KUALA LUMPUR:
Setelah menonjolkan dirinya sebagai 'Bapa Perkauman', dakwaan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk harmonikan isu-isu perkauman
menambahkan lagi keyakinan rakyat bahawa beliau seorang pembohong.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar malah menyifatkan Najib sebagai "lidah bercabang".
"Saya menyifatkan Najib sebagai "Bapa Perkauman' kerana dialah yang
mempertahankan laporan muka depan Utusan Malaysia dengan tajuk yang
nyata mengapi-apikan perkauman," katanya.
Selasa lalu, Utusan menampilkan tajuk "Apa lagi Cina mahu?" yang disepakati ramai sebagai mengapi-apikan perkauman.
Ironinya, kata Mahfuz, dengan sifat sebagai "Bapa Perkauman" itulah
Najib mendakwa dalam posting di Twitter beliau bahawa tugas beliau
seterusnya ialah "mengharmonikan isu-isu perkauman".
"Bohong dan lidah bercabang.
"Adakah Najib fikir rakyat begitu bodoh untuk menerima Presiden Umno
mengharmonikan hubungan antara kaum sedangkan beliau bukan sahaja tidak
mengambil tindakan ke atas (Tun) Dr Mahathir (Mohamad), Umno, Perkasa,
Utusan dan lain-lain pihak yang mengapi-apikan perkauman, malah membela
pula laporan-laporan perkauman Utusan?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu
mempersoalkan.
Malah, kata Mahfuz, rakyat tidak lupa laporan
sebelum ini menyebut bahawa kandungan akhbar tersebut ditentukan oleh
Biro Politik Umno.
Beliau juga mengecam sikap Umno terhadap kaum Cina.
"Bila mereka undi pembangkang, Umno tuduh kaum Cina rasis.
"Bila undi Barisan Nasional (BN) pula, Umno panggil kaum Cina sebagai pendatang pula.
"Apa yang Umno mahu?" Mahfuz mempersoalkan.
Malah, kata beliau, lagi, Umno juga mengkhianati orang-orang Melayu.
"Umno adalah 'mak cik listen' yang garang kepada semua pihak dan
hanya bersifat seperti gadis manja yang meliuk-liuk kepada tauke-tauke
sahaja," katanya lagi.
0 Komen pengunjong :