Rumah Mat Sabu disambar api


Kediaman Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, di Seksyen 19 di Shah Alam dipercayai dilempar bom petrol tengah malam tadi sehingga menyebabkan sebahagian pagarnya terbakar.

Anak perempuannya Nurul Huda berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, beliau mendapati bahagian pagar depan dan lantai rumahnya terbakar, selepas dimaklumkan jiran.

"Saya tak nampak api. Waktu saya keluar rumah (apa) sudah tiada. Cuma ada bau minyak dan gas," katanya yang berseorangan di rumah ketika itu.

Ibunya ketika itu berada di kampung halamannya di Perlis manakala Mohamad pula dipercayai mempunyai program di Pulau Pinang pada masa itu.

Nurul Huda berkata, jiran-jiran memaklumkannya melibat dua lelaki berada sekitar kawasan kediaman mereka sebelum mendapati api menyambar pagar rumah Mohamad.

Tambahnya, apa itu juga dipadam terlebih dahulu oleh jirannya sebelum memaklumkan kepadanya kejadian itu.

Menceritakan kembali detik-detik semalam, Nurul Huda berkata, sejurus lepas kejadian, beliau terus menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.

"Polis datang kira-kira pukul 1 pagi. Saya buat laporan polis di situ juga. Salinan repot saya ambil pagi tadi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ditanya sama ada beliau merasa takut selepas kejadian yang pertama kali menimpanya itu, Nurul Huda berkata tidak kerana sudah merasa ada sesuatu yang tidak kena dalam masa terdekat.

"Saya sudah rasa lain macam dalam dua, tiga hari sejak lampu jalan depan rumah saya tidak menyala. Jadi, saya sudah ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Pada 8 September lalu, Mohamad mendakwa menerima SMS ugutan daripada daripada individu tidak dikenali yan mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya.

1 comment :

  1. Fasal apa ya...nak kata komunis punya kerja...abang mat x salahkan komunis 100%. Entah-entah orang yang pura-pura baik, yang nak jadi pembela bangsa tapi perangai mengalahkan komunis...lempar bom petrol sembunyi tangan. Dah marah dan berani sangat, pi la tumbuk bang mat tu...

    ReplyDelete