SHAH ALAM, 14 Nov — Dewan Pemuda PAS hari ini mengakui pihaknya tidak Berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan minggu lalu antara lain kerana gagal mendaftarkan pengundi baru dalam jumlah yang banyak berbanding langkah Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas mesyuarat bulanannya di sini, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, parti komponen Pakatan Rakyat itu jauh ketinggalan berbanding BN dalam mendapatkan pengundi-pengundi baru di Galas.
“Kita mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas dari perspektif Pemuda PAS, yang mana kita telah kenal pasti faktor kekalahan kita.
“Hasilnya kita mendapati kegagalan kita mendaftarkan pengundi baru dilihat menjadi faktor kekalahan kita yang mana kita hanya mampu mendaftarkan kira-kira 600 pengundi baru manakala BN pula lebih daripada 1,000 pengundi baru.
“Jadi kita masih adalah kelemahan dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru, sebab itu kita kalah kepada BN,” kata beliau selepas mesyuarat hari ini yang turut mengadakan post-mortem kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas di tangan BN awal bulan ini.
PAS pusat dijangka akan membentuk satu jawatankuasa untuk menyiasat punca kekalahan di Galas apabila mengadakan mesyuarat bulanan hari ini.
Justeru, Nasrudin berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru dalam menghadapi pilhan raya umum ke-13.
Pada pilihan raya kecil lalu Galas menyaksikan peningkatan undi baru lebih 1,000 berbanding ketika pilihan raya umum 2008.
“Kita sudah tidak ada masa, jadi kita akan giatkan untuk mencari dan mendaftar pengundi-pengundi baru,” katanya.
Pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi setelah memperolehi 5,324 undi menewaskan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad yang mendapat 4,134 undi.
Tambah Nasrudin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menghapuskan sistem undi pos kerana ia dilihat tidak releven lagi untuk diamalkan.
“Undi pos masih lagi menjadi talian hayat untuk Umno-BN, malah kita tidak nampak releven undi pos dikekalkan.
“Jadi kita minta SPR supaya menghapuskan undi pos kerana ia tidak demokratik dan tidak beri peluang kepada parti bertanding mendapat undi secara adil dan telus.
“Selain itu, undi pos sangat diragui ketelusannya. Jadi ia perlu dihapuskan,” katanya.
Nasrudin juga berkata, dalam usaha untuk menarik pengundi muda menyokong PAS, sayap pemuda parti Islam mahu pucuk pimpinan supaya meletakkan lebih ramai calon yang terdiri daripada golongan muda dalam pilihan raya umum akan datang.
Kata beliau, sudah sampai masa pucuk pimpinan parti memberi ruang kepada calon muda memandang kini ramai pengundi di negara ini terdiri daripada pengundi muda.
Malah menurut Nasrudin, keputusan meletakkan calon muda akan memberikan gambaran dan perspektif positif bahawa parti itu sedia berubah untuk menarik pengundi muda.
“Kita harap parti beri ruang yang lebih besar kepada calon-calon muda untuk bertanding mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang.
“Malah kita sudah kenal pasti calon dari Pemuda PAS dan diserahkan kepada pengarah pilihan raya PAS pusat (Datuk Halim Abdul Rahman) untuk dipertimbangkan.
“Jadi kita harapkan parti dapat beri ruang yang besar kepada tokoh-tokoh muda, beri peluang untuk bertanding sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi peluang kepada kita untuk menjadi pelapis,” katanya.
0 Komen pengunjong :