SHAH ALAM – Pendirian Pakatan Rakyat (PR) bahawa Selangor tidak akan
menyertai negeri lain pada Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU13) jika
diadakan tahun ini sebagaimana yang diumumkan Ketua Umumnya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim Rabu lalu, bukan satu keputusan muktamad.
Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan , Haniza Talha berkata,
pengumuman tersebut adalah pendirian PR yang merestui keputusan Kerajaan
Negeri sebelum ini yang akan mengadakan pilihan raya berasingan jika
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa gagal bertindak membersihkan
daftar nama pemilih diragui.
Haniza berkata, dalam isu ini keputusan Kerajaan Negeri mengadakan PRU13 serentak atau asing hanya terletak di tangan SPR.
Malah tegasnya, isu PRU13 berasingan tidak timbul sekiranya SPR
bersungguh- sungguh membersihkan senarai nama daftar pemilih yang
meningkat mendadak.
“Walaupun telah banyak bukti yang dikemukakan, namun SPR masih gagal
bertindak sewajarnya sebaliknya memberikan alasan yang pelik dan tidak
munasabah.
“Jika SPR sudah bertindak segera barulah Kerajaan Negeri akan
mengumumkan keputusan muktamad sama ada akan mengadakan PRU13 serentak
atau sebaliknya. Itu kuasa Kerajaan Negeri ,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita PKR Selangor berkata, sehingga kini
Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti lebih kurang 1,000 nama pengundi
diragui di negeri ini hasil siasatan akar umbi dalam Kempen Selangorku
Bersih yang dijalankan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga akan membawa isu tersebut ke Mahkamah dalam masa terdekat untuk mencabar SPR.
“(Seramai) 1,000 nama pengundi diragui telah dikenal pasti dan ada sejumlah besar nama yang diragui sedang disiasat.
“Kita akan bawa isu pengundi diragui ini ke Mahkamah dalam masa
terdekat untuk cabar SPR yang kononnya telus dan senarai nama pengundi
adalah bersih,” katanya.
Menurutnya, adalah umpama ‘menghulurkan leher untuk disembelih’ jika
Kerajaan Negeri akur dengan keputusan Kerajaan Pusat mengadakan PRU13
serentak sedangkan senarai nama pemilih tidak dibersihkan terlebih
dahulu.
Terdahulu, pertambahan pengundi baru di Selangor menjadi isu hangat
sehingga Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Samad menetapkan pilihan
raya peringkat negeri Selangor tidak akan diadakan selagi daftar pemilih
ini tidak bersih walaupun Parlimen telah dibubarkan di peringkat pusat.
Rekod daftar pemilih terkini suku tahun ketiga 2011 menunjukkan
pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar
(6,049) , Hulu Selangor (15,481), Tanjong Karang (4,307), Kuala Selangor
(10,083), Selayang (16,189), Gombak (15,467), Ampang (9,467), Pandan
(13,175), Hulu Langat (23,334), Serdang (23,748), Puchong (19,772) dan
Kelana Jaya seramai 13,714.
Dalam pada itu, di Petaling Jaya Selatan sebanyak 4,143, Petaling Jaya
Utara (5,603), Subang (27,765), Shah Alam (15,417), Kapar (21,606),
Klang (11,702), Kota Raja (22,256), Kuala Langat (17,172) dan Sepang
14,627.
.
0 Komen pengunjong :