Calon MB Selangor akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi PR


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan memutuskan calon paling layak memegang jawatan Menteri Besar Selangor dalam minggu ini.
“Keputusan (mengenai) siapa Menteri Besar masih belum dibuat. Ia akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi Pakatan dan nama itu akan diserahkan kepada Sultan Selangor dahulu untuk perkenan,” kata Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di sini hari ini.
Manakala pelantikan secara rasmi Menteri Besar termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menurut Khalid akan dilakukan dalam tempoh dua minggu ini.
“Majlis angkat sumpah akan berlaku secara formal dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.
Setakat hari ini, hanya Kedah yang akan menyaksikan pembentukan kerajaan negeri apabila Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Manakala Johor dan Kelantan, Datuk Seri Khaled Noordin dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor akan mengangkat sumpah esok.
Sementara itu, Khalid menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai Pengerusi BN Selangor.

`Tolak politik perkauman’
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana menolak politik perkauman yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional terutama ketika kempen PRU 13.
“Jelas Pakatan Rakyat mendapat undi popular dan undi dari semua kaum dan ini bertentangan dengan dakwaan Najib bahawa kita hanya mendapat sokongan kaum Cina,” katanya.
Beliau turut mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletak jawatan kerana gagal menguruskan perjalanan pilihan raya secara telus, adil, bersih dan bertanggungjawab.
Katanya, prestasi SPR  amat mengecewakan seperti kegagalan fungsi dakwat kekal, kehadiran pengundi hantu dan meragukan, kotak-kotak undi yang sering muncul secara tiba-tiba serta melewatkan keputusan.
“Kami yakin sekiranya proses pilihan raya lebih bersih dan adil, kemenangan Pakatan Rakyat akan lebih besar lagi bukan sahaja di Selangor tetapi juga di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai tanda terima kasih pihaknya menjemput rakyat ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis malam 9 Mei ini untuk satu majlis kesyukuran sederhana dan ceramah.
Katanya, keputusan PRU ini membuktikan Pakatan Rakyat telah menunaikan janji kepada seluruh rakyat Selangor yang tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan bahawa mereka gagal mentadbir Selangor dengan baik.
“Mandat baru ini akan mendorong kami untuk menggiatkan lagi usaha kami untuk memastikan kebajikan setiap rakyat Selangor terjaga, sekaligus memastikan khazanah negeri yang kaya ini dikongsi secara adil antara semua rakyatnya,” katanya.

0 Komen pengunjong :