Tsunami Cina? DAP jadi mangsa, UMNO mahu terus bodohkan Melayu


POLARISASI undi mengikut kaum kata Najib. Nampaknya beliau terlalu gelojoh membuat andaian melabelkan sokongan padu masyarakat Cina yang mengundi Pakatan Rakyat (PR) sebagai ‘tsunami Cina’. Ternyata, dakwaan Najib itu sekadar bebal yang menimbulkan rasa kurang selesa rakyat Malaysia terhadap sentimen perkauman yang seolah-olah sengaja dibakar.
Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih menjalar. Kekalahan memalukan beberapa tokoh popular BN samada daripada UMNO atau MCA dan lain-lain tidak dapat tidak perlu diterima sebagai adat bertanding dalam sebuah negara Demokrasi Berperlembagaan.
Namun, BN yang nampaknya tidak dapat menerima kemenangan tipis mereka ini masih tidak serik memainkan sentimen kaum. Sudah tentu yang menjadi mangsa adalah DAP.

DAP jadi mangsa…Siapa DAP?
DAP adalah parti untuk semua. Perjuangan DAP adalah dengan maksud murni melepasi batas kaum dan agama. DAP semakin diterima ramai, bermula daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak hingga segenap lapisan kaum di Semenanjung, DAP berjuang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
PRU-13 kali ini memperlihatkan tiga calon Melayu yang mewakili DAP menang di Bukit Bendera, Mentakab dan Raub. Ini yang tidak diwar-warkan media massa.
Rakyat Malaysia semakin waras, adakah menjadi satu kesalahan undang-undang apabila orang Cina menolak parti perkauman seperti MCA dan UMNO? Apalagi MCA terang-terang telah menghina Islam.
Adakah orang Melayu yang mengundi DAP wajar dikatakan pengkhianat sedangkan pemimpin UMNO yang berdosa menggadaikan tanah di kampung Melayu dibiarkan. Siapakah sebenarnya pengkhianat?
Adakah dengan beralihnya undi rakyat Malaysia khususnya pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat wajar dilabel sebagai ‘Tsunami Cina’ yang diapi-apikan seolah-olah masyarakat itu memusuhi Melayu? Walhal yang kalah ialah MCA, UMNO daripada BN.

‘Mahathir bapa perkauman’
Selain Najib, campur tangan Mahathir mengeluarkan kenyataan yang membakar sentimen perkauman amat dikesali. Persoalannya ialah, adakah benar sokongan padu masyarakat Cina memilih Pakatan Rakyat sebagai ‘Cina tolak salam persahabatan orang Melayu’?
Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang disegani, beliau sewajarnya mengukuhkan lagu persaudaraan sesama kaum. Pilihan raya adalah medan perang antara parti politik yang bertanding, bukannya medan pertempuran mana-mana kaum dengan kaum yang lain.
Bagaimana pula dengan sokongan padu masyarakat Cina terhadap calon Melayu dan India daripada PAS, PKR malah calon Melayu DAP sendiri? Andaian dangkal Mahathir sebenarnya akan menambahkan lagi beban BN apalagi tilikan beliau untuk menguburkan karier politik Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersasar jauh.

Dulu, Cina, Melayu dan India sokong kuat BN
BN gagal memahami mengapa pengundi khususnya di kalangan masyarakat Cina tidak memilih mereka. Kemenangan besar PR pada PRU-13 sudah pasti merupakan hasil kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan politik.
Kita juga tidak boleh menolak kekalahan teruk BN ini pada masa yang sama dipengaruhi kekecewaan, kesedihan dan kemarahan sebahagian besar rakyat yang muak dengan kegelojohan dan salah urus tadbir pemimpin BN. Rakyat tahu, cuma sebahagian mereka masih takut untuk berubah akibat mainan politik sentiment BN.
BN harus bermuhasabah kembali, mengapa sokongan yang diterima BN daripada masyarakat Cina sebelum tunami 2008 tidak dibangkitkan Najib? Malahan pihak oposisi sebelum itu tidak pernah menyentuh sokongan padu pengundi Melayu, Cina dan India kepada UMNO, MCA dan MIC sebagai satu ancaman terhadap mereka.
Sentimen perkauman yang dibuahkan Najib dan diapi-apikan Utusan Malaysia serta media arus perdana ini membuktikan betapa hipokritnya slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan. 1Malaysia Najib Razak sudah mati. Yang ada hanya 1UMNO, 1MCA dan 1MIC.
Najib tidak boleh bermain api kerana rakyat sudah bijak bermain internet. Utusan Malaysia harus diambil tindakan. Sedang rakyat Malaysia semakin bijak dan terbuka, taktik kotor BN memutar sentimen perkauman ini bakal membawa bala kepada BN sendiri.

– Roketkini.com

0 Komen pengunjong :