KUALA LUMPUR: Tindakan
dan kebijaksanaan Majlis Syura Ulamak PAS mengurus perangkap yang
dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan
semalam dalam isu yang sengaja digembar-gemburkan mengenai Ustaz
Nasharuddin Mat Isa benar-benar mengecewakan musuh.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam
kenyataannya hari ini berkata tindakan tersebut menyebabkan ‘syaitan
yang dikenali' menangis manakala 'para malaikat yang tidak dikenali'
insya Allah akan gembira.
Ekoran itu, Tuan Ibrahim menasihatkan agar semua ahli dan pimpinan
tidak terkena perangkap-perangkap yang dipasang oleh musuh dengan
gempuran media mereka.
“Mereka gila mengimpikan Pakatan Rakyat berpecah atau dalaman parti
bergolak. Bagi sesebuah parti di ambang ajal, tiada yang lebih
menyeronokkan baginya melainkan musuh mereka berpecah.
Dengan objektif sedemikian, mereka memasang pelbagai perangkap bagi
memerangkap ahli dan pimpinan agar memasuki jerat yang mereka sengaja
pasangkan.
"Alhamdulillah, PAS dengan pengalaman lama dalam politik negara
berjaya mengenali mana perangkap yang dipasang itu,” kata beliau.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan agar semua ahli dan
pimpinan jangan menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit dalam
menghadapi isu yang sengaja dilontar oleh musuh, kerana musuh kini
sangat tidak senang dengan perkembangan dan sokongan rakyat kepada kita
kini.
“Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini, dan janganlah
keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana
musuh,” nasihat beliau.
Selain jangan bersangka buruk pada orang lain, Tuan Ibrahim turut
menasihatkan agar semua jangan melakukan perkara yang menimbulkan buruk
sangka orang lain terhadap diri sendiri.
“Janganlah kemarahan kamu kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu pada
musuhmu, kerana kemarahan kepada sahabat kerana kecintaan kamu
kepadanya, sedangkan kemarahan kamu kepada musuhmu adalah kerana
kemurkaan Allah kepadanya.
"Lantaran itu, menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak sama
kardahnya menghadapi musuh. Perasaan kita turut berubah dan seluruh cita
rasa akan berbeza.
"Lantaran itu juga, janganlah kita bergembira di atas dukacita
sahabat, dan jangan pula bersedih di atas kegembiraan musuh,” tambah
beliau.
.
0 Komen pengunjong :