PKR mahu bertemu KPN, hentikan keganasan politik


SHAH ALAM, 9 Sept — Setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, mahu bertemu dengan ketua polis negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar, bagi mencari jalan penyelesaian terhadap keganasan yang sering dilakukan terhadap parti tersebut dan turut menyebabkan ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi mangsa, menurut pengarah komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Terbaru semalam, Bas Jelajah #MerdekaRakyat PKR yang disertai Anwar dan pimpinan lain sekali lagi diserang semalam ketika siri lawatan di Jasin, Melaka. Minggu lalu di Kota Bharu, bas yang sama telah diserang dengan lemparan batu dan cat merah.
“Sebelum itu, taktik samseng sama telah digunakan terhadap pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi dalam sebuah kenyataan yang dikirimkan sebentar tadi.
“Ini termasuk serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong Johor, kecederaan warga emas di Lembah Pantai apabila terkena batu yang dilontarkan terhadap YB Nurul Izzah Anwar dan pelbagai lagi kejadian lain.
“Pun begitu, sekalipun pelbagai laporan polis dibuat, sehingga hari ini pihak polis dilihat tidak serius dalam mengambil tindakan dalam hal ini.”
Menurut Nik Nazmi, Datuk Seri Najib Razak, selaku perdana menteri (PM) terus diam membisu, seolah-olah memberikan lampu hijau untuk gejala samseng ini terus berleluasa.
 “Untuk menghentikan kejadian ini, Setiausaha Agung PKR akan menulis surat rasmi kepada KPN untuk bertemu dan memastikan polis memberikan perhatian terhadap amalan yang mengancam demokrasi negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Polis Melaka sedang menyiasat dakwaan bahawa ketua pengawal peribadi Anwar mengacukan pistol ketika kejadian menghalang bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat yang turut dinaiki ketua pembangkang itu di Jasin semalam.
“Pengawal peribadi yang berusia 37 tahun itu telah ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas selesai sesi rakaman percakapan kira-kira jam 9 malam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Jasin, malam tadi,” kata ketua jabatan siasatan jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, dipetik dari laporan Sinar Harian.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan polis menahan lelaki yang ditugaskan untuk mengawal Anwar selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai  di Kampung Baru Rim, Jasin, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 petang, lelaki berusia 37 tahun, yang  menaiki Toyota Camry, dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke satu majlis di kampung tersebut.
Siasatan polis menunjukkan senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pegawai terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas.
.

0 Komen pengunjong :