Showing posts with label Tamrin Ghafar. Show all posts

BN menang pilihan raya hasil sogokan kepada rakyat – Thamrin

Ghafar

KUALA LUMPUR 14 MEI: Datuk Thamrin Ghafar mendedahkan rahsia kemenangan Umno BN yang terus memperalatkan rakyat luar bandar melalui ‘pemberian kenang budi’ agar mereka terus memberikan sokongan setiap kali pilihan raya.
Menurutnya, melalui pemberian ini masyarakat luar bandar akan terus dibiarkan hidup miskin dan mereka mengambil kesempatan di atas keadaan berkenaan.
“Malangnya pengundi-pengundi Melayu di luar bandar mereka adalah golongan miskin. Terpaksa menerima RM500, apabila terima, mereka rasa terhutang budi.
“Semasa saya lama di dalam Umno dahulu ini adalah rahsia kemenangan Umno.
“Umno BN boleh terus berkuasa di atas kemiskinan rakyat di luar bandar,” katanya pada Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi malam tadi.
Selain itu, modus operandi meniupkan sentimen perkauman masih diteruskan Umno BN meskipun peristiwa hitam 13 Mei 1969 sudah 44 tahun berlalu oleh kerana ‘The Devils Is Still Around’.
“Malam ini saya ingin ulang apa yang saya sebutkan di Gelang Patah dan saya bersedia berdepan tindakan.
“Sebenarnya peristiwa 13 Mei adalah dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan nak menaikkan Tun Razak,” katanya, dipetik Media Selangorku.
Thamrin menambah, Mahathir merupakan pendendam kerana sejak beliau menjadi Perdana Menteri, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan penentang utama.
Justeru, beliau mencadangkan agar satu Gerakan Anti Perkauman (GAP) ditubuhkan bagi membendung budaya perkauman yang cuba dihidupkan kembali oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
“GAP turut akan libatkan penyertaan peguam. Mana-mana pimpinan yang mengeluarkan kenyataan perkauman akan diheret ke mahkamah,” ujarnya lagi.
Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi yang diadakan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) menyaksikan kehadiran hampir 1,000 penyokong demokrasi yang menuntut perubahan ekoran dakwaan terlalu banyak kecurangan semasa pembuangan undi 5 Mei lalu.
Seterusnya >>>

Najib tidak bertanggungjawab guna istilah perkauman

tamrin_ghafarKUALA LUMPUR 7MEI: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan istilah ‘Tsunami Cina’ diselar sebagai tidak bertanggungjawab kerana menggunakan sentimen politik perkauman, kata Tamrin Tun Ghafar.
Sebaliknya kata Tamrin, Najib dan para pemimpin Umno BN sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan bukan mengeluarkan kenyataan kesat yang menganggap masyarakat Cina tidak tahu membalas budi.
“Umno BN mesti faham, majoriti pengundi Cina menolak mereka bukan kerana membenci Melayu, tetapi mereka benci penyelewengan kuasa, rasuah, amalan nepotisme yang mengayakan kroni sahaja.
“Tetapi faktor ini gagal dihayati oleh Umno BN malah mereka terus meniup api perkauman dan menunjukkan perasaan benci yang tebal terhadap pengundi Cina seperti yang berlaku dalam kempen pilihanraya lalu,” ujarnya pada kenyataan.
Tamrin berkata, istilah perkauman Najib itu juga menunjukkan bahawa konsep 1 Malaysia yang dilaungkan hanya retorik semata-mata tanpa menghormati perasaan pengundi Cina yang juga pernah membantu kemenangan Umno BN dalam PRU yang sebelumnya.
“Kalau Umno BN gagal hormat kepada masyarakat Cina, bagaimana mereka mahu laksanakan ‘Perdamaian Kebangsaan’ terutama apabila MCA mengambil keputusan menolak sebarang jawatan Exco dan kabinet ekoran kekalahan teruk mereka.
“Cukuplah, Umno BN mesti berfikir matang dan bertindak secara siuman kerana masyarakat Cina masih tahu mengenang jasa dan budi,” katanya.
Seterusnya >>>

13 Mei angkara Dr M mahu rampas kuasa Tunku - Tamrin


JOHOR BAHRU: Rusuhan kaum 13 Mei berpunca dari percubaan untuk merampas kuasa dari Tunku Abdul Rahman yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tamrin Tun Ghafar
Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba itu berkata, perkara tersebut diberitahu sendiri kepada beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie.

