu, Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.
Bagi PKR Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu apabila calonnya dari PBS, Datin Linda Tsen yang mendapat 9,773 undi menang dengan majoriti 6,359 undi.
Calon PKR, Ansari Abdullah memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengutip 2,013 undi.
Hanya 15,774 pengundi atau 61.47 peratus keluar mengundi di Batu Sapi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan.
Seterusnya >>>

SPR Bersengkokol Dengan Umno-BN Polititkkan Zakat Kepada Saudara Baru

galas-skSHAH ALAM 4 Nov - Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah hari ini membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersikap "double standard" apabila mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi rasuah kepada tiga muallaf dalam Pilihan Raya Kecil Galas, minggu lalu.

Menurut beliau, ini  berbeza dengan pendekatan yang digunakan SPR dalam Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di mana rakyat berbaris panjang di depan pejabat MCA  untuk mengambil wang sebanyak RM100 namun tidak dianggap sebagai rasuah politik.

"Jelasnya di sini, majlis agama yang diadakan secara kebetulan bertembung dengan PRK di Galas dan individu yang menyatakan keinginan untuk memeluk agama Islam itu adalah secara sepontan.

"Sebagai satu penghormatan kepada orang yang baru masuk Islam, maka Nik Aziz memberikan zakat kepada mereka," ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Ujarnya, pemberian wang zakat kepada individu yang baru memeluk agama Islam adalah perkara biasa dan perkara itu dan tidak perlu dipolitikkan.

Apatah lagi dalam situasi tersebut, yang memberikan wang zakat tersebut adakah Menteri Besar sendiri.

"Perkara ini saya anggap sebagai politik kotor Umno-Barisan Nasional yang menggambarkan mereka sudah habis modal politik untuk berkempen.

"Pemberian wang zakat  ini tidak wajar diperbesar-besarkan SPR dan Umno-BN.

"Mereka sepatutnya berterima kasih kerana setakat Umno-BN berkempen dan berkampung dengan masyarakat Orang Asli, berapa ramaikah yang berjaya telah diIslamkan?," soal beliau lagi.
Seterusnya >>>

Tangan Nik Aziz tangan syaitan - Mohd Nor Idris

GUA MUSANG, 3 Nov: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Mohd Nor Idris membuat pengakuan bahawa dia memang tidak mahu bersalam dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat apabila salam dihulurkan kepadanya kerana menganggap ia tangan syaitan.

"Saya tak mahu jamah tangan syaitan....ana tak akan jabat tangan hari ini selagi anta kawan dengan DAP," kata Mohd Nor dalam video yang dirakamkan oleh jentera kempen Barisan Nasional (BN) di Galas.

Pengakuan Mohd Nor ini dibuat dalam video yang dinamakan jawapan beliau terhadap laporan Harakahdaily baru-baru ini yang bertajuk "Bekas calon BN maki Tok Guru".

Dalam laporan itu, Mohd Nor (gambar) dilaporkan memaki MB Kelantan itu ketika beliau dan rombongannya menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Muhamad di Sungai Terah baru-baru ini.

Mohd Nor yang kebetulan berada di atas rumah itu telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Nik Aziz kononnya tangan Nik Aziz umpama tangan syaitan kerana bekerjasama dengan DAP.

Mohd Nor, pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya pada awal 1980an adalah ahli PAS dan sering memberikan ceramah atas pentas PAS. Namun pendekatannya sentiasa keras terhadap Umno dan antaranya sering memaki dan mengkafirkan Umno.

Beliau kemudiannya keluar PAS bersama dengan Wan Ismail dan menubuhkan kumpulan Islah kerana tidak bersetuju dengan tindakan PAS bekerjasama dengan parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.

(Wan Ismail lebih dikenali dengan nama Wan Ismail Jerat kerana sering menggunakan perkata jerat iaitu tanah perkuburan Cina apabila merujuk kepada kubur yang bakal didiami apabila pemimpin Umno mati nanti.)

