Guan Eng dakwa pemimpin Umno buta sejarah, Perlembagaan


IPOH, 14 Nov — Setiausaha Agung DAP  Lim Guan Eng menuduh pemimpin-pemimpin Umno “buta sejarah, Perlembagaan” dengan mencetuskan perasaan kebencian dan tidak toleransi di kalangan rakyat negara ini.
Sambil merujuk kepada beberapa insiden berkaitan dengan sentimen perkauman sejak kebelakangan ini, Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa pemimpin-pemimpin Umno “melarikan” Perlembagaan Persekutuan dan menggunakannya mengikut kehendak dan kemahuan mereka bagi memecahbelahkan rakyat Malaysia.
“Apabila Umno bercakap mengenai Perlembagaan, mereka hanya bercakap mengenai kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bukannya kepentingan sahih kaum-kaum lain.
“Ini menunjukkan Umno buta sejarah, buta Perlembagaan, dan buta hati. Kita mesti lawan mereka,” kata beliau ketika berucap merasmikan Kongres DAP Perak Ke-15 di sini hari ini.
Lim menekankan bahawa Artikel 153 menyebut, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang lain dan kepentingan komuniti-komuniti lain selaras dengan peruntukan perkara ini.
“Tetapi Umno sentiasa merujuk Artikel 153 Perlembagaan mengenai kedudukan orang Melayu sebagai justifikasi pendekatan rasis mereka hanya untuk orang Melayu.
“Mereka juga seringkali gagal untuk menyebutkan kepentingan sahih komuniti-komuniti lain juga mesti dilindungi,” tegas beliau.
Justeru Lim juga berkata, agenda “rakyat Malaysia terlebih dahulu” jelas disemadikan dalam Perlembagaan, malangnya aspek ini tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin rasis Umno.
Lim mendakwa pemikiran rasis yang meletakkan kepentingan perkauman mengatasi kepentingan nasional ditimbulkan oleh Menteri Pertahanan  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa kadar penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah disebabkan rendahnya semangat patriotisme mereka.
Selain itu kata Lim, akhbar keluaran Kumpulan Utusan, milik Umno, yang cuba mencetuskan semula peristiwa 13 Mei 1969 dengan menganggapnya sebagai “hari keramat”.
“Kerajaan mesti mengambil tindakan ke atas Utusan memandangkan ia mengembangkan rasa kebencian dan pelampau, bertindak seolah-olah mereka mahukan satu lagi 13 Mei dengan menyambutnya sebagai hari suci.
“Saya percaya orang Melayu di negara ini bukan macam Utusan Malaysia. Utusan ekstremis Umno,” katanya lagi.
Lim juga menekankan insiden kenyataan rasis yang dikeluarkan oleh dua pengetua sekolah dan pegawai kanan Biro Tata Negara baru-baru ini.
Tindakan dilapor telah dikenakan ke atas mereka termasuk menggantung tugas.
“Lihat kenyataan-kenyataan rasis dan menghina daripada pengetua-pengetua yang menimbulkan rasa benci dengan memanggil orang India anjing dan Cina pendatang, yang harus balik ke China atau pegawai BTN yang melabelkan orang India sebagai si botol dan Cina sebagai si mata sepet.
“Atau, pemimpin-pemimpin Umno yang secara terbuka mengatakan mereka tidak memerlukan undi orang India dan Cina,” katanya lagi.
Serentak dengan itu, Lim juga membidas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan bertanya mengapa bukan Melayu di Perak mestik menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Mengapa harus rakyat Perak mesti menyokong seorang pemimpin yang komradnya merasakan mereka tidak memerlukan undi Cina dan India?
“Minta Zambry lihat mukanya di cermin... adakah anda maksudkan anda tidak memerlukan undi orang India?” kata beliau pada majlis yang dihadiri sekitar 1,000 perwakilan.
Lim berkata, pemimpin-pemimpin DAP bukannya antiorang Melayu, anti-Islam ataupun menentang institusi diraja sebagaimana didakwa oleh Umno saban hari.
“Dalam perjuangan kami, kita dipaksa berhadapan dengan banyak dakwaan palsu. Saya ingin menekankan di sini, tidak sesiapa pun harus mempersoalkan kesetiaan kami kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka membuat tuduhan tetapi mereka tidak boleh mencari bukti,” kata beliau.
Kata Lim, perjuangan DAP adalah bersandarkan pada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, parti telah meminda perlembagaannya pada 2006.
Justeru kata beliau, parti komponen Pakatan Rakyat itu bergerak seiringan dengan perlembagaan yang membawa kepada kemerdekaan.
Selain itu beliau juga mengingatkan kembali tema DAP “Malaysia Sederhana” yang bersandarkan lima prinsip iaitu agenda “Rakyat Malaysia” terdahulu, hak asasi manusia dan masyarakat madani, peluang yang saksama, keluhuran undang-undang dan integriti dan komuniti bandar yang intelek.
Sehubungan itu, Lim meminta rakyat tidak membuat kesilapan kerana pendekatan Malaysia yang sederhana akan memutuskan pakatan mana yang bakal memerintah kelak.

0 Komen pengunjong :