Nama tercicir, Husam tak kisah


Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) untuk meneruskan pentadbirannya di Kelantan sejak 23 tahun lalu, sedikit tercalar dengan berita keciciran nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa dari barisan Exco kerajaan negeri.
Keciciran atau dengan bahasa yang lebih kesat ‘penyingkiran’ Husam yang juga Naib Presiden PAS memeranjatkan banyak pihak terutama para penyokongnya di kawasan DUN Salor.
Hari ini di Kota Bharu, beratus-ratus penyokongnya berhimpun di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memprotes terhadap penyingkirannya dari barisan Exco negeri.
Pasukan polis mengawal kawasan di sekitar Jalan Kuala Krai, di mana terletaknya bangunan pejabat kerajaan itu. Suasana agak tegang dengan kehadiran beratus-ratus penyokong setia Husam.
Pada sekitar jam 11.00 pagi tadi wakil mereka kelihatan keluar dari bangunan itu dan para penyokongnya kemudian beredar dari kawasan itu.
Semalam, kira-kira 150 penyokongnya, diketuai Timbalan Pengarah II Majlis Tindakan DUN PAS Salor, Mohd Nuri Mat Yaacob menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di rumahnya.
Berita ini dengan cepat dipungut dan dipolitikkan oleh akhbar arus perdana, yang mendakwa Husam digugurkan kerana tidak mendapat ‘restu’ Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Akhbar itu memetik Ahmad sebagai berkata, bahawa nama Husam telah diletakkan di tempat paling atas antara barisan pimpinan yang dipilihnya dan perkara ini diberitahu Ahmad kepada para penyokong Husam di rumahnya.
Namun katanya nama Husam telah ditolak oleh baginda menyebabkan beliau terpaksa mencari pengganti lain untuk memastikan proses angkat sumpah dapat dijalankan.
Husam tidak diberitahu
Husam sendiri merasa kecewa mengenai cara beliau digugurkan dari senarai itu tetapi beliau tidak kisah dengan keputusan itu dan menambah, beliau tidak diberitahu mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Negeri yang menyenarai-pendekkan senarai itu.
Beliau meminta agar isu penyingkirannya tidak seharusnya dikaitkan dengan pihak istana dan menekankan bahawa Sultan adalah seorang pemerintah yang adil dan saksama.
Husam yang tewas di kerusi Parlimen Putrajaya kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tetapi berjaya mempertahankan kerusi DUN Salor, merupakan salah seorang pemimpin yang mendapat ‘endorsement’ dari majoriti ahli PAS.
Husam bukan sahaja merupakan seorang pemimpin yang berwibawa tetapi salah seorang yang disebut-sebut layak untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar menggantikan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Selain menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, beliau juga memegang portfolio penting iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri.
Keciciran nama Husam agak sukar dipercayai kerana beliau juga merupakan seorang pemimpin yang disayangi dan dibimbing secara peribadi oleh Mursyidul Am PAS.
Secara kebetulan, pengguguran Husam dari barisan Exco Kelantan bertepatan pula dengan keputusan Nik Aziz untuk melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Timbalannya Datuk Ahmad Yakob.
Permintaan Husam supaya isu ini tidak dikaitkan dengan pihak istana ialah bagi mengelak ianya diputarbelit oleh musuh-musuhnya terutama Umno-Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang PAS.
Isu ini dibimbangi akan digunakan oleh Umno-BN untuk memburuk-burukkan PAS seolah-olah dengan kenyataan Ahmad, PAS menyalahkan pihak istana berhubung isu penyingkiran Husam.
Husam juga mahu supaya isu ini tidak menimbulkan perselisihan faham di kalangan barisan Exco dan rakyat negeri Kelantan dan sekali gus di dipolitikkan oleh Umno-BN dan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Inilah Husam Musa yang memiliki peribadi mulia yang harus dicontohi.

0 Komen pengunjong :