Selepas itu, Mohd Nor bersama rakannya Mustafa Kadir menyertai Umno pula sehingga kini walaupun Umno adalah sasaran utama mereka ketika berada dalam PAS.

Dalam video 7 minit 35 saat yang dikeluarkan jentera kempen BN itu, Mohd Nor berkata, beliau tidak menghormati Nik Aziz kerana cuba menggulingkan kerajaan Islam pimpinan Umno dan boleh dikira sebagai musuh negara dan musuh umat Islam di Malaysia.

"Mereka ini bertopengkan Islam dan berkubukan demokrasi dan biasanya mereka  ini cuba merompak umat Islam di Malaysia. Dengan sebab itu kedatangan mereka ke sini sebagai satu senjata musuh yang diperalatkan oleh syaitan sedunia terutamanya syaitan dan iblis kawan Nik Aziz.

"Nik Aziz itu sendiri seolah-olahnya apabila dia datang tidak dengan rupa dia yang asal...dia datang seolah-olah telah dirasuk hantu di rasuk jin," katanya dalam video itu.

"Apabila dia holor tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan...dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang diholorkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan," akui Mohd Nor dalam video yang dikeluarkan BN itu.

Sejak itulah, katanya, berlaku kata mengata antara dia dan Nik Aziz dalam insiden itu.
Seterusnya >>>

Pengundi jumpa kertas undi tanpa lambang

GUA MUSANG, 4 Nov: Agak mengejutkan proses pembuangan undi di Dun Galas hari ini dikejutkan apabila ada kertas undi tanpa logo parti dikenalpasti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Kampung Baru.

Perkara itu didedahkan isteri calon PAS, Zainab Jalar apabila kertas undinya tidak tercetak lambang parti.

"Ketika membuang undi, saya mendapati kertas undi yang diberikan kepada saya tidak mempunyai simbol parti politik yang bertanding.

"Sebaliknya ia hanya mempunyai nama calon sahaja," katanya ketika ditemui di sini.

Ekoran insiden tersebut beliau segera menghubungi jentera pilihan raya PAS memaklumkan perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pasukan peguam PAS yang berada di unit peti undi Kampung Baru.

Seorang peguam, Hisyam Fauzi berkata, perkara  ianya masih berada pada peringkat siasatan dan laporan kepada urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat bagi mengelakkan masalah itu tidak berulang di pusat pengundian lain.

"Setakat ini tiada sebarang jaminan yang diberikan oleh pihak SPR," katanya.

Menurut beliau setakat ini pihaknya  menerima dua aduan mengenai masalah terbabit dan salah satu daripadanya telah dilaporkan kepada pihak polis.

Ia terdiri daripada satu kertas undi di unit peti undi Sungai Terah serta UPU Kampung Baru.

"Tindakan yang terdekat, kita telah meminta kepada pihak polling agent untuk membuat bantahan bertulis mengenai kes tersebut," ujarnya.
Kempen solo
Sementara itu, para pengguna jalanraya Gua Musang - Kota Bharu sangat tertarik dengan cara penunggang basikal ini berkempen untuk PAS.
(Gambar: Kempen solo berbasikal)

Beliau dilihat memasang dua bendera besar PAS pada basikalnya dan bergerak ke seluruh kawasan pilihan raya dan jalan raya utama di sekitar Gua Musang.

Ketika ditemui oleh wakil Harakahdaily, penunggang ini berkata, beliau sangat marah kepada Umno dan BN yang membawa masuk ramai pengundi luar ke Gua Musang.

