KUALA LUMPUR 16 MEI: Rekod buruk Najib Razak selama memegang
portfolio Menteri Kewangan cukup menjadi kayu ukur Perdana Menteri itu
tidak lagi layak meneruskan jawatan tersebut, kata Setiausaha Agung
KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau mengulas pengekalan jawatan Menteri Kewangan yang disandang Najib dalam pengumuman senarai Menteri Kabinet semalam.
“Berdasarkan rekod kewangan semasa, beliau boleh dikategorikan
Menteri Kewangan gred ‘F’ kerana gagal membawa transformasi ekonomi
seperti yang dicanang.
“Berbanding
lima Perdana Menteri sebelum ini, Najib adalah Perdana Menteri paling
boros dan banyak menghabiskan duit negara,” katanya kepada
Keadilan Daily.
Sebelum ini, format penjawatan Perdana Menteri memegang portfolio
Menteri Kewangan yang dipraktikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
diteruskan oleh Tun Abdullah Badawi dan disambung Najib.
Saifuddin berkata, rekod ‘terbaik’ yang dicatat Najib adalah menambah
jumlah hutang negara sehingga lebih RM500 bilion sebelum diambil alih
dari Abdullah sebanyak RM250 bilion pada 2009.
“Satu-satunya ‘kejayaan’ Najib selama memegang jawatan Menteri Kewangan apabila hutang negara melonjak sehingga RM500 bilion.
“Pertambahan sebanyak lebih RM200 bilion dalam masa empat tahun
merupakan jumlah yang amat membimbangkan. Rakyat terpaksa menangung
hutang sementara menunggu pilihan raya lima tahun akan datang,” kata
Saifuddin.
Katanya, tindakan Najib menamakan dirinya sebagai Menteri Kewangan
kerana beliau bimbang kehilangan pengaruh di kalangan Menteri Barisan
Nasional.
“Najib adalah Presiden Umno yang meletakkan Umno dalam posisi
terburuk sepanjang sejarah pilihan raya. Jika Najib kehilangan pengaruh
dalam aliran kewangan negara, bermakna beliau akan hilang pengaruh total
di kalangan Menteri BN.
“Itu yang lebih dibimbangi Najib berbanding kedudukan negara yang semakin hampir ke tahap bankrap,” kesalnya.
Saifuddin juga bimbang jika negara bankrap di bawah pentadbiran Najib
menyebabkan rakyat terpaksa menanggung bebanan malah pelbagai masalah
lain akan timbul termasuk pertambahan kadar jenayah dan gejala sosial.
Sebelum ini, rekod kewangan negara menunjukkan kedudukan hutang
negara berada pada tahap lebih RM547.79 bilion atau lebih 53 peratus
dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika Parlimen dibubarkan pada 3
April lalu.
0 Komen pengunjong :