KUALA LUMPUR 13 MEI: Kumpulan Kartunis Independen (KKI) menubuhkan
gerakan Kartunis Lawan Penipuan Pilihan Raya (CAEF) bagi membangkitkan
kesedaran orang ramai tentang penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei
lalu.
Ketuanya, Zulkiflee Anwar Haque atau dikenali sebagai Zunar berkata,
matlamat CAEF adalah memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tidak
mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
“Sebagai
kartunis, saya berpendirian bahawa (Datuk Seri) Najib (Razak) dan
Barisan Nasional tidak mempunyai kelayakan dari segi perundangan untuk
memerintah Malaysia kerana memenangi pilihan raya menggunakan kaedah
penipuan,” katanya pada kenyataan.
“Kita mahu sebuah pilihan raya diadakan semula dengan pemantauan oleh
badan berwibawa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jika
itu tidak dilakukan, kami tidak akan mengktiraf Najib sebagai Perdana
Menteri Malaysia,” kata Zunar.
Jelasnya, CAEF bersedia untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan
(NGO) lain di seluruh negara dan antarabangsa atas tujuan yang sama
iaitu menentang penyelewengan pilihan raya.
“Kami sedia bekerjasama dengan Bersih serta lain-lain NGO di seluruh
negara. CAEF juga akan berusaha menjalin rangkaian dengan gerakan
kartunis dan NGO di peringkat antarabangsa di seluruh dunia atas tujuan
yang sama,” katanya.
Tambah Zunar, pendekatan CAEF adalah untuk menerbitkan karya-karya kartun dalam internet, buku, risalah dan animasi.
“CAEF juga akan membuat jelajah mengenai isu penipuan pilihan raya
bagi membangkitkan kesedaran orang ramai supaya mereka bangkit melawan,”
katanya.
Sehubungan itu, majlis pelancaran CAEF akan diadakan di Amcorp Mall pada Sabtu, 18 Mei bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.
Majlis akan dirasmikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Turut berlangsung, pameran kartun mini oleh ahli-ahi KKI, karikatur, sesi autograf dan penjualan buku.
0 Komen pengunjong :