Tukar bendera bukan agenda kami, kata pemimpin Pakatan

KUALA LUMPUR — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini menafikan mereka berniat mahu menukar bendera nasional dengan bendera alternatif dan menyelar Barisan Nasional (BN) kerana memutar belit fakta dan “menipu” untuk menghentam pembangkang memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.
Pakatan DAP-PKR-PAS mempertahankan diri berhubung tindakan dimalam ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka malam Khamis lalu apabila ada individu yang mengibarkan bendera yang dikatakan akan menggantikan Jalur Gemilang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam telah mengaitkan pakatan pembangkang dan menuduh mereka berniat untuk menukar simbol negara berkenaan sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya kelak.
“Menukar bendera bukan agenda Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut menyelar Najib dan Kabinetnya kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana menurutnya “sangat tidak berasas” dan “isu palsu”.
Kenyataan Najib itu juga turut disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang hari ini dilaporkan telah mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan kerana menimbulkan kebencian terhadap kerajaan.
“Majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan tindakan politik terdesak yang tahu mereka sedang mengalami kekalahan dalam pilihan rayadan cuba menimbulkan kebencian terhadap kerajaan,” kata Hishamuddin dipetik Bernama.
Lim berkata, kenyataan itu menunjukkan BN “terdesak” dalam mendapatkan sokongan golongan atas pagar. “Saya gesa penipuan seperti ini dihentikan segera,” katanya dan menambah kenyataan itu adalah sebahagian daripada taktik Umno dan BN untuk “menakutkan rakyat”.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, turut menyuarakan sentimen sama, berkata “segala tuduhan itu adalah palsu dan telah diberikan jawapan rasmi oleh pemimpin PR”.
Beliau mendakwa Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, “menggunakan penipuan dalam mencabar lawan politik beliau”.
“Tiada bukti untuk menyokong dakwaannya itu.
“Ia juga amat mendukacitakan apabila Najib hanya bersuara berkenaan bendera, tetapi kekal mendiamkan diri terhadap perkara penting seperti rasuah, keganasan politik, kadar jenayah, dan sebagainya,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, menggesa Najib agar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian, dan berkata “kedudukannya sebagai perdana menteri bukanlah lesen untuknya menuduh tanpa bukti”.
Malah, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali turut menafikan perkara itu.
“Itu bukan polisi kami, bukan polisi PR.”
Beliau turut melihat tindakan mengibarkan bendera alternatif tersebut sebagai “tidak boleh diterima” dan menegaskan “pihak berkuasa perlu menyiasat pihak yang bertanggungjawab ... dan mengambil tindakan sewajarnya”.
.

0 Komen pengunjong :