Sabotaj parti: Pemimpin tertinggi Umno cemas

KUALA LUMPUR: “Jika begitu tegasnya nada kenyataan Tan Sri Muhyiddin, ini bererti Umno dan BN berada dalam keadaan gawat dan tenat,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor .
Katanya, disiplin dan akhlak ahli Umno dan parti komponen BN dianggap begitu teruk sehingga terpaksa diberi amaran dalam ruang media yang terbuka.

Baru-baru ini Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tegas menggesa anggota Umno dan BN yang cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya disingkirkan.

Kenyataan beliau disambut pula oleh pemimpin lainnya yang menyokong kenyataan tersebut.

Riduan berkata, gelombang yang begitu menggelora sedang membadai dalaman mereka sehingga terpaksa pemimpin tertingginya memberi amaran keras untuk menenangkan keadaan.

Katanya, kenyataan Muhyiddin menunjukkan bahawa Umno sudah lari jauh dari matlamat asal perjuangan mereka.

Baginya, agenda membela bangsa adalah kata-kata manis yang lahir dari lidah mereka sahaja, sedangkan hati mereka tiada niat untuk membela nasib rakyat.

Menurutnya lagi, mereka lebih bernafsu untuk memikirkan diri mereka sendiri.

Tambahnya, tindakan mereka dizahirkan dengan sanggup ‘mengalahkan’ calon dan parti mereka sendiri dalam PRU13 jika mereka atau orang pilihan mereka tidak terpilih bertanding.

“Sebegitu rapuh dan murahnya ‘aqidah’ perjuangan mereka terhadap parti sendiri, tidak terbayangkan bagaimana kelak pemimpin seperti ini sanggup mengharungi kesusahan bersama rakyat semata-mata mahu membela nasib rakyat lebih dari diri mereka sendiri,” katanya.

Dalam keadaan sekarang, ujar Riduan apakah masih ada sekelumit hati pemimpin Umno merasakan menjadi wakil rakyat sebagai suatu amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan memberikan khidmat kepada masyarakat terutama pengundi sebagai suatu keutamaan.

Beliau mempersoalkan, mungkinkah ada kalangan mereka merasakan amanah yang dipikul itu akan menjadi suatu bebanan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Sebaliknya, kata beliau mungkin mereka merasa menjadi Yang Berhormat atau menteri adalah suatu kemuliaan dan juga peluang untuk membolot kemewahan dunia sebanyaknya tanpa memikirkan nasib rakyat yang mereka wakili.

“Saya ingin mengajak rakyat menilai kembali sokongan mereka kepada Umno. Parti seperti ini tidak boleh disokong kerana mereka sendiri sanggup menjual beli parti mereka sendiri hanya kerana kepentingan diri mereka.

“Zahirnya nampak kuat, namun dalamannya amat rapuh dan lemah. Parti seperti ini boleh rebah bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.

Katanya, kenyataan Muhyiddin pula akan menguji diri beliau jika ia benar-benar terjadi ke atasnya.

“Sesetia itukah Muhyiddin terhadap partinya sendiri atau beliau turut akan sama mensabotaj dan akan disingkir jika tidak terpilih sebagai calon PRU13?” tanya beliau.
.

0 Komen pengunjong :