SPRM jangan campur pemilihan calon - Pemimpin Pakatan


KUALA LUMPUR, 25 Dis — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menolak campurtangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam urusan parti politik berhubung pengisytiharan aset kerana ianya merupakan urusan dalaman parti dan seharusnya kepimpinan parti dan individu itu sendiri yang bertanggungjawab dalam perkara itu.
Walaubagaimanapun, mereka turut mengharapkan agar SPRM tidak cuba untuk “menonjolkan imej bersih Barisan Nasional (BN),” termasuk juga menjadi “mesin basuh” kepada BN untuk membersihkan imej parti pemerintah itu.
“SPRM tidak wajar main peranan dalam isu ini ... ia di luar tanggungjawab mereka,” kata ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Tetapi mereka (SPRM) juga tidak seharusnya membersihkan imej BN,” kata pemimpin PKR itu, dan menambah, sudah memadai calon itu mengisytiharkan aset mereka kepada kepimpinan parti.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, menegaskan SPRM perlu memainkan peranan mereka menyiasat mana-mana individu yang terlibat dengan gejala rasuah, dan bukannya membersihkan imej sesuatu parti.
“Saya tidak melihat dengan mengisytiharkan aset akan membahayakan calon ... namun saya percaya isu ini ditimbulkan untuk menjadikan SPRM umpama 'washing machine' (mesin basuh) kepada Umno-BN,” tegasnya apabila dihubungi The Malaysian Insider.
Mahfuz turut mempersoalkan kredibiliti SPRM sebelum mereka berhasrat untuk menapis calon dalam pilihan raya umum ke-13, kerana banyak kes sebelum ini yang tidak lagi diselesaikan mereka.
“Banyak lagi kes yang belum selesai ... apa status kes-kes itu sekarang?” soal Naib Presiden PAS itu lagi.
Teresa Kok pula berpendapat, apa yang lebih penting adalah pengisytiharan aset itu dilaksanakan sebelum seseorang individu itu dilantik menjadi calon, dan selepas mereka tidak lagi menjadi calon untuk melihat kekayaan yang dikumpulkan mereka sepanjang bergelar wakil rakyat.
“Kita nak tahu sebelum dan selepas memegang jawatan, berapa banyak harta mereka kumpul.
“Selagi rakyat merasakan mereka boleh dipercayai, mereka boleh terus berkhidmat untuk rakyat,” kata ahli Parlimen Seputeh itu.
Pilihan raya umum perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun hadapan selepas mandat BN tamat.
Datuk Seri Najib Razak sudah memberikan petanda bahawa pilihan raya akan dijalankan selepas Tahun Baru Cina pada Febuari.
Khamis lepas, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaafar mencadangkan tapisan calon itu dilaksanakan membabitkan semua parti politik dan individu bertanding calon Bebas.
Cadangan itu turut termasuk ahli Parlimen yang dicalonkan semula atau pertama kali bertanding.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini berkata, satu peruntukan undang-undang diperlukan bagi menyaring bakal calon PRU, ataupun cukup sekadar tapisan dalaman parti politik masing-masing sekiranya peruntukan sedemikian tidak diwujudkan.
Wan Ahmad dipetik laporan Sinar Harian Online menjelaskan, tugas menyaring calon untuk bertanding PRU adalah merupakan tanggungjawab parti politik bagi memastikan calon yang mewakili mereka bebas daripada unsur rasuah.
Disamping menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi tujuan itu, Wan Ahmad turut menjelaskan, parti politik harus berbincang  dengan SPRM sekiranya mereka serius dengan perkara itu.
“Sebenarnya, sebelum ini kerjasama di antara kedua-dua agensi itu sudah lama wujud cuma melibatkan skop tugas yang berbeza iaitu membabitkan membanteras politik wang dan rasuah semasa pilihan raya berlangsung.
“Cuma kerjasama dalam menyaring dan menentukan integriti calon sahaja yang masih belum diwujudkan lagi,” katanya.
Wan Ahmad turut berkata, dari aspek lain, perkara itu bakal menyekat kebebasan demokrasi, namun turut menambah, sekiranya  undang-undang itu diwujudkan, semua parti politik wajib mematuhinya.
Jelasnya lagi, SPR hanya melihat calon yang layak bersih dari sisi undang-undang, seperti tidak muflis, tidak disabitkan dengan kesalahan di mahkamah sehingga menyebabkan hilang kelayakan untuk bertanding dan sebagainya.

0 Komen pengunjong :