PRU13: Pengundi Cina tersinggung, BN sukar menang majoriti

Prof Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi kesukaran untuk menang majoriti dua pertiga termasuk menawan negeri pantai barat berpunca daripada undi daripada kaum Cina dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Panel, Zainon Ahmad dari akhbar The Sun berkata, kesukaran ini berlaku akibat kelantangan pemimpin Umno dan BN yang menyatakan mereka boleh mendapat majoriti dua pertiga hanya berbekalkan undi Melayu selepas menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Menurutnya, ini membuatkan bangsa lain tersinggung dan mengubah landskap politik negara dalam pilihan raya umum 2008 apabila BN kehilangan empat negeri.

“Parti pemerintah harus memberikan perhatian mengenai perkara ini, jika tidak ada negeri yang akan kecundang seperti Negeri Sembilan, Johor dan gagal untuk merampas semula negeri ditawan pembangkang.

“Kegagalan ini juga berpunca daripada janji BN tidak ditunaikan, kerana leka dengan kemenangan diperoleh,” katanya dalam persidangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) pusingan ketiga yang bertajuk ‘Dari PRU-12 ke PRU-13: BN lawan PR, Satu Penilaian’.

Sementara itu ahli panel terakhir, Prof Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat Cina sukar untuk menerima perkara berkaitan dengan perkauman ditimbulkan mana-mana pihak sama.

Katanya, bagi masyarakat itu, sistem pendidikan bahasa Cina amat dititik beratkan dan harus diberi keutamaan.

“Selama ini masyarakat beranggapan bahawa kaum Cina lebih mementingkan ekonomi daripada pelajaran dan ia tidak benar kerana bagi mereka sistem pendidikan Cina harus diberi keutamaan.

“Bagi mereka ekonomi adalah keperluan kedua, walaupun banyak pihak menyatakan kaum Cina lebih mementingkan ekonomi,” katanya.

Kok Seong berkata, perkara ketiga menjadi keutamaan kaum tersebut adalah isu berkaitan dengan perkauman.

Menurutnya, walaupun pelbagai sistem diperkenalkan oleh kerajaan yang memperuntukkan pembahagian kepada semua kaum, tetapi masyarakat Cina masih beranggapan ia tidak adil.

“Mereka beranggapan sistem yang diperkenalkan itu lebih menjurus kepada Umno kerana majoritinya bangsa Melayu yang menguasainya.

“Ini termasuk jawatan di dalam Kabinet, sistem pentadbiran negara atau apa jua jawatan yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.
.

1 comment :

  1. Tapi dua orang prof kangkung dari UKM dan UUM kata rating Najib melonjak naik sebab orang India dan Cina sokong dia. Peratusnya sangat tinggi. Melayupun sokong dia.

    ReplyDelete