KUALA
LUMPUR — Anak kepada bekas pemimpin dan pejuang ternama Umno
melihat parti terbesar Melayu itu kini hilang arah di bawah kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tamrin Ghafar, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri semasa era
pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Ghafar Baba turut menyuarakan
rasa tidak senang dengan pentadbiran Najib yang menurutnya lebih banyak
merampas daripada mempertahankan hak rakyat di negara ini.
"Umno sudah lari daripada matlamat perjuangan asal pemimpin terdahulu yang lebih mengutamakan rakyat.
"Di bawah pemerintahan Najib, Umno kini lebih banyak menekan dan
merampas hak rakyat daripada mempertahankannya," kata Tamrin kepada
The Malaysian Insider apabila dihubungi malam tadi.
Tamrin turut menyuarakan rasa kecewa terhadap Najib
kerana sejak beliau menerajui negara ini pada 2009 apabila menggantikan
Tun Abdullah Ahmad Badawi, dasar parti utama dalam Barisan Nasional
(BN) itu juga telah berubah sama sekali.
"Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, dasar-dasar perjuangan Umno
juga telah berubah," tambah bekas ahli Parlimen Batu Berendam ini lagi
kepada
The Malaysian Insider.
Bapa Tamrin, yang juga pernah menjadi pemangku perdana menteri
sewaktu Dr Mahathir menjalani rawatan jantung pada 1989 adalah pejuang
sejati Umno yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran empat perdana
menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, Tun Ghafar juga pada pernah menjawat jawatan Ketua Menteri
Melaka selama lapan tahun bermula 1959 sehingga 1967 walaupun pada
mulanya menolak untuk dilantik menjawat jawatan tersebut oleh Tunku
Abdul Rahman.
Tamrin yang dilihat aktif di pentas-pentas ceramah Pakatan Rakyat
(PR) hari ini turut mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab
daripada Jawatankuasa Disiplin Umno pada 26 Jun lalu apabila seringkali
dilihat mengkritik kepimpinan perdana menteri tersebut.
"Memang saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga
disiplin parti. Surat itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung
Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelas Tamrin, surat itu antara lain menuntut agar beliau memberikan
penjelasan berhubung tindakannya mengkritik kepimpinan parti yang mana
Jawatankuasa Pengurusan Umno melihatnya sebagai "melanggar disiplin
parti."
"Saya diberi tempoh 14 hari untuk memberikan jawapan. Namun saya
enggan membalasnya dengan surat. Sebaliknya, saya menuntut untuk
bersemuka dengan jawatankuasa disiplin Umno dan memberikan penjelasan
terus kepada mereka," tegas Tamrin yang turut menghadapi kemungkinan
dipecat sebagai ahli Umno.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik lain sekiranya
dipecat, Tamrin menjelaskan, beliau masih lagi belum membuat keputusan
terhadap perkara itu.
"Kita tunggu tindakan jawatankuasa disiplin parti dahulu. Saya belum fikir lagi nak sertai mana-mana parti," tambahnya lagi.
Tamrin yang sebelum ini hanya memencilkan diri kini dilihat semakin
agresif di pentas ceramah anjuran pembangkang termasuk kemunculan semula
pertamanya pada perhimpunan pra Bersih 3.0 pada penghujung April lalu
di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.
Selain itu, beliau juga pernah menulis "surat kuning" kepada Najib
dan memberi teguran, saranan dan pandangan bagi memulihkan sokongan
rakyat kepada Umno.
Bagaimanapun, usaha beliau itu tidak mendapat perhatian Najib
walaupun perdana menteri itu kerap menyatakan parti itu "perlu berubah
jika tidak mahu diubah" dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka akan
dilaksanakan dalam masa terdekat.
.
0 Komen pengunjong :