Pijak potret Najib dan Rosmah bukan kesalahan - Aktivis Pelajar


KUALA LUMPUR — Aktivis pelajar rata-ratanya merasakan tindakan memijak potret perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bukanlah satu kesalahan dan merupakan tindak balas normal bagi seseorang mahasiswa yang mempunyai kesedaran politik.
“Kami pasti, semua pelajar yang mempunyai kesedaran pasti akan melakukan tindakbalas.
“Kita masih menilai apa aksi yang terbaik sebagai respon kepada tindakan ini,” kata koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli merujuk kepada tindakan Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (Cybernetics) membuang pelajarnya yang terlibat dalam perbuatan menghina PM dan isternya pada malam ambang Kemerdekaan minggu lalu.
Menurut Adam lagi, beliau dan kumpulannya akan bertemu dengan Muhammad Ammar A Rahman, pelajar kolej Cyberetics yang dibuang kolej semalam dalam jangka masa terdekat.
“Kita tidak akan membiarkan Ammar keseorangan.
“Kita akan bertemu dengan beliau dlm masa terdekat ini, dan dalam perkembangan yang sama, mengambil semangat solidariti, pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap ketidakadilan ini akan menerima kesan dan akibat atas isu ini,” kata Adam ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider malam tadi.
Adam sekarang ini sedang menjalani hukuman gantung tiga semester dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) kerana menurunkan bendera wajah Najib dalam satu demonstrasi mahasiswa di hadapan Ibu Pejabat Umno awal tahun ini.
Semalam lembaga disiplin dan lembaga akademik kolej Cybernetics memutuskan untuk memberhentikan seorang pelajarnya yang didapati terbabit dalam perbuatan menghina pemimpin Negara baru-baru ini, kata kolej itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, perbuatan pelajar semester ketiga jurusan Diploma Kreatif Multimedia terbabit adalah atas kapasitinya sebagai individu.
“Ia sama sekali tidak mewakili budaya ilmu yang dipraktikkan di Cybernetics,” kata kenyataan itu.
Cybernetics juga mengambil langkah proaktif bagi membantu pihak polis sepanjang proses siasatan kes.
Gerakan Demokratik Belia dan Mahasiswa (DEMA) tidak merasakan memijak potret Najib dan Rosmah sebagai satu kesalahan dan menentang tindakan kolej Cybernetics membuang pelajarnya itu.
“DEMA merasakan tindakan memijak foto PM dan isterinya bukan satu kesalahan, tetapi tindakan tersebut adalah hanya cara meluahkan ketidakpuasan hati.
“Yang penting sekali perbuatan tersebut tidak membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan PM bukan seseorang yang tidak boleh dipertikaikan,” kata Wong Swee Nee, setiausaha pentadbir DEMA dalam kenyataan yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider pagi tadi.
Menurut DEMA lagi, tindakan yang diambil oleh kolej Cybernetics adalah kejam dan tidak musnasabah.
“Ternyata sekali kebebasan mahasiswa dalam negara ini semakin terkongkong dengan peraturan yang tidak musnasabah.
“Selain itu, tindakan pihak kolej membuang pelajar tersebut sekali menunjukkan permikiran institusi pengajian tinggi kita adalah luput dan memihak kepada pihak berkuasa.
“Kami percaya tindakan tersebut adalah untuk memberi amaran kepada mahasiswa dan anak muda untuk terus bergiat dalam himpunan aman dan gerakan sosial memandangkan kian makin banyak anak muda tampil ke depan untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap regim Barisan Nasional dan kami mengesa agar pihak kolej menarik balik keputusan tersebut,” katanya.
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) menganggap tindakan kolej Cybernetics membuang pelajar sebelum memberi peluang untuk membela diri adalah tindakan yang kurang waras.
“Tindakan pihak kolej Cybernetics membuang pengajian seorang mahasiswanya kerana didakwa terlibat dengan perlakuan menghina pemimpin negara tempoh hari adalah satu tindakan yang kurang waras dan tidak mengikut prosedur.
“Dalam mana-mana sistem pentadbiran sekalipun, buat kesalahan kali pertama, pihak universiti harus memberi amaran terlebih dahulu sebelum terus bertindak mngambil tindakan yang berat,” kata Khalid Ismath, timbalan presiden KAMI ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Menurut KAMI lagi, tindakan kolej Cybernetics membuang pelajar tersebut adalah tindakan untuk membodek selepas mendapat keuntungan melalui dasar pinjaman pendidikan Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dapat memberi keuntungan kepada para pengusaha kolej swasta seperti mereka.
“Mengikut sistem perundangan negara juga, seseorang itu tidak didapati bersalah selagi belum dijatuhkan mahkamah sebagai bersalah.
“Sepatutnya, pihak pentadbiran kolej harus lebih menjaga kebajikan pelajarnya berbanding tuduhan-tuduhan yang masih belum dibuktikan secara undang-undang kerana pelajar adalah pelanggan mesti dijaga dan aset yang berharga.
“KAMI akan membuat tuntutan supaya nasib pelajar yang dibuang sewenang-wenangnya itu mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
.

1 comment :

  1. Bagitulah reaksi balas dari rakyat yang tidak berpuas hati dengan tindak tanduk pemimpin negara yang sentiasa saja menekan satu pehak dan membela satu pehak yang lain, ini menunjukkan betapa keseluruhan rakyat ingin meluahkan perasaan marah mereka sehinggakan bukan sahaja orang awam dewasa bahkan telah sampai ketahap penuntut mahasiswa dimana tidak pernah berlaku sebelum ini.

    ReplyDelete