“(Menteri Dalam Negeri ketika itu) Ghazali (Shafie) memberitahu Anwar (Ibrahim) dan saya, ketika kami berada dalam Pemuda Umno, bahawa kejadian itu adalah percubaan kecil untuk merampas kuasa yang dirancang pemimpin-pemimpin Umno dan Mahathir turut terlibat,” kata Tamrin dalam ceramahnya di Gelang Patah malam tadi.

"Tunku telah menulis dalam kolum ‘As I See It” dalam akhbar The Star, dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, bahawa kejadian itu adalah percubaan merampas kuasa yang sengaja dilakukan pemimpin-pemimpin Umno yang kemudiannya menyalahkan DAP dan Cina," katanya lagi.

Pendedahan Tamrin itu sama dengan apa yang didapati oleh hasil kajian Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu.
Menurut Dr Kua, peristiwa 13 Mei adalah akibat dari percubaan merampas kuasa dari Tunku yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak Hussein yang turut disokong oleh Dr Mahathir.

Tamrin seterusnya menceritakan, Tunku telah mengusir Dr Mahathir dari Umno kerana menulis surat menuntut Tunku meletak jawatan selepas rusuhan itu.

"Selepas Tunku berundur dan Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dia membawa Dr Mahathir masuk Umno semula dan melantiknya sebagai Menteri Pelajaran.

"Perkara itu menunjukkan Razak terhutang budi kepada Dr Mahathir (kerana menuntut Tunku berundur)," kata beliau sambil menambah Lim Kit Siang tidak ada di Kuala Lumpur ketika rusuhan itu berlaku.

Tamrin berkata, tindakan Umno menakut-nakutkan orang Melayu dengan peristiwa 13 Mei membuktikan parti itu begitu terdesak kini.
Seterusnya >>>

Tamrin dakwa Dr Mahathir pergunakan bapanya

BUKIT MERTAJAM: Anak Tun Ghaffar Baba, Tamrin Ghafar mendakwa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bukan sahaja petualang yang mencetusan pergolakan dalaman Umno sehingga dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1997 bahkan sering mengeluarkan kenyataan yang mencabul persoalan akidah.

Beliau yang berceramah di Galeri Pejuang, Ceruk To Kun, Bukit Mertajam bersama dua orang penceramah jemputan  iaitu Ustaz Sharil Long dan Ustaz Hafizal  menambah,  peristiwa pengharaman Umno tahun 1997 adalah angkara Dr Mahathir apabila Ghafar didesak lawan Tun Musa Hitam.

Tamrin yang menyertai PAS baru-baru ini berkata, Datuk Seri Anwar juga didesak Dr Mahathir agar mencabar Tun Ghafar Baba yang dianggap sampah kerana tidak dapat membantunya merealisasikan dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020.

"Pada saya mantan Presiden Umnolah yang mencetuskan polimik sebenar dalaman Umno sendiri, kestabilan negara serta akidah.
"Sejak dulu jika dia tidak suka seseorang beliau akan mendesak orang lain cabar dan beliau sendiri akan sembunyi tangan, " terangnya semasa berceramah dalam program PAS Cawangan To Kun dan PAS Bukit Mertajam.

Peristiwa terbesar mengakibatkan pemecatan Datuk Seri Anwar juga dicipta oleh Dr Mahathir sendiri setelah beliau mendapati kekuatan Anwar makin meningkat dan sekiranya dibiarkan kemungkinan pengaruhnya akan hilang.

