Kerajaan dicabar lulus permit Suara Keadilan

KUALA LUMPUR : Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permit penerbitan akhbar rasmi KEADILAN – Suara Keadilan bagi membuktikan kerajaan tidak menyekat kebebasan akhbar.
“Inikah yang dikatakan kebebasan media? Kalau media bebas, tak mungkin Suara Keadilan sampai sekarang tak dapat permit,” katanya dihubungi.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya kerajaan tidak menyekat kebebasan media di negara ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan media memainkan peranan dalam proses demokrasi.
Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Setia itu berkata, kerajaan tidak perlu bercakap soal kebebasan media selagi ada layanan dwi standard terhadap akhbar alternatif.
“Akhbar-akhbar milik Umno BN seperti Utusan Malaysia, New Strait Times, The Star dan sebagainya tidak dikenakan tindakan walaupun menipu dan memfitnah.
“Jika akhbar Pembangkang mendedahkan maklumat, walaupun ia benar, mereka dikenakan tindakan dan dituduh menyiarkan laporan palsu,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, setakat ini tiada jaminan daripada kerajaan bahawa parti Pembangkang boleh mendapat akses media secara bebas dan adil.
Perkara itu katanya, menguatkan lagi fakta, kebebasan media yang dilaung-laungkan selama ini adalah palsu dan retorik kerajaan.
Ini dibuktikan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada September tahun lalu mengumumkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dengan menggantikan pembaharuan permit penerbitan tahunan kepada permohonan sekali sahaja.
Permit Suara Keadilan telah digantung oleh KDN berkuatkuasa 1 Julai 2010 berikutan pendedahan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhadapan krisis kewangan.
Harakah yang diasaskan PAS turut menerima tekanan apabila penerbitannya dihadkan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan pada Mac 2000 dan tidak boleh dijual secara terbuka.
.

1 comment :