IPOH,
4 JUN: Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama perlu bersatu hati untuk
ubah kerajaan dalam pilihan raya umum yang akan datang bagi
membersihkan negara daripada amalan korup, ganas dan zalim yang telah
menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan sejak beberapa dekad lalu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat perlu bergerak
bersama dalam satu suara perpaduan untuk menghapuskan wajah hodoh
rusuhan 13 Mei yang digunakan sebagai satu senjata untuk menanam
perasaan takut dan untuk menimbulkan rasa gentar kepada para pengundi.
Katanya, rakyat juga perlu memecahkan hegemoni politik UMNO-BN yang
telah membenarkan golongan elit dan kroni mereka mengeksploitasikan
rakyat semua kaum untuk kepentingan agenda politik dan ekonomi mereka
sendiri.
Menurutnya, rakyat juga mesti berani menghentikan politik perkauman
yang diamalkan UMNO-BN yang menggunakan kaedah “pecah dan perintah” di
mana selama ini masyarakat masih hidup dengan rasa was-was antara satu
sama lain.
“Dalam PRU ke-13 ini, rakyat Malaysia mestilah bersatu padu dengan
Pakatan Rakyat untuk menunjukkan yang rakyat Malaysia, tanpa mengira
kaum, agama atau kawasan mampu bersepakat di bawah payung satu gabungan
politik untuk mengakhiri rasuah, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk
penindasan, ketidakadilan dan penganiayaan.
“Dan paling penting, untuk menyelamatkan demokrasi di Malaysia agar
sistem dua gabungan parti akan wujud di Malaysia – satu keperluan
penting sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara yang benar- benar
demokratik,” katanya sewaktu melancarkan jentera PRU13 DAP Perak di sini
kelmarin.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sikap para
pemimpin UMNO-BN seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein yang mahu memuat naik kompilasi video Bersih 3.0 dalam laman
sesawang Kementerian Dalam Negeri, jelas mempersendakan jaminan kerajaan
bahawa mereka serius untuk mengadakan penyiasatan bebas terhadap
insiden ganas sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.
Katanya, sikap Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO jelas
membuktikan sikap berpihak dan tidak adil kerana siasatan belum pun
dimulakan untuk mencari punca kejadian ganas yang mana mangsanya
termasuk polis, wartawan, jurugambar dan peserta-peserta BERSIH 3.0
sendiri yang diserang oleh polis.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa semangat 250,000 peserta
BERSIH 3.0 perlu dijadikan teladan kerana mereka telah berani bersuara:
* Sebagai rakyat Malaysia patriotik yang cintakan tanahair; dan
* Sebagai pemangkin kepada generasi akan datang untuk memastikan
Malaysia akan menjadi lebih baik dan lebih makmur daripada kezaliman,
ketidakadilan dan kuku besi UMNO-BN sekarang.
–/ Roketkini.com
.
0 Komen pengunjong :