Jesteru itu, Anwar diinaya bukan sahaja dipecat bahkan ditangkap, difitnah dan diseksa dalam penjara.

Dr. Mahathir adalah durjana sebenarnya, beliau sanggup melagakan orang lain demi memastikan kedudukannya selamat dan terus berkuasa.

Waktu nama Anwar tengah 'top', Mahathir mengambil peluang keemasan  membuang Ghafar Baba dari kabinet kerajaan dengan meminta Anwar lwan Ghafar.

Kes yang terjadi pada Anwar juga berpunca dari perasaan kebimbangan beliau ekoran penampilan Anwar dilihat lebih ke hadapan dari banyak segi.

Bila Anwar jadi mangsa rakyat bangkit dan sampai sekarang isu pemecatanya tidak boleh diterima oleh sebahagian ahli Umno sendiri.

"Tetapi, nak  buat macam mana semua tunduk dengan 'DR M'," tegas beliau termasuk dirinya sebelum ini.

Rakyat juga,  kata bekas Pengerusi MARA itu, tentu masih ingat terlalu banyak kenyataan Dr Mahathir yang boleh mengancam kestabilan negara apatah lagi  akidah.

Sampai hari ini tambah Tamrin, siapa pun tidak boleh menghalang kenyataan dari terus keluar dari mulutnya biarpun kadang- kadang memberikan kesan terhadap sokongan Umno itu sendiri.

Terbaru ujarnya, kenyataan berkenaan 'syaitan yang dikenali lebih baik dari Malaikat yang tidak dikenali' bakal melihat Umno terus jatuh.

"Biarlah dia keluarkan kenyataan merapu sebab Umno akan jatuh tidak lama lagi.  Mungkin diera DR M Umno menjadi terkenal dan selepas beliau pencen Umno pun menjunam," jelasnya yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
.
Seterusnya >>>

Ghafar Baba nak tubuh parti baru selain Umno


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba mahu menubuhkan sebuah parti baru selepas beliau kecewa dengan Umno yang didakwanya telah lari dari perjuangan asal.
Perkara ini dedahkan oleh anaknya Datuk Tamrin dalam ceramah sulungnya selepas menyertai PAS di Bukit Katil, Khamis lalu.
“Lebih 10 tahun sebelum Pak Ghafar meninggal, beliau berhasrat menubuhkan sebuah parti lain selain dari Umno.
“Fasal Pak Ghafar tengok Umno tidak boleh pergi lagi dah. Dia telah menyiapkan perlembagaan parti dan dia bincang dengan saya.
“Dia bincang dengan saya tetapi saya tentang…saya kata u dah umur meningkat, 70 tahun lebih. Kita duit pun tak ada, jentera pun tidak ada.
“Jauh dari TV, surat khabar, kita tak ada. Dulu Tengku Razaleigh (Semangat) 46 mati tidak tahan. Bagaimana kita nak lawan, kita lupakan saja,” kata Tamrin.
Menurut bekas ahli Parlimen Batu Berendam itu berkata, beliau kini menyambung perjuangan ayahnya.
Ghafar yang menjadi Timbalan Perdana  Menteri dari 1986 hingga 1993 meninggal dunia pada 23 April 2006 pada usia 81 tahun.
Dalam ceramahnya, Tamrin mendakwa Perdana Menteri sekarang merupakan kawan baik beliau, tetapi menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berbelanja mewah untuk membeli undi bagi menghadapi pilihan raya.

