JENJAROM 7 SEPT : Corak pemerintahan Umno-BN dilihat semakin hari
tidak menunjukkan kematangan dan berat sebelah walaupun sudah memerintah
negara sekian lama.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu
berkata hal itu dapat dilihat daripada tindakan Umno-BN yang
mempergunakan polis demi kepentingan politik mereka.
Beliau turut mempersoalkan tindakan polis yang bertindak pantas
mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang memijak gambar Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan Janji Demokrasi pada
malam sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.
“Mengapa polis bertindak segera apabila gambar Najib dipijak? Dan
kenapa polis tidak bertindak sebegitu apabila beberapa individu menunjuk
punggung kepada Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga?
“Begitu juga dengan gambar Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat
yang gambarnya dikencing serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
yang menerima kek berbentuk najis.
“Banyak kes seperti itu melibatkan pembangkang tetapi tidak ada
sebarang tindakan daripada polis. Sekarang bila Umno-BN sudah terkena
baru mereka rasa. Jika tidak suka orang buat jangan kita mulakan dulu,”
katanya dalam ucapan di Ceramah Perdana, di Sungai Rambai, semalam.
Mat Sabu berkata polis perlu bersikap profesional dan adil dalam mengambil sebarang tindakan dalam insiden itu.
“Jika mahu bertindak, bertindaklah secara adil bukan mengikut
telunjuk Umno-BN. Kalau mahu ambil tindakan ambil tindakan ke atas
semua,” katanya.
Beliau menjelaskan, tindakan menunjuk punggung dan memijak gambar
Najib itu bukannya arahan atau idea daripada Pakatan Rakyat (PR).
Malah PR juga tidak berniat untuk menukar bendera Malaysia seperti
yang dilakukan oleh beberapa individu yang membawa bendera Sang Saka
pada sambutan yang sama.
“Kami sama sekali tidak setuju perkara itu berlaku, jika marah
sekalipun perkara itu tidak seharusnya dilakukan. Ia tidak menggambarkan
amalan kita,” katanya.
.
0 Komen pengunjong :