Ketika ditanya, bagaimana dia tahu mengenainya, penunggang ini berkata, "Saya kenal mereko dan sapa-sapa (orang) bersama dia."
Seterusnya >>>

PAS yakin dapat sokongan majoriti pengundi Melayu dan Cina

galas 2
GUA MUSANG: Seorang pemimpin PAS yakin calon mereka Dr Zulkefi Mohamad mendapat sokongan majoritÍ pengundi Melayu dan Cina dalam pilihan raya kecil DUN Galas hari ini.
“Insya’Allah pengundi Melayu dan Cina menyokong PAS berdasarkan hasil kerja dan maklum balas yang diterima dari pengundi,” kata ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Dr Zulkefli ditentang oleh calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusof dalam pertandingan satu lawan satu.
Bagaimanapun, Khalid khuatir dengan tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengira undi orang Asli di tempat pengumuman keputusan di bandar Gua Musang dan menyifatkan tindakan SPR itu sebagai kembali kepada sistem lama.
“Ini kali pertama ia dipratikkan semula setelah dimansuhkan beberapa tahun lalu. Saya tidak tahu mengapa ia dilakukan di sini (Galas),” katanya ketika ditemui FMT di sini hari ini.
Bagaimanapun, Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli menjangkakan peluang calon PAS sehingga jam 10 pagi tadi adalah 50-50.
Seterusnya >>>

Galas dicemari ketegangan, pengundian diteruskan

GUA MUSANG, 4 Nov - Suasana proses pengundian pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang tenang awal pagi tadi menjadi kecoh apabila penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS terlibat dalam pertengkaran ketika cuba meraih undi.
Ia kejadian pertama dilaporkan di Galas hari ini.
Kekecohan itu berlaku di daerah mengundi Bandar Lama Gua Musang dan pusat mengundinya ialah Sekolah Kebangsaan Gua Musang.
Insiden tersebut berlaku ekoran dakwaan tindakan penyokong PAS memasuki kawasan penyokong BN.
Pada mulanya polis bertugas dapat menyelesaikan kekecohan itu yang tercetus sekitar 8.30 pagi, namun pada pukul 9.05 pagi kekecohan berulang.
Polis terpaksa menggunakan sebuah Land Rover untuk memisahkan 500 penyokong yang berhimpun di luar pusat pengundian Bandar Lama.
Kekecohan muncul balik, kali ini berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas pergaduhan mulut antara penyokong kedua-dua parti, antara lain dipercayai memakai dan mempamerkan lambang parti ketika hendak memasuki pusat pengundian.
Akibatnya berlaku kejadian tolak-menolak antara penyokong.
Kejadian itu menyebabkan polis terpaksa campur tangan meleraikan kekecohan itu.
Kira-kira 10 anggota polis berada di tempat kejadian untuk meleraikan kekecohan itu dan penyokong BN dan PAS dapat ditenangkan kira-kira 10 minit kemudian.
Proses pengundian di Galas bermula 8 pagi.Pusat pengundian itu turut dilawati Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.
Tinjauan The Malaysian Insider mendapati kekecohan kembali berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Gua Musang.
Kejadian kali ini berlaku kira-kira 20 meter dari tempat kejadian pertama tadi.
Kekecohan kali ini, sekitar 9.50 pagi, juga berpunca dari sikap penyokong PAS yang memasuki kawasan penyokong BN.
Cuma kali ini anggota polis bertindak pantas dengan terus membuat benteng antara kedua-dua penyokong parti.
Sepanjang meraih undi kedua-dua penyokong bersorak.
Penyokong PAS menyebut “Hancur hancur, hancur BN, “Hidup hidup, hidup PAS dan bertakbir “Allahuakhbar” manakala penyokong BN pula “Nik Aziz 300, Nik Aziz rasuah. Kedua-dua penyokong masing-masing turut membawa kain rentang yang menghina Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS  dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka juga membawa bendera dan gambar calon masing-masing.
Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata, “Ini memang sikap orang PAS, mereka ini ganas ketika berkempen.”
“PAS memang kalau berkempen akan bertindak secara ganas, sebab itu berlaku kecoh tadi. Kita dah biasa bila bertembung dengan PAS.
“Ini bukan perkara baru ketika kempen pilihan raya,” kata Pengarah Pilihan Raya BN ini ketika ditemui di pekarangan pusat pengundian ini.
Sementara itu, wakil PAS Mohd Hilmi Raidzan dari Dewan Pemuda Kedah pula berkata, “Punca kecoh adalah disebabkan tidak berpuas hati dengan jarak antara satu sama lain.”
“Lagipun penyokong BN tak mahu ikut arahan polis. Sebab itu berlaku kekecohan. Selain itu sebab kutuk-mengutuk tadi. Sekarang sudah OK,” kata beliau lagi.
Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN bagi DUN Galas, Datuk Seri Mustapa Mohamed kesal dengan insiden pergaduhan itu dan menyifatkan tindakan penyokong PAS lebih bersikap agresif terhadap penyokong BN.
“Saya dimaklumkan mereka bukanlah penyokong PAS tempatan tetapi mereka adalah penyokong dari Terengganu. Memang kebiasaan penyokong dari luar mudah mencetuskan sikap agresif begini,” katanya.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, keadaan itu bukanlah sesuatu yang sihat dalam pilihan raya kecil berkenaan dan PAS dilihat tidak bersikap demokratik dengan mengamalkan sikap sedemikian.
“Malahan sikap tidak demokratik itu dapat dilihat apabila penyokong PAS menjerit-jerit kepada pengundi dan membuat kecoh di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Wangi,” katanya.
Beliau berkata BN telah menghantar cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar larangan dibuat terhadap penyediaan khemah dekat pusat pengundian bagi mengelak gangguan terhadap pengundi.
Mustapa berkata beliau berharap SPR dapat pertimbangkan perkara itu.
Seterusnya >>>