`Beli undi’
Katanya, Najib melakukan seperti semasa  beliau bertanding Ketua Pemuda dan Naib Presiden Umno dulu.
“Dia beli undi macam dia bertanding Ketua Pemuda, bertanding Naib Presiden Umno. Saya ingat Pemuda diberi kad kredit BSN masa tu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jadi pengerusi.
“Macam mana pegawai-pegawai beri duit kepada Pemuda untuk sokong dia (bertanding Ketua Pemuda), begitu juga untuk Naib Presiden Umno,” dakwa Tamrin lagi.
Kata Tamrin lagi, negara diambang bangkrap ekoran perbelanjaan Najib secara berleluasa menjelang pilihan raya.
Beliau mendakwa, wang dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi tujuan tersebut.
Tamrin juga membidas Najib menggunakan wang kerajaan untuk majlis sambutan hari jadi serta pertunangan anak perempuannya.
“Saya seronok Najib naik. Najib ni kawan baik saya masa sama-sama dalam Pemuda Umno, masa Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tetapi tak sampai empat tahun memerintah, Tun Dr Mahathir kata rasuah lebih teruk. Hari ini Najib kelam kabut, buat apa pun tak kena,” tambah beliau lagi.
.
Seterusnya >>>

'Saya hanya tukar parti bukannya tukar agama', - Tamrin


Tamrin Ghafar

SHAH ALAM – “Saya hanya tukar parti bukan tukar agama” tegas bekas pemimpin Umno, Datuk Tamrin Ghafar yang menyertai Pas 11 Ogos, lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba yang kesal terhadap keputusannya keluar dari Umno dan menyertai Pas.

Katanya, terdapat pemimpin Umno lain bertindak keluar parti ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Antaranya, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Malah, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn juga keluar Umno dan meninggal.

“Dan, arwah abah (Tun Ghafar Baba) hampir keluar Umno dan tubuhkan parti baru,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, ahli keluarga Tun Ghafar melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan yang diambil Tamrin.

Adik Tamrin, Datin Zainon Ghafar, berkata, beliau tidak nampak alasan terbaik buat abangnya untuk keluar dari Umno.

Menurutnya, Tamrin sepatutnya lebih matang dalam membuat keputusan kerana Umno telah banyak berjasa kepadanya hingga beliau menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek.
.
Seterusnya >>>

Umno hilang arah di bawah Najib : Tamrin Ghafar


KUALA LUMPUR — Anak kepada bekas pemimpin dan pejuang ternama Umno melihat parti terbesar Melayu itu kini hilang arah di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tamrin Ghafar, anak kepada  bekas Timbalan Perdana Menteri semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Ghafar Baba turut menyuarakan rasa tidak senang dengan pentadbiran Najib yang menurutnya lebih banyak merampas daripada mempertahankan hak rakyat di negara ini.
"Umno sudah lari daripada matlamat perjuangan asal pemimpin terdahulu yang lebih mengutamakan rakyat.
"Di bawah pemerintahan Najib, Umno kini lebih banyak menekan dan merampas hak rakyat daripada mempertahankannya," kata Tamrin kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi malam tadi.
Tamrin turut menyuarakan rasa kecewa terhadap Najib kerana sejak beliau menerajui negara ini pada 2009 apabila menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dasar parti utama dalam Barisan Nasional (BN) itu juga telah berubah sama sekali.
"Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, dasar-dasar perjuangan Umno juga telah berubah," tambah bekas ahli Parlimen Batu Berendam ini lagi kepada The Malaysian Insider.
Bapa Tamrin, yang juga pernah menjadi pemangku perdana menteri sewaktu Dr Mahathir menjalani rawatan jantung pada 1989 adalah pejuang sejati Umno yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran empat perdana menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, Tun Ghafar juga pada pernah menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka selama lapan tahun bermula 1959 sehingga 1967 walaupun pada mulanya menolak untuk dilantik menjawat jawatan tersebut oleh Tunku Abdul Rahman.
Tamrin yang dilihat aktif di pentas-pentas ceramah Pakatan Rakyat (PR) hari ini turut mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin Umno pada 26 Jun lalu apabila seringkali dilihat mengkritik kepimpinan perdana menteri tersebut.
"Memang saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin parti. Surat itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelas Tamrin, surat itu antara lain menuntut agar beliau memberikan penjelasan berhubung tindakannya mengkritik kepimpinan parti yang mana Jawatankuasa Pengurusan Umno melihatnya sebagai "melanggar disiplin parti."
"Saya diberi tempoh 14 hari untuk memberikan jawapan. Namun saya enggan membalasnya dengan surat. Sebaliknya, saya menuntut untuk bersemuka dengan jawatankuasa disiplin Umno dan memberikan penjelasan terus kepada mereka," tegas Tamrin yang turut menghadapi kemungkinan dipecat sebagai ahli Umno.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik lain sekiranya dipecat, Tamrin menjelaskan, beliau masih lagi belum membuat keputusan terhadap perkara itu.
"Kita tunggu tindakan jawatankuasa disiplin parti dahulu. Saya belum fikir lagi nak sertai mana-mana parti," tambahnya lagi.
Tamrin yang sebelum ini hanya memencilkan diri kini dilihat semakin agresif di pentas ceramah anjuran pembangkang termasuk kemunculan semula pertamanya pada perhimpunan pra Bersih 3.0 pada penghujung April lalu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.
Selain itu, beliau juga pernah menulis "surat kuning" kepada Najib dan memberi teguran, saranan dan pandangan bagi memulihkan sokongan rakyat kepada Umno.
Bagaimanapun, usaha beliau itu tidak mendapat perhatian Najib walaupun perdana menteri itu kerap menyatakan parti itu "perlu berubah jika tidak mahu diubah" dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
.
Seterusnya >>>

