CHERAS, 9 SEPT: Keganasan samseng Umno-BN terhadap pemimpin Pakatan
Rakyat (PR) yang dibiarkan oleh agensi penguatkuasa bukti jelas
undang-undang negara ini tidak lagi dihormati.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada tindakan
yang diambil terhadap samseng Umno-BN walaupun terdapat bukti gambar dan
video yang jelas tentang tindak-tanduk mereka.
“Kita boleh tengok gangster Umno pecahkan kereta, ‘kencing’ gambar
(Menteri Besar Kelantan Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), baling batu kepada
bas, terang-terang ada bukti video dan gambar, tetapi ada satu tindakan
diambil kepada mereka? … Tiada” katanya.
Dakwanya, undang-undang di bawah Kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri
Najib Razak bersifat berat sebelah kerana membela tindakan yang secara
jelas melanggar undang-undang.
Akan tetapi, mereka yang didakwa menghina pemimpin Umno-BN ditahan
dan dihukum seperti pemuda yang memijak gambar Najib dalam satu himpunan
pada 30 Ogos.
“Bila pijak gambar Najib, ini merupakan dosa besar. Tetapi bila
baling kasut di masjid, tiada salah, ini merupakan ‘law of the jungle’,”
ujar Anwar.
Terbaru, jelajah bas Merdeka Rakyat yang dinaiki Anwar dan pimpinan
PKR ke Jasin, Melaka dibaling batu dan disimbah cat merah oleh
sekumpulan samseng yang didakwa didalangi Pemuda Umno kawasan tersebut.
Sebelum itu, seorang seorang lelaki yang dipercayai dari pertubuhan
extremis Melayu Perkasa, cuba menghampiri Anwar semasa beliau berada di
dalam satu majlis di sebuah masjid di Alor Star, Kedah.
Malah, gambar muka samseng daripada kedua-dua insiden tersebut
telah dimuatnaik ke laman sosial Facebook namun tiada tindakan diambil walaupun laporan polis telah dibuat.
Kejadian di Melaka merupakan kedua selepas minggu lalu bas tersebut
dibaling batu di bahagian cermin hadapan serta disimbah cat merah di
Kota Bharu, Kelantan.
Selain itu, Anwar turut menempelak media tradisional seperti surat
khabar dan televisyen yang berat sebelah dan secara berterusan
menyebarkan fitnah untuk memburukkan pimpinan PR.
“Mereka mensensasikan pegawai peribadi saya membawa pistol tetapi
saya dibaling batu dan keganasan gangster-gangster Umno ini tidak
disiarkan,” tegasnya.
Ketika mengulas perkara itu, Anwar berkata, pegawai peribadinya
mempunyai lesen senjata api dan bertindak mengikut prosedur yang
dibenarkan (SOP) bagi mengawal keadaan tegang ketika kejadian di Jasin
semalam.
“Saya pergi kemana-mana ada samseng Umno, bila diancam dengan
tindakan ganas mereka, pegawai saya keluarkan pistol tetapi mengikut
SOP,” katanya.
.
0 Komen pengunjong :