KUALA LUMPUR, 20 Julai — Laporan tentang pengganas Jemaah
Islamiah (JI) dan bekas komunis menyusup masuk dalam Pakatan Rakyat (PR)
adalah propaganda polis Cawangan Khas (SB) yang menunjukkan kerajaan
Barisan Nasional semakin terdesak, kata Lim Kit Siang hari ini.
Ahli politik veteran pembangkang itu turut mencabar Perdana Menteri
(PM) Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishamuddin Hussein untuk mendapatkan penjelasan polis, siapakah ahli
kumpulan yang disebutkan dan kenapa polis dibenarkan untuk menyebarkan
“cerita mengarut” yang dibawa oleh agensi berita kerajaan, Bernama
semalam.
“Adakah kerajaan Umno/BN semakin terdesak dalam menghadapi cabaran
dari PR sehingga terpaksa menggunakan Cawangan Khas untuk menakutkan
orang ramai, mereka-reka cerita mengarut tentang JI dan komunis menyusup
masuk dalam PR, terutamanya PAS dan DAP, untuk menyerang PR secara
tidak demokratik?” kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam kenyataannya
pagi ini.
Dia juga mempertikai tentang perbelanjaan SB sebanyak RM381 juta daripada RM6.3 billion daripada bajet polis untuk tahun 2012.
Laporan Bernama semalam menyebut bahawa Pembantu Pengarah dari
Cawangan Khas E2 (M), dalam Divisyen Ekstremis, Sosial dan Nasional,
Mohd Sofian Md Makinuddin, dalam Konvensyen Pemimpin Belia Nasional di
Parlimen semalam berkata, bahawa terdapat elemen JI untuk menyusup masuk
dalam PAS, manakala komunis cuba menyusup masuk dalam DAP.
Lim juga berkata ini adalah lawak kerajaan yang paling teruk dalam
tahun ini, jika tidak kerana tuduhan yang melulu, mengarut dan tidak
berasas dalam menentukan polisi di peringkat keselamatan negara ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hishamuddin Hussein, harus menerangkan kenapa mereka
mengabaikan kebenaran dengan membenarkan SB membuat cerita mengarut
tentang Jemaah Islamiah (JI) dan bekas komunis menyusup masuk dalam PR
dan cuba menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
“Dengan kebangkitan propaganda tentang pengganas Islamis dan komunis
menyusup masuk dalam PR, satu langkah telah diatur menentang PR untuk
menghapuskan demokrasi bagi meneruskan penguasaan Umno/BN di peringkat
persekutuan?” katanya lagi.
Lim mendakwa sudah menjadi rahsia terbuka mengatakan Najib mungkin
akan membubarkan Parlimen — mengadakan pilihan raya sebelum bermulanya
puasa pada hari esok, jika tidak kerana perhimpunan Bersih 3.0 yang
berlangsung pada 28 April lalu —menjadikan parti pemerintah itu tidak
berada di tempat yang selesa.
Dia juga menyoal tindakan Biro Tatanegara (BTN) yang dalam satu hari
di Konvensyen Pemimpin Belia Nasional, berkata Kementerian Menteri Di
Jabatan Perdana Menteri minggu lalu telah menyertai dalam Konvensyen
Media Sosial 1Malaysia yang berjanji akan meningkatkan 10,000 orang
cybertrooper UMNO dan memberi kebenaran untuk menipu dan menyebar
propaganda buruk ke atas PR.
“Apakah dengan dakwaan SB tentang JI dan komunis menyusup PR ini
adalah satu contoh ‘propaganda penipuan yang dibenarkan’ menentang PR,
sama seperti penipuan tentang menubuhkan kerajaan Kristian di Malaysia,
dan melantik PM dan menjadikan sebuah negara republik menentang sistem
Raja Berperlembagaan?” kata Lim lagi.
“Saya mencabar Najib, Hishamuddin dan Mohd Sofian dari unit SB untuk
menunjukkan bukti bahawa pemimpin DAP atau PR, Ahli Parlimen dan ADUN
yang mana mempunyai hubungan rapat dengan JI atau komunis, atau namakan
mereka yang telah ‘menyusup masuk’ dalam PR yang mahu menjadi calon
dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Jika tidak, kata Lim, Mohd Sofian harus menarik balik kenyataannya
dan memohon maaf atas tuduhan tak berasas dan serius, atau dia harus
menghadapi tindakan disiplin atau mungkin dipecat kerana membuat
kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang pegawai kerajaan
yang sepatutnya membuat keputusan untuk keselamatan negara, bukan parti
politik yang sedang berkuasa.
Dalam laporan Bernama, Mohd Sofian berkata Cawangan Khas telah
mendapat maklumat tentang elemen JI yang cuba menyusup masuk dalam PAS
dan komunis di dalam DAP.
“Sesetengah ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) telah selalu ke Bangkok dan selatan Thai untuk bertemu
dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana,” dia berkata
ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Keselamatan Negara Tanggungjawab
Bersama” di dalam konvensyen tersebut.
“Ini adalah kesan daripada idea politik baru mereka yang mempunyai potensi untuk memusnahkan nilai-nilai utama dalam negara ini.
“Pergerakan ini menerima sokongan dari badan bukan kerajaan (NGO)
dalam bentuk kewangan, latihan di luar negara dan juga beberapa bidang
kepakaran khususnya menghadapi pilihan raya akan datang.”
Mohd Sofian juga berkata pergerakan itu juga untuk mencipta NGO yang
sentiasa menjadi penentang kerajaan dan mencetuskan huru-hara untuk
melemahkan kerajaan.
“Dalam hal ini, kami bimbang pihak pembangkang dan NGO akan terus
bermain isu-isu kontroversi dan menyebar kebencian terhadap kerajaan
dalam pilihan raya akan datang.
“Atau untuk meningkatkan demonstrasi dan insiden yang boleh
memecahbelahkan pemerhatian polis, demonstrasi akan terus menjadi budaya
dalam negara ini,” katanya lagi.
Mohd Sofian juga berkata dalam himpunan Bersih, Oren dan Hijau,
dianjurkan oleh parti pembangkang untuk menghadapi pilihan raya akan
datang.
“Budaya berkempen yang cuba dijalankan oleh mereka sepanjang tahun
ini menyebabkan rakyat terdedah dengan budaya politik terdedah dengan
maklumat dengan nilai-nilai politik mereka,” katanya lagi.
.
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
5 hours ago
0 Komen pengunjong :