KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Keputusan kerajaan dalam cadangan
menurunkan harga kereta disokong, namun BN tidak harus bermuka-muka
dalam perkara ini, jelas pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli .
Beliau memetik akhbar The Star hari ini bahawa kerajaan mencadangkan
rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga
kereta.
Sambil
mengalu-alukan cadangan tersebut, pengarah strategi PKR itu berkata ini
membuktikan bahawa cadangan partinya untuk mengurangkan harga kereta
mampu dilakukan.
“Ia juga membuktikan bahawa kajian PKR mengenai kesan buruk harga
kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai
kerajaan.
“Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi
pimpinan Umno/Barisan Nasional yang secara berterusan mengkritik
cadangan PKR tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara.
“Saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI), Dato’ Seri Mustapha Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar
Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat
apakah sebenarnya dasar kerajaan Umno/Barisan Nasional berhubung
penurunan harga kereta,” katanya dalam kenyataan media yang dihantar ke
The Malaysian Insider semalam.
Menurut Rafizi, sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan PKR untuk
mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga
kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) untuk
mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini
kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang
mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak.
Rafizi juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor
Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan
PKR tentang penurunan harga kereta.
“Saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama
mempromosikan kempen #turunkanhargakereta dengan menaiki kereta rasmi
Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan
mengedarkan pelekat kereta kempen.
“Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan
cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk
menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan,
keselamatan dan pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.
Beliau menerangkan dengan harga yang murah, beban isi rumah dapat
diringankan, liberalisasi harga pasaran kereta menyebabkan kerajaan
perlu meningkatkan kapasiti dan menaiktaraf pengangkutan awam, harga
murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta diperkenalkan, kereta yang
berkualiti tinggi dan berteknologi hijau dapat diperkenalkan yang dapat
mengurangkan pergantungan bahan api fosil negara dapat dilakukan.
“Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan
yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, PKR akan
bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam PR untuk membawa kempen ini ke
bawah tanpa mempedulikan tindakan BN yang seterusnya kerana saya yakin
BN tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta,” katanya lagi.
.
0 Komen pengunjong :