Dalam panas terik petang ini, lebih 5,000 hadirin yang majoritinya kaum
Cina memenuhi Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar bagi mendengar
ceramah raksasa 'Super Friday' - kempen besar terakhir Pakatan di Kedah
sebelum pilihan raya Ahad ini.
Kehadiran
ramai kaum Tiong Hua dalam majlis anjuran DAP itu memecah 'kesunyian'
mereka yang sebelum ini tidak menyatakan sokongan dengan terbuka dalam
pilihan raya umum ke-13 kali ini.
Walaupun tanpa kehadiran Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi masalah pengangkutan
dan kesesakan jalan raya, perhimpunan itu tetap menaikkan semangat
penyokong Pakatan dengan ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng,
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz
Omar.
Dalam
riuh vuvuzela, Lim berucap menegaskan janji Pakatan, antaranya akan
menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan dengan segera - seminggu
selepas pilihan raya.
"Kamu mahu tunggu ka? Mahu sokong BN? Saya tidak boleh tunggu, atau mungkin tak ada lagi. Kamu mahu tunggu?.
"Kalau
5 Mei ini, kamu pilih Pakatan Rakyat, minggu depan lebuh raya
percuma... Mari kita undi beramai-ramai, tumbangkan BN, baru kita
selamat ," kata Lim sambil diiringi tepukan dan laungan "Ubah".
'ABCD -Asalkan Bukan Calon Dacing'
Katanya,
tol itu tidak perlu dipertahankan lagi kerana syarikat konsesi
didakwanya telah pun untung banyak dan perjanjian konsesi juga dibuat
sehingga 2038.
Sementara itu, menyentuh isu 13 Mei yang dimainkan
dengan kemaraan DAP, Lim menjelaskan bawah kepimpinan pemimpin utama
Pakatan, termasuk Penasihat DAP Karpal Singh, Mursyidul Am PAS Datuk Nik
Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang peristiwa itu
tidak akan berulang.
"Kalau Mat Sabu, Nik Aziz, Datuk Seri Hadi,
Karpal Singh atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (menang), kamu ingat kita
mahu gaduh? Tak ada. Kita nak sama-sama masuk Putrajaya. Betul tak,"
katanya sambil disambut laungan "betul" oleh hadirin.
Sementara
itu, Mohamad - 'ayam sabung' PAS - pula berkata hari ini sekali lagi
mengulangi keyakinan mereka untuk menawan Putrajaya.
Beliau juga
memperkenal slogan baru kepada penonton sebagai 'panduan' mengundi pada
hari minggu ini ala slogan Asal Bukan Umno (ABU) yang popular sebelum
ini.
"ABCD -Asalkan Bukan Calon Dacing," katanya yang terkenal dengan kelucuan ketika berceramah itu.
Calon-calon
Pakatan di kawasan berdekatan turut hadir ke program itu, termasuk Gooi
Hsiao Loong (PKR-Alor Setar), Mohd Eekmal Ahmad (PKR-Bakar Bata), Tan
Kok Yew (DAP-Derga ) dan Teoh Boon Kok (DAP-Kota Darul Aman).
0 Komen pengunjong :