KUALA LUMPUR 10 OKT : PAS menyatakan dakwaan Nasharuddin Mat Isa
berhubung majlis kemenangan DAP di Sarawak yang mendoakan agar Malaysia
akan menjadi negara Kristian adalah pandangan peribadi bekas Timbalan
Presiden itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dalam satu sidang
media di lobi Parlimen pagi ini berkata, seharusnya Nasha berbincang
dengan PAS jika terdapat gerak geri yang bertentangan dengan pendirian
PAS.
“Sepatutnya sebelum ini beliau tampil beserta bukti untuk dikemukakan
kepada PAS tetapi baru-baru ini jumpa pun beliau tidak menimbulkan
perkara ini sebaliknya diam seribu bahasa.
“Saya yakin jika terbukti benar tuduhan tersebut, PAS mahupun DAP
sendiri akan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau yang turut
ditemani Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob.
Khalid juga mempertikaikan niat dan tujuan Nasha mendedahkan perkara berkenaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.
“Jika dilihat juga hubungan beliau dengan PAS tidaklah seakrab beliau bersama Umno-BN ketika ini.
“Malah kenyataan beliau juga menunjukkan beliau seolah tidak berminat
lagi dengan keahlian PAS, dari situ kita sudah boleh lihat,” jelasnya
lagi.
Sambil mengulangi kenyataan Nasha tiada kaitan dengan PAS, Salahuddin
berkata sebarang tindakan terhadap Nasha akan diputuskan Majlis Syura
PAS.
Mengulas tindakan DAP untuk membuat laporan polis, Khalid secara peribadi menyatakan itu hak DAP dan PAS tiada halangan.
.
0 Komen pengunjong :