BANGI BARU BANGI - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang sebelum ini
disifatkan sebagai 'ibu kepada segala pilihan raya', dilabel sebagai
satu pertembungan personaliti antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk
Shamsul Amri Baharuddin menyifatkan pertembungan kedua-dua mereka
sebagai "Battle of the Gladiators".
"Saya melihat pilihan raya umum ini sebagai persaingan dua personaliti
iaitu antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan
masing-masing mencari ruang persepsi... politik adalah berkenaan dengan
persepsi," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
"Seperti yang saya katakan tadi (semasa pembentangan), ini macam
"Battle of the Gladiator'. Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar adalah
pelakon utama, yang lain-lain (pemimpin politik) adalah pelakon
tambahan," katanya lagi.
Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presidn Umno, kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat.
Beliau dipecat pada awal September 1998. Ketika Najib merupakan Naib Presiden dan kini Presiden Umno.
PRU13 merupakan pertama kepada Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Sambil mengakui faktor Najib sebagai pemimpin berbanding Barisan
Nasional (BN) dan Umno dilihat sangat penting, Shamsul Amri berkata,
faktor personaliti akan memainkan peranan penting dalam menentukan
kemenangan PRU13.
Bagaimanapun beliau juga menekankan bahawa walaupun Najib menerima undi
populariti atau lebih popular berbanding Anwar, tetapi akhirnya
sejauhmana populariti itu diterjemahkan dalam undi atau sokongan semasa
pengundian kelak adalah penting.
"Kalau sokong sekarang, tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk undi pun tidak berguna juga," katanya lagi.
Beberapa kajian yang diumumkan kepada publik sejak kebelakangan ini
termasuk MPN dan Merdeka Center menunjukkan Najib lebih popular
berbanding Anwar.
Bagaimanapun populariti kerajaan BN pimpinan Najib lebih rendah berbanding populariti Najib sebagai seorang perdana menteri.
Hasil kajian Merdeka Center yang dikeluarkan semalam menunjukkan populariti Najib kekal stabil di paras positif.
.
0 Komen pengunjong :