KUALA LUMPUR- Nampaknya semakin lama Datuk Seri Najib Tun Razak
menganjakkan tarikh pilihanraya, beliau semakin tidak popular di
kalangan rakyat.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor
(gambar), belum pernah terjadi seorang Perdana Menteri Malaysia yang
memiliki media untuk melonjakkan popularitinya tiba-tiba menjadi tidak
popular malah ditolak pula oleh rakyat.
“Dalam hal ini PM sebenarnya perlu belajar dari isyarat rakyat dan
pengajaran berharga hasil kajian penting Merdeka Center ini,” ujarnya
dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Merdeka Center, sebuah badan penyelidik bebas telah mengeluarkan satu
lagi kajian mengenai sokongan pengundi terhadap Perdana Menteri,
kerajaan Malaysia dan parti pemerintah, Barisan Nasional.
Keputusannya agak selari dengan badan penyelidik bebas yang lain
dengan hasil kajian yang dijalankan pada bulan Januari 2013 menunjukkan
graf sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak
selaku Perdana Menteri terus merudum dan kali ini jatuh dua peratus
kepada 61% daripada 63% pada Disember 2012.
Namun ianya agak menghairankan juga kerana dalam keadaan hampir semua
hadiah diberi kepada rakyat melalui BR1M, bantuan persekolahan kepada
pelajar-pelajar, diskaun telefon bimbit dan lain-lain lagi, rakyat masih
juga gagal menunjukkan sokongan kepada PM. Malah graf beliau terus
merudum bulan demi bulan.
Nampaknya semakin lama beliau anjakkan tarikh pilihanraya beliau
semakin tidak popular di kalangan rakyat. Belum pernah terjadi seorang
Perdana Menteri Malaysia yang memiliki media untuk melonjakkan
popularitinya tiba-tiba menjadi tidak popular malah ditolak pula oleh
rakyat.
Dalam hal ini PM sebenarnya perlu belajar dari isyarat rakyat dan pengajaran berharga hasil kajian penting Merdeka Center ini.
Pertama, PM perlu akui bahawa rakyat Malaysia semakin cerdik dan tahu
membaca politik negara. Mereka menerima segala habuan yang diberikan
kerajaan tetapi tidak semestinya semua yang dikunyah itu ditelan
bulat-bulat.
Rakyat Malaysia kini bukan lagi rakyat ketika 20 tahun lampau. Dengan
kepesatan teknologi, segala maklumat akan cepat sampai ke telinga dan
mata mereka sekelip mata.
Justeru, beliau tidak boleh terus membohongi kenyataan dan fakta yang diselewengkan melalui media yang dikawal oleh kerajaan.
Kedua, beliau perlu menerima hakikat bahawa wang ringgit bukan
segala-galanya walaupun segala-galanya perlukan wang ringgit. Perhatian
rakyat yang paling utama adalah ketelusan kerajaan berbanding nilai
ringgit yang mereka dapat.
Rakyat gembira menerima habuan RM500, tetapi sedih melihat berjuta-juta ringgit pula masuk ke poket pemimpin negara.
Ketiga, rakyat tahu menilai pemimpin mana yang layak menjadi contoh
dan pemimpin mana yang bersikap retorik. Sikap berboros dan bermewah
dengan pelbagai koleksi peribadi disamping pelbagai skandal yang
memalukan adalah pemimpin ditolak rakyat.
Rakyat juga muak dengan amalan rasuah yang semakin membarah terhadap
pemimpin negara. Sebaliknya, rakyat mengangkat pemimpin yang amanah,
berintegriti, bersih, telus dan hidup bersama rakyat.
Keempat, rakyat bangkit marah apabila beliau masih enggan membuka
ruang demokrasi yang sebenar kepada semua pihak. Sukar untuk rakyat
menerima apabila agensi kerajaan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan
politik, kawalan terhadap media yang keterlaluan dibantu dengan pasukan
keselamatan atau penguatkuasa yang hanya bertindak dengan berat sebelah.
Akhirnya, Datuk Seri Najib perlu akui bahawa beliau dan Umno bukan
berada di zaman kegemilangannya lagi. Mandat perlu diserahkan kepada
rakyat dan hormati hak rakyat untuk menentukan siapa yang akan mereka
angkat sebagai pemimpin.
Beliau bebas menentukan tarikh pilihanraya, tetapi rakyat sudah membuat keputusan yang semua telah mengetahuinya.
0 Komen pengunjong :