PETALING
JAYA, 13 Mei — PKR hari ini berkata mereka telah menerima 237 laporan
penipuan yang berlaku ketika Pilihan Raya 2013 di 27 kawasan Parlimen
yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pengarah
Strategik PKR, Rafizi Ramli, berkata, pasukan #siasatPRU13 yang
diketuainya turut menemui keraguan di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) di Perak, Kedah dan Pulau Pinang, dan akan meneliti kesemua
kerusi berkenaan.
“PKR akan bekerjasama dengan DAP dan PAS untuk menjalankan siasatan,”
katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini. “Oleh kerana 19
daripada kerusi ini dimenangi tipis oleh BN adalah kerusi PKR, proses
mengumpul maklumat dan bukti bagi tujuan petisyen pilihan raya sedang
giat dijalankan.”
Rafizi juga mengesahkan Pakatan Rakyat (PR) juga akan mengemukakan
petisyen mengenai penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 pada hujung Mei
ini, namun mendakwa undang-undang pilihan raya tidak “mesra”
pembangkang.
“Kami akan kemuka petisyen hujung Mei ini ... bagaimanapun
undang-undang semuanya menentang kami kerana BN yang buat
undang-undang,” katanya.
“Saya tidak menjangkakan petisyen akan berpihak kepada pembangkang,”
katanya dan menambah, beliau tidak mempercayai gesaan pemimpin BN supaya
menyuarakan rasa ketidak puasan hati mereka berhubung perjalanan
pilihan raya melalui petisyen.
Ketika sidang media itu juga, Rafizi turut mengemukakan senarai
antara kerusi yang diraguinya, termasuklah Bentong; Kuala Selangor;
Baram; Sungai Besar; Pasir Gudang; Labis; Machang; Ketereh; Titiwangsa;
Tebrau; Bagan Serai; Kota Marudu; dan Beufort.
Rafizi turut menyenaraikan kerusi Setiawangsa; Segamat; Ledang; Balik
Pulau; Kulim Bandar Baharu; Pulai; dan Kuala Kangsar; Muar; Pendang;
Hulu Selangor; Sabak Bernam; Merbok; Pensiangan; dan Saratok.
Ahli Parlimen Pandan itu turut menegaskan, daripada 27 kerusi
Parlimen berkenaan, hanya dua sahaja yang mereka masih lagi belum
menerima laporan penipuan iaitu di kerusi Parlimen Machang dan Hulu
Selangor.
Antara kriteria utama yang menjadi fokus siasatan mereka jelas Rafizi
adalah termasuk margin kemenangan tipis bawah 5 peratus; margin
kemenangan tidak sepadan dengan undi rosak apabila undi rosak lebih
besar daripada margin kemenangan; peratusan undi pos dan undi awal
mengatasi margin kemenangan undi biasa sehingga keputusan pengundi biasa
bertukar akibat pola undian kedua-dua undi berkenaan yang diragukan;
serta kerusi yang dilaporkan bukti kukuh beserta laporan polis.
PKR juga jelas Rafizi turut menumpukan kepada enam senarai penipuan
yang jelas iaitu; pengundi dilarang mengundi kerana undi mereka dibuang
orang lain; BN membeli undi; dakwat kekal tidak kekal; kesalahan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menandatangani Borang14 sebelum
pengiraan; dan pengundi warga asing.
“Kami mempunyai bukti bergambar dan video untuk menyokong dakwaan
kami di kerusi Parlimen Balik Pulau,” katanya mendakwa berjaya
memperolehi gambar pengundi menukarkan vaucer kepada wang tunai.
“Kami sedang berusaha mendapatkan pengundi yang berani tampil
mendedahkan tentang kewujudan vaucer berkenaan,” tambah pemimpin muda
PKR itu lagi
Rafizi bagaimanapun turut berkata, pihaknya juga kini sedang mengesan
beberapa penipuan yang dipercayai wujud di kerusi yang dimenangi
pembangkang, seperti di Parlimen Lembah Pantai, Selayang dan juga
kawasan yang dimenanginya, di Pandan.
Pasukan yang diketuainya itu jelas Rafizi mengandungi seramai 67
anggota sukarela, yang meliputi mereka yang bekerja sebagai peguam, dan
akauntan.
Jelasnya lagi, laporan berkenaan penipuan yang berlaku ketika pilihan
raya itu juga sedang diteliti dan pasukannya memanggil pengadu untuk
mengambil keterangan dan bukti untuk tindakan susulan.
“Selain penyiasatan kualitatif, #siasatPRU13 juga menjalankan analisa
kuantitatif untuk mengenalpasti pelbagai perkara yang menguatkan lagi
sentimen rakyat bahawa PRU13 dimenangi BN melalui penipuan,” kata
Rafizi.
Segala bukti yang berjaya dikumpulkan jelas Rafizi lagi akan
dikumpulkan dalam tempoh seminggu dari sekarang setelah kesemua saksi
selesai memberikan keterangan.
Sebagai bantahan kepada keputusan Pilihan Raya 2013, Datuk Seri Anwar
Ibrahim telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan besar-besaran di
seluruh negara termasuk di Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Ipoh sejak
minggu lepas.
Bawa kes ke mahkamah buat bantahan ..... sambut cabaran Najib..
ReplyDeletehttp://relaxkedaikopi.blogspot.com