Imej Umno mulai merudum di bawah Dr M - Tamrin

Imej Umno mulai merudum di bawah Dr Mahathir - TamrinPASIR MAS- Rakyat perlu menggunakan kuasa mereka bagi menyekat kerajaan yang boros daripada terus mentadbir negara ini, sekiranya tidak mahu negara hilang hala tuju pada masa akan datang.
Bekas anggota parlimen Batu Berndam, Datuk Tamrin Abdul Ghafar berkata, rakyat perlu bertindak bagi mengelakkan Malaysia terus hilang hala tujunya dalam menempuh masa depan yang gemilang.
“Perdana Menteri sekarang terlalu boros berbelanja tanpa memikirkan natijah buruk yang akan menimpa masa depan negara.
“Kekurangan ketelitian Datuk Seri Najib dalam perbelanjaan termasuk ketika melawat luar negara baru-baru ini menghabiskan RM850,000 dalam lawatan tiga malam di London.
“Dan RM1.6 juta ketika lawatan ke New York selama empat malam,” katanya di hadapan ribuan penduduk yang membanjiri padang Mini Stadium Pasir Mas di sini malam tadi.
Tamrin yang juga bekas anggota Exco Pemuda Umno Malaysia mempersoalkan apakah tidak boros namanya apabila berbelanja lebih RM2 juta dalam lawatan seminggu ke luar negara.
Beliau yang juga bekas Pengerusi MARA berkata, Perdana Menteri sekarang suka kepada promosi berlebihan sehingga ketika menunaikan ibadat umrah pun dibuat kenyataan media.
“Semasa pergi umrah Perdana Menteri membuat sidang akhbar sebanyak empat kali termasuk di Mekah dan Madinah,” ujarnya.
Beliau juga mendakwa imej Umno mulai menurun semasa ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamed apabila bertindak menukar royalti petroleum kepada ihsan semasa PAS mentadbir Terengganu.
“Sejak itu Umno mula merosot dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara kehilangan RM200 juta. Namun sekarang keadaan lebih teruk lagi melibatkan Felda yang diasaskan Tun Abdul Razak Hussein,” katanya.
Sementara itu di pentas ceramah yang sama artis Abby Abadi melahirkan rasa bersyukur kepada Allah Taala kerana membuka pintu hatinya bersama dengan perjuangan Islam setelah beberapa kali berada di Tanah Suci Makkah.
Beliau juga melahirkan rasa terharu kedatangannya ke Kelantan dapat bertemu mata dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut menghargai perwatakannya sekarang.
“Salah satu sifat yang saya tertarik dengan Tok Guru bila mana ketika orang kata sebagai bapa kafir, beliau hanya menjawab ‘biarlah dia kata asalkan kita tidak,” ujarnya.
Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafie berkata, beliau meninggalkan Umno kerana bosan dengan pelbagai kemelut yang melanda parti itu sekarang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah mencabar ahli Parliman Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bertanding tiga penjuru pada pilihan raya ke-13 atas nama bebas bagi melihat sejauh mana pengaruhnya.
“Dengan cara itu barulah beliau tahu seramai mana rakyat Pasir Mas menyokongnya,” kata beliau.
Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad mendedahkan ada pihak cuba mensabotajkan program ceramah tersebut dengan mengedarkan poster bertulis “Ceramah malam ini ditunda ke 6 Julai 2012”.
.
Seterusnya >>>

