KUALA LUMPUR, 1 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengakui Datuk Seri Najib Razak merupakan pesaing politik yang sukar
ditandingi, namun pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu berkata beliau yakin
prestasi Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadi lebih baik seperti
pilihan raya 2008.
Beliau turut menjelaskan kelemahan BN terletak pada parti komponen
perikatan tersebut, dan melihat kempen parti pemerintah itu hanya
berkesan di kawasan milik Umno.
Kaji selidik turut menunjukkan walaupun perdana menteri kelihatan
popular, kadar kepopularan berkenaan terpisah dengan kerajaan yang
ditadbirnya.
“Namun mereka (BN) ada masalah ... Najib bukan bertanding semua kerusi,” kata Anwar kepada The Malaysian Insider semalam.
Sumber kerajaan sebelum ini berkata kepada The Malaysian Insider BN
menjangkakan untuk memenangi lebih daripada 140 kerusi Parlimen dalam
pilihan raya 2008 lalu walaupun PR yakin berjaya untuk menawan Putrajaya
dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Malah, pemimpin BN turut merasakan tujuh kerusi Parlimen di Sarawak
dan enam di Sabah adalah berisiko untuk jatuh ke tangan PR namun yakin
kerusi di pedalaman akan tetap menjadi kubu kuat mereka.
Ada 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Anwar turut berkata beliau tidak terkejut dengan keyakinan BN
menghadapi pilihan raya, namun ahli Parlimen Permatang Pauh itu — yang
mengatakan pilihan raya akan datang adalah yang terakhir untuknya —
menjelaskan BN mungkin akan hilang beberapa kerusi kepada PR di Sabah
dan Sarawak.
Malah, BN juga difahamkan akan kehilangan kerusi dimiliki empat ahli
Parlimen Sabah yang telah lompat parti dan sentimen pengundi Cina bandar
di Sarawak yang mula menyokong PR.
Ketika pilihan raya 2008, DAP sahaja yang berjaya memenangi kerusi untuk PR di Sabah dan Sarawak.
Ahli politik BN turut menjangkakan mereka bakal mendapatkan semula
sokongan masyarakat India, yang dianggarkan berjumlah 1.7 juta,
berikutan mereka telah memenuhi permintaan, malah melebehkan bantuan
kepada mereka.
Kebanyakan masyarakat India menyalahkan bekas Presiden MIC, Datuk
Seri S. Samy Vellu ekoran masalah kewangan dan kemiskinan mereka dan
menjatuhkan beliau pada 2008.
Samy Vellu turut tewas di kerusinya, Sungai Siput, yang sebelum ini merupakan kubu kuat beliau.
Pemimpin BN berkata kepada The Malaysian Insider minggu ini kadar
kepopularan Najib hanya turun satu peratus kepada 64 peratus pada Jun
walaupun kerajaan pimpinannya menurun kepada 42 peratus pada bulan yang
sama dengan penurunan mendadak dari kalangan pengundi Melayu.
Mereka turut menjelaskan populariti Najib masih kukuh walaupun PR
menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air berceramah mengkritik kerajaan
dalam pelbagai isu.
Mandat BN akan tamat April 2013, dan Najib hanya mempunyai tempoh lebih kurang enam bulan sebelum pilihan raya umum dijalankan.
0 Komen pengunjong :