Ku Li punca masalah jentera BN - pensyarah

Menjelang pilihan raya kecil esok, jentera Barisan Nasional (BN) di Galas kalau ada masalah pun adalah kerana perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya itu.

Demikian kata Profesor Madya Shahrudin Badarudin, pensyarah sains politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam slot Kerusi Panas di Bernama Radio 24 petang ini.

Turut serta dalam dialog secara langsung dengan pengacara Radio 24 Bernama itu adalah Profesor Madya Ahmad Nizomudin Sulaiman dari UKM.

Menurut Prof Shahrudin, beliau tidak melihat faktor Tengku Razaleigh (gambar) sangat besar untuk membantu kemenangan calon BN di Galas.

"Bahkan, bagi saya perlantikan Ku Li boleh menyumbangkan masalah. Ini kerana Ku Li sentiasa keluar masuk dalam Umno," kata beliau dalam temubual melalui telefon itu.

Beliau yang baru pulang dari Galas berkata, faktor yang penting dalam menentukan kemenangan pilihan raya Galas adalah calon dan isu yang penting pula adalah isu tanah.

"Kedua-dua parti nampaknya membuat pertimbangan wajar ketika memilih calon-calon mereka kerana faktor ini besar," kata Prof Shahrudin.

Beliau dipercayai merujuk kepada masalah perpecahan yang dihadapi Umno Gua Musang antara penyokong setia Umno dengan penyokong Ku Li yang kebanyakannya dari parti Melayu Semangat 46 yang dikuburkan.

Harakahdaily difahamkan, bekas calon BN di Galas dalam pilihan raya umum 2008, Saufi Deraman bersama dengan ketua pemuda Umno bahagian, Bazlan Baharudin dan ketua wanita, Datuk Wan Hazani Wan Yusof adalah antara pihak yang tidak bersetuju Ku Li dilantik sebagai pengarah pilihan raya.

Mereka dikatakan lagi sedih apabila Abdul Aziz Yusof dilantik sebagai calon BN di situ kerana ia adalah penyokong kuat Ku Li.