Tamrin 'serang' Muhyiddin di Pagoh


Penceramah Pakatan Rakyat, Tamrin Ghafar menjadikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sasaran dalam satu ceramah di kawasan parlimen yang diwakili menteri tersebut.

Bercakap kepada kira-kira 300 hadirin dalam majlis minum petang di Sungai Terap, Bukit Pasir, anak kepada timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba itu mengimbau kembali dakwaan yang timbul ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor antara 1986 hingga 1995.

"Adakah awak ingat sewaktu beliau menjadi menteri besar dalam isu ladang Stamford Holdings, kerajaan negeri terpaksa pergi ke mahkamah dan akhirnya diselesaikan di luar mahkamah?

"Siapa yang untung? (Tan Sri) Syed Mokhtar Al-Bukhary. Siapa yang buat dia kaya? Muhyiddin," katanya dalam majlis anjuran PAS Johor di DUN Jorak, dalam parlimen Pagoh semalam.

Tamrin merujuk kepada kes saman ke atas Muhyiddin, ahli perniagaan Datuk Yahya Taib dan Syed Mokhtar yang didakwa berkonspirasi untuk memiliki 6,600 ekar tanah yang dimiliki oleh Stamford Holdings.

Syarikat itu mendakwa telah diugut bahawa, sekiranya ia tidak menyertai usahasama untuk membangunkan tanah tersebut dengan menyerahkan 70 peratus ekuitinya, tanah syarikat itu akan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Muhyiddin menafikannya dakwaan tersebut, yang disifatkan sebagai cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan merosakkan imejnya.

Kes tersebut berakhir dengan penyelesaian luar mahkamah di mana kerajaan negeri dan syarikat berkaitan diperintah membayar RM405 juta berbentuk pampasan untuk pengambilan tanah berkenaan.
.
Seterusnya >>>

