KUALA LUMPUR, 12 Mei — Akhbar Umno, Utusan Malaysia dilihat masih
lagi meneruskan serangan terhadap komuniti Cina yang didakwa menjadi
punca kepada prestasi teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5
Mei lalu.
Dalam artikel yang diterbitkan hari ini, akhbar
Mingguan Malaysia, edisi hujung minggu
Utusan Malaysia
masih menyiarkan artikel berbaur menyerang komuniti Cina, apabila dalam
ruangan ‘Analisis Mingguan’ tulisan Awang Selamat menyatakan sudah tiba
masanya masyarakat Cina mengambil iktibar menyokong DAP walaupun
hakikatnya mereka yang menguasai ekonomi dan antara kaum terkaya.
“Pada PRU 13 masyarakat Cina sekali lagi memilih untuk percayakan
DAP, yang memainkan sentimen perkauman yang sangat tenbal. Tsunami Cina
lebih besar kali ini,” memetik kenyataan Awang Selamat yang disiarkan
Mingguan Malaysia hari ini.
Awang dalam tulisannya turut mendakwa ada majikan Cina yang memaksa
pekerja mereka mengundi DAP, termasuk juga tokoh kewangan Cina yang kaya
raya daripada kontrak kerajaan memberi dana kepada pembangkang untuk
melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang.
“Dari awal lagi masyarakat Cina sudah menetapkan arus untuk mencetuskan tsunami.
“Sesiapapun yang menyokong BN biarpun daripada kalangan tokoh Cina akan ditekan dan dimalukan,” kata Anwa lagi.
Beliau turut menimbulkan persoalan dalam penyataan “apa lagi Cina mahu adalah relevan walaupun tidak disengangi?”
Sementara itu dalam tulisan Baharom Mahusim, juga disiarkan
Mingguan Malaysia,
berkata, antara pengajaran yang muncul dalam Pilihan Raya 2013 adalah
“orang Cina bukan ‘king maker’ dalam politik Malaysia kerana tanpa
sokongan mereka pun BN tetap memerintah negara, tetapi hubungan kaum
selepas PRU 13 katanya akan memasuki suasana baru.”
“Pola pengundian PRU 13 yang bersifat perkauman - yang dicerminkan
oleh Tsunami Cina seharusnya mengukuhkan iltizam BN melaksanakan dasar
afirmatif untuk Melayu, Bumiputera Sabah, Sarawak yang ketinggalan jauh
dari segi ekonomi.”
Zulkefli Hamzah pula berpendapat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak berhak menyuarakan rasa kecewa terhadap komuniti Cina kerana
kerajaan telah melaksanakan banyak tuntutan mereka, namun membalasnya
dengan menolak kerajaan.
“Penurunan pengundi Cina juga berlaku dalam Pilihan Raya 2008,
disebabkan itu perdana menteri sedaya upaya cuba memenangi hati pegundi
ini dengan memberi apa mereka minta.
“Tetapi itu tidak berlaku malah lebih buruk lagi, bayangkan
kekecewaan BN khususnya perdana menteri .. Lantas beliau layak
menyuarakan rasa kecewa dengan menyifatkan ianya sebagai tsunami Cina,”
katanya.
Beliau turut menyiarkan petikan-petikan daripada beberapa pemikir dan
ahli politik politik Cina untuk memberikan jawapan terhadap tsunami
Cina dalam PRU 13 kali ini.
Antaranya adalah Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Yuon yang
menyatakan beliau sendiri hanya menerima 15 peratus undi Cina di Bruas,
berbanding Melayu antara 70 hingga 75 peratus dan India 55 hingga 60
peratus.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huang Cheng Guan juga turut
dipetik meminta masyarakat Cina kembali memikirkan jasa BN kepada
mereka, yang menurutnya “ apa lagi yang kerajaan tidak lakukan untuk
masyarakat Cina.”
Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini menerima kecaman apabila dalam
laman utama akhbar berbahasa Melayu itu menyiarkan tajuk kontroversi
“apa lagi Cina mahu?” ekoran prestasi BN yang menurun dalam PRU 13.
Sebaliknya DAP menunjukkan peningkatan prestasi apabila majoriti
pengundi Cina beralih arah kepada parti majoriti Cina itu yang juga
parti kompinen dalam Pakatan Rakyat.
BN memenangi 133 daripada sejumlah 222 kerusi Parlimen yang
dipertandingkan dan berjaya membentuk kerajaan walaupun mempunyai jumlah
undi popular yang lebih rendah berbanding PR yang memiliki 89 kerusi
Parlimen.
0 Komen pengunjong :