Dalam pemilihan Umno yang lepas, penyokong Ku Li iaitu Adun Nenggiri telah menentang Saufi sebagai timbalan ketua Umno bahagian Gua Musang dan mengalahkan Saufi. Padahal, ketika Ku Li menyertai Umno semula dahulu, Saufi telah mengosongkan kerusi ketua bahagian untuk Ku Li dan dia sendiri menjadi timbalan ketua bahagian.

Difahamkan, Saufi bukan sahaja tidak membantu kempen BN dalam pilihan raya kecil ini bahkan membantu PAS dalam gerak kerjanya di Galas.

Dengan pengamatan yang dibuat oleh pensyarah politik UiTM ini, kebimbangan Umno sebelum ini dipercayai telah menjadi kenyataan.

Sementara itu, pensyarah itu yakin, sasaran SPR bahawa 80 peratus pengundi akan keluar mengundi di Galas akan boleh dicapai.

"Kerajaan negeri telah memberi cuti pada hari itu, parti-parti yang bertanding juga bekerja keras untuk mengeluarkan pengundi mereka. Jadi saya percaya sasaran itu akan berjaya dicapai," katanya.

Di Batu Sapi pula, Profesor Madya Ahmad Nizomudin juga percaya sasaran SPR untuk mendapat 75 peratus keluar mengundi esok akan tercapai.

"Parti-parti politik yang bertanding akan berusaha keras. Lagipun, pengundi luar kurang. Kalau adapun di Kota Kinabalu yang saya percaya akan pulang. Van atau teksi di sini yang menjadi pengangkutan awam agak cekap. Jadi saya yakin sasaran 75 peratus akan berjaya di capai," kata beliau dalam program Kerusi Panas Bernama Radio 24 tersebut.
Seterusnya >>>

PAS: Nik Aziz beri wang zakat, bukan sogokan

GUA MUSANG, 4 Nov — PAS menafikan laporan beberapa akhbar bahawa Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang, didakwa sebagai sogokan, kepada Orang Asli ketika Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop, Lojing kelmarin.
Dua akhbar harian Utusan Malaysia dan Berita Harian hari ini melaporkan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada program tersebut kelmarin.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman, dakwaan mengatakan Nik Aziz memberi sumbangan wang adalah tidak benar kerana ia adalah wang zakat selepas mengislamkan tiga pemuda Orang Asli.
“Tok Guru (Nik Aziz) hanya sampaikan wang kepada tiga pemuda Orang Asli. Saya ada hubungi Setiausaha Politik beliau untuk tanya tujuannya dan saya diberitahu ia adalah wang zakat.
“Tok Guru mengislamkan tiga pemuda Orang Asli dan bagi wang zakat kepada mereka. Tak kan zakat ini rasuah?” kata beliau pada sidang media harian di Markas Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini.
Justeru, Halim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bersikap lebih terbuka dan jangan menilai perbuatan itu dari satu sudut sahaja.
“Saya harap SPR bersikap lebih terbuka, jangan lihat Tok Guru bagi wang untuk rasuah.
“Ini zakat bukan rasuah. Utusan (Malaysia) suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.
“Tapi saya rasa ia beri kelebihan kepada PAS, kerana bila orang baca mereka akan marah dan anggap ia bohong,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Laporan itu yang turut memetik SPR berkata suruhanjaya tersebut akan meneliti sama ada tindakan Nik Aziz memberi sumbangan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Nik Aziz sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.
Sebaliknya, kata beliau hanya polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.
Dalam program tersebut, Nik Aziz turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Exco kerajaan negeri Datuk Anuar Tan Abdullah dan calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Galas Dr Zulkefli Mohamad.
Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.
Seterusnya >>>