Tamrin: Dr M Sengaja Dorong Anwar Lawan Bapa Saya


KUALA LUMPUR, 11 JUN: Keputusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menentang Allahyarham Tun Ghafar Baba dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1993 bertukar sebaliknya apabila Anwar didorong oleh Presiden Umno, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad sendiri.
Demikian menurut bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abd Ghafar ketika menyampaikan ucapan beliau dalam program Diskusi Isu Terkini di Lembah Pantai malam tadi.
“Saudara Anwar ni saya dah kenal lama dari saya Pemuda (Umno) lagi dan saya percaya dia.
“Masa tu dia memang tak nak lawan Pak Ghafar, dia beritahu saya, beritahu Pak Ghafar dia tak nak lawan, tetapi tiba-tiba sahaja berubah.
“Selepas perkara tu berlaku, saya tanya dan arwah bapa saya juga pernah bercakap dengan orang-orang seperti Datuk Mazlan Harun, Mat Sabu.
“Mereka kata, yang mainkan dia tu, Dr Mahathir. Ini cerita sebenar,” ujar Tamrin dihadapan kira-kira 800 yang menghadiri program itu.
Selain itu menurut Tamrin, beberapa pemimpin kanan Umno ketika itu turut memaklumkan kepada beliau akan perkara yang sama.
“Saya sendiri diberitahu Allahyarham Datuk (kini Tan Sri) Mohamed Rahmat, Allahyarham Datuk (kini Tan Sri) Megat Junid dan Gabenor Melaka sekarang ini, Tun Khalil Yaakob.
“Mereka kata yang menggalakkan Anwar lawan Pak Ghafar ni adalah Dr Mahathir.
“Sebagai orang muda, kalau saya pun, kalau boss dah bagi jalan saya akan lawan, siapa tak nak jadi Perdana Menteri.
“Ini yang dalam Umno berlawan nak jadi naib presiden, nak jadi ketua wanita tu pasal apa?  Nak jadi Perdana Menteri lah tu.
Tamrin memberitahu, persahabatan beliau dan Anwar tetap terjalin kerana beliau mengetahui kedudukan sebenar.
“Tak jadi masalah. Sebab itulah persahabatan saya dengan Anwar ni dari dahulu sampai sekarang tak berganjak sebab saya tahu niat dia tak mahu lawan tetapi Dr Mahathir dah galakkan.
“Kemudian arahkan orang ini, orang itu untuk galakkan lagi Anwar,” ujar beliau lagi.
Pada 1993, Ghafar mengambil keputusan berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar dalam pemilihan parti itu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution memulakan program Diskusi Isu Terkini itu dengan melancarkan Kelab Nurul Izzah (NIC).
Selain Tamrin, Saifuddin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah sendiri, turut menyampaikan ucapan malam tadi adalah Rafizi Ramli dan Tunku Harmy Tunku Hanan.
.
Seterusnya >>>

Thamrin nasihat ahli tinggalkan Umno


PETALING JAYA: Agak melucukan apabila seorang veteran Umno menasihati ahli-ahli Umno supaya meninggalkan parti yang usang itu dalam ceramahnya.
Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Thamrin Ghafar berkata, Umno dahulu dan Umno sekarang sudah tidak sama dan lebih baik ahli- ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.
“Pemimpin Umno dahulu berjuang dengan ikhlas, kerana bangsa dan agama tetapi pemimpin Umno sekarang lebih berminat untuk menimbun kekayaan dan terlibat dengan rasuah,” katanya dalam satu ceramah di Markas PAS Titi Seorang, Parit Buntar semalam.
Beliau yang masih menjadi ahli Umno meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan mutakhir ini di mana perjuangan Umno jauh menyimpang dari matlamat asalnya.
Menurut Thamrin, banyak penipuan berlaku dalam daftar pemilih di antaranya, dengan membawa masuk warga asing dari Kemboja untuk menjadi pengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.
“Umno sudah tidak betul, tidak gentleman, banyak penyelewengan dan rasuah serta mereka merasa bimbang untuk berdepan dengan rakyat pada PRU13,” ujar beliau.
Mengenai perhimpunan Bersih 3.0 beliau berkata, Barisan Nasional mungkin boleh jatuh sekiranya lebih ramai rakyat bangkit untuk menentang kezaliman dan kejahatan mereka.
Bersih 3.0 katanya, ialah suatu usaha murni yang harus disokong kerana NGO itu menuntut lapan perkara bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil.
Beliau berjanji untuk mendedahkan lebih banyak lagi keburukan dan kedurjaan Umno pada masa-masa yang akan datang.
Mengenai pendedahan ini dengan menggunakan pentas PAS beliau berkata, ”biar Umno pesat saya, saya tidak hairan.”
Lebih 1,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat hadir pada majlis ceramah itu. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.
.
Seterusnya >>>

Malulah sikit, kita sudah 54 tahun merdeka - Tamrin


MELAKA: Vateran Umno, Tamrin Ghafar kesal dengan tindakan partinya itu yang sejak kebelakangan ini menggunakan samseng untuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

"Malulah sikit dengan tindakan samseng baling batu, telur dan lain-lain, kita sudah merdeka lebih dari 54 tahun, takkan masih nak mengamalkan politik macam ini".

