Pengerusi SPR ahli Umno Ampang, Wan Ahmad Umno Chetok?


 MACHANG: Mampukah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Omar bertindak sebagai pengadil yang saksama, sedangkan mereka juga merupakan ahli Umno.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa berdasar kepada carian menggunakan kad pengenalan baru dan lama milik Abdul Aziz didapati beliau merupakan ahli Umno di bahagian Ampang Selangor.

Manakala Wan Ahmad pula ahli Umno di Cawangan Kampung Bongor, Dun Chetok, Kelantan.

“Samalah misalnya pasukan bola sepak Kelantan melawan Selangor, namun pengadilnya orang Selangor, mampukah pengadil itu bertindak adil. Tentunya ada sikap memihak,” katanya pada ceramah pra Bersih 3.0 di padang Majlis Daerah Machang malam tadi.

Ribuan anak muda hadir mengikuti ceramah tersebut biar pun hujan turun tidak berhenti sejak Isya’ sehingga akhir program. Program bermula solat Maghrib, Isya’ dan solat hajat. Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, ketua penerangan, Dr Muhammad Fadzli Hassan, pemimpin-pemimpin PAS dan PKR serta Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim Yusof.

Sebelum ini dalam satu sidang media di Kuala Lumpur Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang memberi tempoh kepada Abdul Aziz dan Wan Ahmad menjelaskan status mereka dalam Umno.

“Bagaimana mereka berdua boleh bertindak adil dalam mengendalikan pilihan raya kerana sudah jelas mereka merupakan juga ahli kepada sebuah parti politik. Oleh itu kami mendesak mereka melepaskan jawatan dalam Umno segera.

“Ini kerana kewibawaan sebagai orang penting dalam mengendalikan pilihan raya mesti mendapat kepercayaan masyarakat untuk menampakkan mereka benar-benar adil,” ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas parlimen mengenai pilihan raya, namun tidak ada 22 cadangan asas yang dikemukakan pelbagai pihak diambil perhatian serius untuk menambah baik sistem pilihan raya.

Katanya, apa yang berlaku kerajaan hanya mempertimbangkan perkara yang dianggap remeh termasuk menukar perkataan beberapa istilah dalam peruntukan pilihan raya.

Dr Mohd Hatta pula berkata, SPR masih mahu mengekalkan  senarai nama 40,803 pengundi yang status diragui dalam Daftar Pemilih Induk biar pun dibantah pelbagai pihak.

Katanya, bagaimana pemilih berkenaan mahu datang memperkemaskan rekod mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedangkan kehadiran telah diragui lebih awal.


Sebelum ini Abdul Aziz dilaporkan berkata undang-undang tidak membenarkan nama dalam daftar pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan pihak JPN.

Pada program itu juga anak-anak melakukan acara gimik menyerahkan bendera Bersih 3.0, bendera Kelantan dan Malaysia serta banner gergasi Bersih 3.0 kepada pemimpin-pemimpin PAS dan PKR yang berada di pentas.    

0 Komen pengunjong :