Galas: PAS tidak bimbang kajian Ilham Centre

GUA MUSANG, 3 Nov: Kajian lapangan yang dijalankan oleh Ilham Centre membayangkan Umno mendahului PAS sebagai parti yang akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas tidak membimbangkan PAS.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sesiapa sahaja berhak mengutarakan kajian masing-masing untuk tatapan umum, tetapi kajian itu tidak semestinya menepati sasarannya.
“Tiada masalah bagi kita siapa mendahului atau siapa menang sebab keputusan sebenar adalah di tangan rakyat. Rakyat yang akan menentukan keputusan akhirnya.
“Kajian itu adalah hasil laporan dari tenaga jentera masing-masing, jadi itu tidak menjadi halangan untuk bekerja kuat sehingga ke saat akhir,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar semasa ditemui selepas majlis perasmian Tanah Perkuburan kampung Tanah Putih, dekat sini petang semalam.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kajian firma penyelidikan lapangan bebas, Ilham Centre dari 29 hingga 31 November mengatakan BN mendahului PAS dalam PRK Galas dengan 22 peratus berbanding PAS 15.6%.
Manakala 54.1 peratus tidak membuat kenyataan pasti sebagaimana disiarkan portal Harakahdaily, semalam.
Sebelum itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun yang sependapat dengan Ahmad berkata, tiada sebarang komen mengenainya kerana PAS juga mempunyai kajian mengikut mekanismenya yang tersendiri.
“Itu mengikut kajian dia (Ilham Centre). Terpulang pada dia. Kita tidak menghalang mana-mana pihak hendak buat kajian itu, tapi kita juga ada kajian sendiri,” katanya tetapi tidak mendedahkan hasil kajian dijalankan dengan alasan tidak diperlukan.
Mengulas jentera tempatan tidak kelihatan dalam membantu kempen PAS sebaliknya didominasikan jentera luar, beliau berkata nisbah antara jentera tersebut adalah satu persepuluh.
“PAS Galas mendapat komitmen penyokong dari seluruh negara. Satu persepuluh, habis tu hendak nampak macam mana jentera tempatan,” katanya.
PRK Dun Galas yang akan diadakan esok, 4 November menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PAS dan Barisan Nasional (BN).
PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mengemukakan calonnya, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed. Manakala BN mempertaruhkan setiausaha Umno kawasan, Abdul Aziz Yusuff.
Seterusnya >>>

Galas: BN bermasalah untuk menang

Analisis Wong Shu Qi (MerdekaReview, 29 Okt 10) lebih bersifat di bumi tentang peluang PAS boleh menang di pilihan raya kecil Galas atas persepsi rasional di sisi seorang penganalisis kaum Cina. Hujahnya tepat, berasaskan demografi pengundinya jumlah pengundi Cian dominan (kira-kira 20%) sebagai penentu kemenangan. Hujahnya pasti tidak menyenangkan pihak BN, khususnya Umno selaku parti yang mencalon.