"Saya seru pemimpin Umno supaya bertindak matang dan bukan kebudak-budakan macam ini" tegasnya yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran Majlis Tindakan Dun Ayer Molek di sini malam tadi.

Sementara itu Tamrin berkata, beliau rela dipecat dari Umno demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan.

"Saya masih ahli Umno, saya rela dipecat dari Umno demi rakyat, demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan," ujarnya yang juga bekas Pengerusi MARA.

"Umno ibarat kereta yang rosak dan buruk, saya seorang mekanik baiki yang mana skru longgar dan goyang," katanya.
Seterusnya >>>

Masih dalam Umno tapi sokong Bersih 3.0


KUALA LUMPUR, 18 April: Menjelang perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, dua lagi tokoh di luar Pakatan Rakyat menyatakan sokongan terhadap usaha melakukan transformasi pilihan raya.

Meskipun mengakui masih bersama-sama Umno, namun anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar berkata beliau sudah tidak sanggup melihat sistem pilihan raya diperkotak-katikkan Umno BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

Menyentuh mengenai isu pemberian kerakyatan kepada warga asing, Tamrin yang pertama kali muncul di pentas Pakatan Rakyat berkata, beliau sangat sedih apabila kerajaan sanggup 'menjual' negara kepada warga asing.

"Hari ini saya sedih kerana melihat begitu senang negara ini dijual kepada warga asing, semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.

"Berpuluh ribu rakyat asing diberi kad pengenalan. Bermakna kita sanggup menjual negara kita ini semata-mata nak menang.

"Saya boleh nyatakan, kerana nak menang kita sanggup jual negara," kata beliau sewaktu berucap di Ceramah Countdown 10 hari Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Tamrin juga menyifatkan rakyat yang menyokong dan menggerakkan Bersih 3.0 sebagai wira  kerana berjuang untuk membersihkan pilihan raya yang kotor.

"Tuan-tuan hari ini merupakan wira yang nak perjuangkan supaya negara kita tak terjual kepada rakyat asing.

"Kalau kotor kita kena buat apa?" Soalnya dan disambut laungan " Kena bersihkan," oleh kira-kira 2,000 yang hadir.

Sementara itu, bekas pimpinan dan ahli Umno selama 56 tahun, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menyatakan kesediaannya untuk sama-sama menyertai Duduk Bantah.

Beliau berkata, kewujudan Bersih 3.0 selepas Bersih 1 pada 2007 dan Bersih 2.0 tahun lepas sangat perlu kerana kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya ruang demokrasi yang ada.

"Malaysia negara demokrasi yang dipunyai rakyat. Hak yang paling penting dalam negara demokrasi ialah rakyat boleh pilih kerajaan mereka yang benar-benar bersih, telus dan adil. Tapi Umno lupa perkara ini.

"Alhamdulillah ada Bersih 1, Bersih 2, Bersih 3. Walaupun Bersih 1 saya berada dalam kerajaan tapi saya sokong dari dalam.

"Kalau tak ada pilihan raya bersih kita bukan negara demokrasi," katanya.

Beliau juga menegaskan, pilihan raya tidak boleh diadakan selagi media tidak bebas.

Katanya, kerajaan bertindak seolah-olah media milik mereka sahaja, tanpa memberi ruang kepada pembangkang.

"Untuk pilihan raya bersih media mesti adil. Dalam pilihan raya 2008 walaupun dalam keadaan (PR) tak ada duit tak boleh akses media  tapi hampir 48 peratus rakyat undi Pakatan Rakyat

"Semua radio, televisyen, suratkhabar ada satu suara sahaja iaitu suara kerajaan.

"Saya rasa tidak boleh diadakan pilihan raya Jun ini sehingga dibebaskan media massa.

Biarlah kita turun ramai-ramai 28 haribulan ini dan saya akan ada bersama," katanya disambut tepukan gemuruh.

Beliau turut disarungkan t-shirt Bersih 3.0 oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diiringi lagu dan maskot kuning Jang Ubah.
Seterusnya >>>