Najib Abai Prinsip Undang-Undang, Kata Sankara


KUALA LUMPUR 21 MAC: Sebagai ketua kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya lebih mahir tentang peruntukan undang-undang negara.

Namun, tindakan Najib dan proksi-proksi Umno-Barisan Nasional (BN) mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuktikan beliau tidak bersalah dalam dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan ternyata mengabaikan prinsip undang-undang, jelas Sankara Nair.

Sankara yang ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjelaskan bukan tugas Anwar untuk membuktikan beliau tidak bersalah.
Sebaliknya adalah tugas pihak pendakwaan untuk mengemukakan bukti terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas Ketua Pembangkang itu.

Justeru, Sankara menyifatkan badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno-BN termasuk presiden parti itu sebagai pengecut kerana sewenang-wenangnnya membelakangi undang-undang selain berselindung di sebalik kuasa pemerintahan.

"Ini bukan tugas Datuk Seri Anwar untuk membuktikan beliau tidak bersalah. Ia adalah untuk pendakwaraya membuktikan kes tersebut terhadap Anwar sebab mereka yang menuduh beliau (Anwar). Mereka adalah kerajaan dan berkuasa. Jadi mereka boleh buat apa yang mereka suka dan mempunyai kuasa untuk membuktikan dakwaan.

"Ini adalah tindakan pengecut apabila tiba-tiba muncul dan berkata Anwar perlu buktikan beliau tidak bersalah. Ini bukan caranya kita memerintah negara. Undang-undang negara ini tidak dilaksanakan begitu," ujar Sankara.

Siri tunjuk perasaan anjuran Umno-BN berlangsung sepanjang minggu lalu bagi mendesak Anwar menyerahkan sampel darah kepada mahkamah bagi tujuan pemprofilan DNA.

Kemuncak kepada itu, desakan mengenainya turut dibuat oleh Najib pada kempen pilihanraya negeri Sarawak di Serian, Sabtu lalu.

Tekanan ini dianggap bertujuan untuk mempengaruhi keputusan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah selain melengkapkan cubaan pihak berkuasa menggunakan bukti reka cipta bagi mengaitkan Anwar dengan sampel DNA "lelaki Y" yang ditemui pada dubur Saiful.

Bercakap kepada media, Sankara sekali lagi menegaskan tiada peruntukan undang-undang di dalam negara untuk memaksa tertuduh memberikan sampel darah bagi tujuan penganalisaan sekiranya beliau enggan berbuat demikian.

Tambahnya, Anwar tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana pihak memanipulasi sampel DNA beliau seperti yang berlaku dalam kes fitnah liwat
pertama pada tahun 1998.

Seterusnya Sankara menambah, sehingga kini pihak pendakwaan masih belum mengemukakan sebarang bukti untuk mengaitkan Anwar dengan dakwaan liwat tersebut.

Malah katanya, sepanjang kes pendakwaan dibentangkan, hanya kenyataan lisan menjadi keutamaan dan bukan bukti fizikal.

"Hujahan daripada kami mengatakan tiada peruntukan undang-undang untuk mahkamah mengarahkan supaya DNA diberikan. Memang tiada apa-apa bukti telah diberikan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan ini.

"Tiada sebarang perkara bukti wujud DNA dan cuma kenyataan lisan. Minta nota kes tidak bagi, cara barang (bukti) perolehi pun tidak tahu. Jadi tiada bahan bukti," jelas beliau kepada media.

Setelah mendengar hujah peguam Karpal Singh untuk menolak permohonan semakan semula keputusan perbicaraan dalam perbicaraan oleh pihak pendakwaan, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah memutuskan mahkamah akan dipanggil semula Rabu nanti bagi mendengar keputusan.

Zabidin berkata dalam mahkamah bahawa beliau memerlukan dua hari bagi meneliti permohonan kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (GAPET) yang berkumpul di perkarangan mahkamah pagi tadi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk tidak tunduk kepada desakan Umno-BN memberi sampel DNA.

Menyifatkan kes ini sebagai pendakwaan terpilih, Pengerusi Gapet, Khairul Anuar Othman menyeru rakyat untuk bangkit bersama-sama mempertahankan Anwar daripada dikecam pihak Umno-BN bagi tujuan menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.

"Untuk itu saudara bersama dengan AMK, Gapet akan terus serangan balas iaitu pendakwaan terpilih. Anwar telah dipaksa untuk menyerahkan sampelnya oleh badan-badan bukan kerajaan yang bermotifkan politik.

Gapet turut mengedarkan risalah berhubung tuntutan DNA Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya Shaaribu dan dakwaan kes rogol amah Indonesia, Datuk Seri Rais Yatim.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

0 Komen pengunjong :