Faktor calon dan undi Melayu
Menurut Wong Shu Qi: “Apa yang membezakan antara PRK Galas dengan Manek Urai adalah komposisi pengundinya.  Sejumlah 99.2% pengundi Manek Urai terdiri daripada Melayu… menjadi penentu.”  Apabilan PAS hampir kalah di Manek Urai, jawapan mudah kerana kemerosotan undi Melayu. Apakah kemerosotoan itu bakal berulang di Galas. Belum pasti. Jika pun merosot boleh jadi tidak sampai 6%. Mungkin 3-5% sahaja. Maka kekuatan undi Melayu seperti di Sungai Terah akan turun kepada 64% (daripada jangkaan keluar 1,549 atau 81%). Apa pun, trend kemerosotan undi Melayu mungkin bertahan bagi PAS atas faktor calon, Dr. Zul seorang doktor yang dikatakan lebih popular berbanding calon BN, Abdul Aziz.
Berdasarkan kajian Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS), didapati popular calon PAS mengatasi calon BN dari segi kecenderungan pengundi yang berani menyatakan sikap atau penilaian terhadap calon. Seramai 322 orang responden, seramai 50.9% menyokong Dr. Zul sebagai wakil rakjyat untuk membuka klinik bergerak bila menang. Sementara 27% sahaja yang bersetuju dengan pengalaman Abdul Aziz sebagai kakitangan KESEDAR berupaya menjalankan tugas wakil rakyat Galas. Ukuran ini sebagai asas popular, didapati doktor dilihat lebih popular berbanding pengurus. Ini juga penemuan bertapak di bumi. Justeru, calon PAS mempunyai kelebihan berbanding calon BN menyebabkan PAS boleh dikatakan mampu bertahan kemerosotan undi kalangan orang Melayu.
Sikap silent
Berbeza dengan kajian Ilham Centre (IC) yang mendapati 54.1 peratus daripada pengundi di Galas masih bersikap senyap (silient) atau menyembunyikan pendirian politik mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap "tawaran politik" daripada kedua-dua parti bertanding- PAS dan BN. Kajian ini mungkin bersifat akademik dan semacam menafikan kempen yang dibuat antara dua calon bertanding. Atau pengundi Galas memang sudah tidak berminat mengundi. Namun sikap itu berlawanan dengan pilihan raya umum lepas, apabila lebih 80% yang keluar mengundi. Apa pun, penemuan IC ini dilihat merumuskan sebagai peluang terbuka kepada kedua parti ini untuk berusaha meyakini dan memenangi hati pengundi untuk parti masing-masing menang dalam pilihan raya ini.  Menurut IC, kecenderungan pengundi itu mendapati 22 peratus daripada 486 responden adalah menyokong BN, manakala 15.6 peratus sahaja yang bersetuju dengan PAS.
Sebenarnya, penemuan IC itu agak berbeza dengan penemuan PKS dari segi pendangan responden yang rata-rata adalah pengundi Galas. Kajian PKS mendapati 18% bersetuju BN boleh menang, sementara  33.9% bersetuju bahawa PAS akan menang.  Maka kajian PKS adalah selari antara jangkaan menang dengan penilaian responden terhadap ukuran populariti calon.
Kajian SMS
Sebuah NGO pencinta demokrasi turut melakukan kajian menerusi pendekatan sistem pesanan ringkas (SMS). Berpandukan hubungan SMS kepada pengundi menyentuh isu-isu antara calon yang bertanding di Galas mendapati 5.25% atau 168 orang sahaja yang memberi respon daripada 3,200 senarai nama pengundi yang diSMS. Walau pun jumlah respon itu kecil, ia mungkin satu sikap setara dengan kajian IC atau PKS yang menemui responden antara 3-5% daripada jumlah pengundi 11,553. Bacaan daripada 168 SMS diterima balas pecahannya 9.52 yang menunjukkan sikap tidak bersetuju kepada calon PAS, 23.81% menunjukkan sikap tidak berpihak kepada mana-mana calon dan 66.78% bersetuju dengan calon PAS.
Penilaian akhir
Bagi pihak BN, kekuatan kempen dan usaha yang telah ditunjukkan membuktikan strategi mengekal sokongan 75% kalangan pengundi OrangAsal amat kriktikal. Peranan Jabatan Orang Asli amat agresif dan dilihat bersaingan dengan pihak PAS yang menggunakan jentera asal penah berkhidmat dengan Arwah Chek Hashim. Setakat ini, penerimaan Orang Asal terhadap peranan jabatan itu diragui ekoran adanya penyelewengan dan ketidakupayaan menguruskan projek bekalan air dan tanah tapak di beberapa pos Orang Asli.
Demikian pula, kalangan pengundi Cina jentera BN agak lemas dan lesu ekoran asakan jentera kempen PAS yang dibantu pimpinan DAP dan KeADILan.  Ada kes kurang sambutan pengundi Cina terhadap kehadiran pemimpin kanan MCA yang hanya dihadiri puluhan pengundi sahaja di Bandar Gua Musang.
Sementara di kawasan tradisi PAS di Sungai Terah jentera BN juga kelihatan sulit untuk memikar hati pengundi di situ ekoran beberapa kecuaian pihak jabatan pembangunan persekutuan mengurus pojek yang dijanjikan. Pihak Umno Gua Musang pula turut kecewa dengan pertukaran Ketua Kemas yang dianggap mempunyai akses baik dengan pengundi Melayu. Ini dianggap satu lagi contoh gangguan pihak luar terhadap kuasa-kuasa dan tidak hormatnya kepada Tengku Razaleigh Hamzah selaku ahli parlimen dan ketua bahagian. Itu belum lagi dikorek isu-isu yang menyentuh nilai penerimaan sesama pemimpin Umno terhadap calon BN. Sejauh mana ketua wanita dan ketua pemuda boleh menerima calon yang kononnya pilihan terbaik Umno Bahagian Gua Musang adalah sesuatu yang diragui. Atas asas ini, PAS mempunyai kekuatan kerana calonnya ada kelebihan. Namun tidak semestinya calon PAS diterima secara popular yang mampu menarik lebih 5% undi peribadi. Sekiranya calon PAS mampu menarik lebih 5% maka undi popular itu bakal mengundah peluang kemenangan BN.
Walau bagaimanapun, strategi eksklusif dari segi pendekatan mengawal kelemahan (damage control) boleh dipakai oleh pihak berkepentingan. Antara strategi yang popular seperti disebut oleh pihak tertentu ialah kemungkinan projek kad pengenalan membolehkan pengundi khas hadir mengundi atas nama pengundi yang tidak hadir. Projek ini dapat dijayakan dengan mengenalpasti nama pengundi yang tidak balik mengundi atas sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi hari mengundi memang dirancang oleh pihak SPR diadakan pada hari bekerja, Khamis  4 November. Sudah pasti kekangan balik mengundi, terutama pengundi yang berada di luar Kelantan menjadi punca kemungkinan rendah jumlah balik mengundi. Kekangan ini memungkinkan kelebihan kepada strategi eksklusif apabila ada sindiket mengeluarkan kad pengenalan khas mempunyai akses pihak berkepentingan tersebut. Soalnya sejauhmana wujudnya sindiket atau strategi eksklusif tersebut?  Atau mungkinkah wujud pertimbangan pihak BN untuk menggunakan strategi sedemikian?
Walaupun begitu, strategi eksklusif yang selalu menjadi kegerunan pihak PAS adalah pendekatan membeli undi sebagaimana diuar-uarkan oleh Penasihat Pilihan Raya PAS Galas, Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. Beliau mendedahkan ada cubaan pihak tertentu menawarkan RM1,000 bagi membeli kad pengenalan dan sasarannya pengundi PAS. Begitu pula didedahkan ada usaha pihak tertentu merundingkan projek membawa balik pengundi khas dari Johor dengan bayaran RM1,000 seorang bagi mempastikan projek kad pengenalan khas berjaya.
Keseluruhannya, pada penilaian terakhir perjalanan kempen pilihan raya kecil Galas kali ini dilihat pihak BN begitu terdesak dengan senario dalaman Umno sendiri. Justeru pihak PAS pula sedia menjayakan tindakan kempen yang bersifat pendekatan psikologi seperti menguar-uarkan isu bayaran pengurusan pengundi luar semata-mata untuk mendapat liputan media dan kesedaran pengundi balik mengundi. Pertimbangan pantas di atas strategi eksklusif dan pendekatan berbeza antara BN dan PAS tersebut, memungkinkan kemenangan kepada masing-masing calon. Apa pun hanya seorang calon yang bakal menang, mungkin BN atau PAS yang menang. Apa yang pasti senario di pihak BN dilihat lebih sukar mencapai kemenangan berbanding PAS.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Seterusnya >>>